Sunday, 30 June 2013

Jangan Berputus-Asa Dalam Menyebarkan Kebaikan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Apa khabar pembaca Rakan Ilusi?

Saya harap kalian semua berada dalam keadaan sihat-sejahtera insha-Allah.

Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada semua kerana kegagalan saya untuk menyiapkan rutin bulanan dalam menulis bagi tempoh dua bulan sebelum ini (April dan Mei) - saya benar-benar sibuk tiada keraguan.

Tidak dinafikan lagi bahawa ianya adalah masa yang agak lama untuk saya - jadi pernah juga saya terlintas untuk tidak mahu menulis bagi bulan ini (Jun) kerana sikap malas dan atas alasan kekurangan idea.

Astaghfirullah.

Akan tetapi, setelah berfikir hari demi hari saya bercadang untuk menulis kerana saya berpegang kepada salah satu hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

"Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Lihat betapa indahnya Islam - untuk menjadikan amalan kita kekal berterusan tidak perlu mengeluarkan duit pun akan tetapi cukup dengan sekadar berkongsi idea atau ilmu - asalkan ianya berpaksikan ajaran Al-Quran dan Sunnah.

gambar hiasan

 SubhanAllah - mari memuji Allah.

Jika kita ikhlas dalam menyebarkan sebarang ilmu atau apa sekalipun kebaikan seperti membantu orang yang memerlukan pertolongan, membuang halangan di jalan raya waima hanya dengan memberikan senyuman kepada yang lain juga maka insha-Allah, Allah akan membalas jasa baik kita dengan suatu kebaikan.

Jika kita tidak sempat merasai nikmat kebaikan itu di Dunia tidak mengapa kerana percaya dan yakinlah kita akan perolehinya di Akhirat kelak.

Perlu faham bahawa janji Allah itu benar - berbaik-sangkalah terhadap Allah.

Dan usahlah kita berpendapat yang Allah tidak akan memandang apa sahaja kebaikan yang kita lakukan walaupun ianya terlalu kecil di mata manusia seperti membuang sampah yang berada di hadapan kedai runcit ke tempat yang sepatutnya kerana mungkin ianya besar di sisi Allah.

Apa yang penting adalah ikhlas semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T dan bukan untuk menunjuk-nunjuk.

Ya! Kata kuncinya adalah ikhlas.

Hal ini kerana di dalam Al-Quran, ada ayat yang memberi maksud:

"Barangsiapa mengerjakan kebaikan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” (Az-Zalzalah 99:7-8)

Semoga kita dijauhkan daripada sifat riak dan takabbur.

Baiklah. Berbalik semula kepada cerita saya yang sudah berputus-asa sebentar tadi benarlah, sekiranya sesuatu perkara itu kita tidak jadikan amalan nescaya kita akan liat atau sentiasa memberikan seribu satu alasan untuk mengelakkan diri daripada melakukannya.

Sebagai contoh, jika kita membiasakan diri untuk melaksanakan solat fardhu pada awal waktu maka percayalah kita tidak akan merasa tenang dan mungkin khuatir jikalau tidak sempat untuk menunaikannya sekiranya kita masih lagi tidak mengerjakan solat setelah azan dilaungkan.

Oh ya, berbicara mengenai topik berputus-asa elok rasanya sementara saya teringat untuk saya kongsikan satu video ini daripada seorang ulama' kepada diri saya sendiri dan mereka yang sering terleka khususnya para remaja.

Jemput tonton:

                                                                                                               Al-Habib Ali Al-Jufri

Namun begitu, tidak mengapa kerana alhamdulillah saya boleh kembali menulis seperti biasa pada saat ini cuma ianya mungkin sedikit panjang - mohon maaf.
Justeru, saya memohon agar kalian dapat membacanya mengikut tajuk.

Selamat membaca!

Menjaga Pandangan Adalah Suatu Kewajiban Bagi Setiap Muslim. 

Menjadi suatu kebiasaan bagi masyarakat Melayu kita untuk melihat akan apa sahaja yang dihidangkan di hadapan mata meskipun ianya tidak baik dan tidak halal bagi kita.

Namun persoalannya adakah suatu kebiasaan bagi suatu kaum atau bangsa menjadi perkara yang halal bagi agama?

Sesuatu yang perlu difikirkan, bukan?

Di sini perlunya untuk kita merenung seketika tentang isu halal atau haram.

Mari kita fahamkan ayat Al-Quran di bawah ini dengan baik:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." (An-Nuur 24:30)

Jelas bukan bahawa menjaga pandangan adalah tanggungjawab bagi setiap orang Islam - wajib.

Lantas bagaimana - adakah kita tergolong dalam golongan yang beriman itu yang menjaga pandangan daripada melihat perkara yang haram?

Sekiranya tidak maka marilah kita berusaha supaya tergolong dalam golongan tersebut.

Tidak susah, hanya perlu menjaga mata sahaja.

Sebentar! Ya memang ianya susah kerana ramai wanita kebelakangan ini khususnya muda-mudi masha-Allah pakaian mereka seolah-olah tidak langsung menggambarkan keislaman mereka - seolah tidak berbaju adakalanya.

Mana tidaknya;

ada yang berseluar ketat,
ada yang berseluar singkat,
ada yang berbaju tiada lengan,
ada yang menampakkan pusat,
ada yang berpakaian jarang,

dan pelbagai ragam lagi yang boleh diceritakan.

Astaghfirullah sedih bukan?

Perkara sebegini pada saya amat perlu untuk kita semua ubah!

Mainkan peranan masing-masing; yang tua menasihati yang muda dan yang muda menerima teguran dengan baik.

gambar hiasan

Cuba bayangkan bagaimana perasaan Rasulullah s.a.w. sekiranya Baginda s.a.w. melihat situasi kita iaitu umat Baginda s.a.w. yang sangat dicintai dan dikasihi oleh Baginda s.a.w.?

Kita keluar sebentar daripada topik ini mari.

Ketika Nabi s.a.w. hendak wafat, Baginda s.a.w. masih lagi mengingati umat Baginda s.a.w meskipun Baginda s.a.w. masih belum bertemu.

Saya pernah menonton satu video yang mana ia menceritakan saat-saat ketika Nabi s.a.w hendak wafat.

Ketika Malaikat Izrail menjalankan tugasnya yakni menarik roh Baginda s.a.w. seluruh badan Baginda s.a.w. berpeluh dan urat-urat Baginda s.a.w. menegang lantas Baginda s.a.w. berkata:

"Ya Jibril, betapa sakitnya Sakaratul Maut ini."

Namun Malaikat Jibril memalingkan mukanya kerana tidak sanggup melihat Kekasih Allah S.W.T itu berada di dalam kesakitan.

Kemudian, ketika roh Rasulullah s.a.w. masih lagi ditarik Baginda s.a.w berkata agar biar diri Baginda s.a.w. sahaja yang menanggung segala kesakitan Sakaratul Maut untuk umatnya.

Dan sebelum Baginda s.a.w. wafat Baginda s.a.w. berkata:

"Umatku. Umatku. Umatku."

Allahuakbar. 

Cuba kita renung semula tentang peristiwa di atas dan tanya diri kita;

Adakah aku sanggup menanggung kesakitan demi orang lain? 
Adakah di saat kesusahan aku akan ingat kepada orang lain?

Allahu Rabbi.

Benarlah, sikap dan sifat Nabi s.a.w. amat terpuji.

Saya tinggalkan kalian dengan video mengenai 'Saat-Saat Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.' - saya mohon supaya kalian ambil sedikit masa lebih kurang sepuluh minit untuk tonton.

Jangan rasa ianya rugi. 

Semoga dengan menonton video ini ianya akan menimbulkan dan menaikkan lagi rasa cinta dan kasih kita pada Nabi Muhammad s.a.w. - mohon kongsikan video ini di Facebook dan di Twitter anda.

Semoga bermanfaat:


                                     
                                                       Kredit: IncikKazak (youtube)


My brothers and sisters,

persoalannya sekarang mengapa ramai lagi antara kita yang masih mahu melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh Rasulullah s.a.w. dan tidak mahu mengikuti Sunnah Baginda s.a.w. dalam menjalani kehidupan seharian kita sedangkan Baginda s.a.w. amat menyayangi dan mencintai kita meskipun tidak pernah bertemu;

Kita tidak solat pada awal waktu.
Kita tidak mahu untuk berjemaah di masjid.
Kita tidak mahu menutup aurat.
Kita tidak mahu menjaga pandangan.
Kita tidak mahu bersangka-baik pada orang lain.
Kita tidak mahu memaafkan kesalahan orang lain.
Kita tidak mahu hanya berkata baik atau berdiam diri sebaliknya suka mengumpat dan mencarut.
Kita tidak mahu berpuasa sunat.
Kita tidak mahu bersedekah membantu mereka yang memerlukan pertolongan.

Mengapa? Mengapa? Mengapa? 

Perlu kita faham bahawa sesiapa yang ingin berjaya di Dunia dan di Akhirat maka jalan yang paling baik adalah dengan mengikut ajaran Al-Quran dan Nabi Muhammad s.a.w. melalui Sunnah Baginda s.a.w. seperti yang dikatakan dalam Khutbah Terakhir Baginda s.a.w.:

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku."

Baiklah sekarang saya akan kembali ke topik kita yang asal yakni tentang Menjaga Pandangan - maaf kerana saya terkeluar sedikit daripada tajuk sebentar tadi.

Err... Ada orang ambil markah penulisan saya ke? Jika ada habis la saya - kantoi! *Cubaan untuk berjenaka.

Apa yang membuatkan saya menyentuh mengenai topik ini adalah kerana pada bulan lepas saya telah menonton satu video tentang 'Menjaga Mata di Musim Panas' oleh Akhi Pena Maya.

Ianya benar-benar bermakna dan bermanfaat pada saya - ada petua bagaimana mahu menjaga pandangan tatkala berhadapan dengan masyarakat!

Saya mohon maaf kerana atas masalah teknikal tidak dapat saya kongsikan video tersebut. (Bagi yang berminat boleh tekan link 'Menjaga Mata di Musim Panas' yang berwarna biru di atas)

Namun demikian, di sini saya ada selitkan satu video tentang merendahkan pandangan - jemput tonton: 

                                         
                                                                   Mufti Ismail Menk 

Semoga apa yang dikongsikan ini membawa manfaat pada kita semua insha-Allah.

Pendek kata, marilah kita cuba untuk berubah agar menjaga pandangan kita daripada perkara yang diharamkan. 

Yakinlah bahawa kita akan peroleh ganjaran dengan mengikuti apa yang disuruh oleh Allah S.W.T dan tiada sebarang kerugian jika kita patuh pada perintah tersebut.

Bersedekah Hanya Akan Membawa Kepada Kebaikan Dan Bukanlah Keburukan. 

"Fitrahnya, bila banyak keluar duit kita akan miskin tapi dalam Islam pelik sikit sebab siapa yang banyak bersedekah dia akan kaya." - begitulah kata seorang ustaz ketika menyampaikan tazkirah ringkas Maghrib di IKIM F.M.

Ya! Bersedekah ini jika pada mata kasarnya seseorang akan mengatakan bahawa ianya hanya akan mengurangkan duit.

Namun sebenarnya tidak - ia akan menjadikan kita kaya.

Definisi kaya di sini bukan hanya sekadar kaya pada nilai mata wang semata tetapi turut diikuti dalam aspek lain seperti akhlak dan paling penting Akhirat kerana sedekah termasuk dalam amalan yang akan berterusan dan kekal meskipun diri seseorang itu sudah mati - kuncinya adalah ikhlas.

"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya." (Riwayat At-Tirmizi)

"Wahai anak Adam! Adakah kamu memiliki daripada harta kamu melainkan apa yang engkau makan lalu engkau menghabiskannya, atau engkau memakainya lalu melusuhkannya, atau engkau bersedekah lalu engkau mengekalkannnya (pada hari pembalasan)." (Riwayat Muslim)

Tambahan pula, Nabi Muhammad s.a.w. juga melarang kita supaya bersikap bakhil dan tamak kerana ianya memudaratkan diri dan masyarakat:

 "Takutilah sifat bakhil dan haloba. Sesungguhnya ia memusnahkan golongan yang sebelum kamu. Ianya mendorong mereka menumpahkan darah dan menghalalkan perkara yang diharamkan." (Riwayat Muslim)

Cuba kita fikirkan; jika seseorang menjadikan amalan untuk bersedekah pada setiap hari maka secara tidak langsung dirinya akan menjadi rapat dengan mereka yang susah; orang miskin, haiwan yang kelaparan dan mungkin juga pemandu yang sedang tersesat jalan kerana mempermudahkan urusan orang lain juga turut dikira sebagai satu sedekah.

Selain itu, beliau juga akan dapat selalu bermuhasabah diri akan nikmat yang diterima olehnya - kurang merungut tetapi banyak bersyukur.

"Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah." (Riwayat Muslim)

Benar jika kita renung-renungkan.

Sebagai kebiasaanya, para pelajar universiti atau pelajar sekolah asrama akan merungut kerana hanya terdapat lauk yang sama setiap hari di kantin atau dewan makan.

Mereka seolah-olah mual dan tidak lalu lagi untuk makan.

Akan tetapi, jika mereka fikirkan nasib saudara Islam di Syria yang sedang menghadapi kesukaran (mohon doakan keselamatan mereka) dan rakyat Somalia yang kebuluran serta nasib mereka yang kais pagi makan pagi kais petang makan petang dan mereka ini amat gembira jika dapat makan makanan walaupun ianya sedikit dan kurang enak.


gambar hiasan

Maka dengan melihat kepada situasi orang yang jauh lebih susah daripada kita di Malaysia nescaya saya yakin dan percaya para pelajar universiti dan sekolah asrama itu tadi akan bersyukur.

Hal ini adalah kerana mereka masih lagi dapat merasai makanan walaupun ianya mungkin tidak menepati cita-rasa mereka berbanding dengan orang lain yang tiada apa hendak dimakan.

SubhanAllah indahnya Islam ini jika kita perhatikan.

Perlu diingatkan juga dalam bersedekah, kita tidak boleh memberi sesuatu perkara yang buruk atau sudah rosak.

"Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji." (Al-Baqarah 2:267)

Sebagai contoh, ianya adalah salah jika bersedekah makanan yang hampir busuk atau buruk kepada orang lain kerana ianya mungkin akan memudaratkan penerima itu tadi atau kita memberi pakaian yang sudah pun koyak kepada orang lain yang mana kita sendiri pun tidak mahu memakainya jika kita dikehendaki memakainya.

Pendek kata, bersedekah itu bukannya bererti membuang sampah (maaf sekiranya bahasa saya sedikit kasar) seperti yang dibuat oleh segelintir masyarakat Melayu Islam kita - ubah cara pemikiran.

Baiklah, tujuan saya hendak menceritakan tentang bersedekah ini adalah kerana baru-baru ini ketika menghadiri satu program bersama Ustaz Yo Kemaman terdapat satu peristiwa yang boleh dijadikan contoh kepada kita semua yang berpaksikan sedekah.

Mengikut kata beliau, terdapat beberapa orang (penggali kubur) berjumpanya selepas beliau memberikan ceramah di sekitar Pulau Pinang (Seberang Prai tidak silap).

Mereka menceritakan bahawa ketika menggali kubur jenazah pada pagi hari tersebut, cangkulnya terkena kubur sebelah sehingga menampakkan kain kafan jenazah yang sudah sepuluh tahun meninggal dunia - ianya berwarna putih seolah baru sahaja dikebumikan.

Lantas setelah diperiksa melalui orang yang terdekat dan orang kampung, ustaz tersebut diberitahu bahawa amalan arwah tersebut adalah bersedekah dan menyukai pada budak kecil.

Allahuakbar - mari jadikan amalan untuk bersedekah - ikhlas.

Sebenarnya untuk bersedekah ianya bukan terhad dalam aspek wang ringgit sahaja tetapi bermacam lagi.

Contohnya seperti yang dikatakan oleh Nabi s.a.w.: 

"Setiap kebaikan adalah sedekah." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tentu ada dalam kalangan kalian yang tertanya apakah yang dimaksudkan dengan 'kebaikan' itu bukan?

Daripada al-Nawwas bin Sam'an r.a. beliau berkata:

"Aku bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang kebaikan dan dosa, lalu baginda menjawab: 'Kebaikan adalah akhlak yang baik manakala dosa itu ialah apa yang berbolak-balik di dalam dada engkau dan engkau tidak gemar manusia mengetahuinya." (Riwayat Muslim)

 " 'Setiap orang Islam itu bersedekah.' Kemudian Baginda ditanya: 'Kalau tidak ada benda yang hendak disedekahkan?' Sabda Nabi Muhammad s.a.w: 'Kalau dia mahu bekerja, maka akan bermanfaat baginya dan dia boleh bersedekah.' Ditanya lagi: 'Bagaimana pula halnya apabila dia tidak sanggup?' Bersabda Nabi Muhammad s.a.w: 'Menyeru kepada perbuatan baik.' Ditanya lagi: 'Bagaimana kalau dia tidak dapat melakukannnya?' Bersabda Nabi Muhammad s.a.w: 'Menahan dirinya sendiri daripada perbuatan buruk, maka itu pun merupakan sedekah.' " (Riwayat Bukhari dan Muslim)

 "Jangan menggangu (menyakiti) orang lain itu juga merupakan sedekah kamu, kepada diri kamu sendiri." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nampak tak yang sedekah itu bukan hanya dapat dilakukan oleh orang yang berduit sahaja tetapi ianya dapat dilaksanakan oleh semua orang tanpa kira perbezaan harta dan pangkat.

Seperti yang saya katakan tadi, subhanAllah indahnya Islam ini jika kita benar-benar mengamatinya.

Secara tuntasnya, bersedekahlah sementara masih ada waktu - berterusan yang penting.

"Sekurang-kurangnya kamu bersedekah RM1 pada setiap kali Jumaat. Yang penting ianya istiqomah." - Ustaz Abdullah

Buku Percuma 

Alhamdulillah pada bulan ini lagi sekali saya berpeluang untuk mengedar sebuah lagi buku percuma.

Pada kali ini buku yang bakal diedarkan adalah untuk menjawab dan merungkai kegelisahan rohani para pencari para pencari mata air spiritual di antara bangunan-bangunan pencakar langit.

Buku tersebut adalah buku 'Orang Kota Mencari Allah S.W.T.' oleh Muhammad Muhyidin terbitan Al-Hidayah House of Publishers Sdn. Bhd.


gambar hiasan


Bagi yang berminat, boleh hantarkan butir-butir peribadi seperti:
  1. Nama
  2. Alamat
  3. Nombor talifon
ke rakanilusi@gmail.com 

Saya mohon buat bakal penerima agar inbox saya jika buku sudah diterima juga tidak diterima bagi melancarkan program.

Segala kesulitan amat dikesali.

"Alamak! Hampir jam 12." - berdetik hati saya sendirian.

Sungguh masa mencemburui kita.

Nampaknya hari sudah malam dan kita hampir masuk ke bulan baru.

Fikiran masih mempunyai idea dan tiada kebuntuan, tangan pula masih tidak mahu berhenti menulis tetapi itulah masa memang berharga seperti yang dikatakan di dalam Al-Quran:

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar." (Al-'Asr 103:1-3)

Apabila tiba suatu waktu itu maka kita perlu faham.

Oleh disebabkan ini adalah penulisan bulan Jun justeru saya terpaksa berhenti di sini.

gambar hiasan

Sama sahaja dalam aspek lain; solat dan kematian.

Sampai sahaja waktu solat maka kita perlu laksanakan solat.
Sampai sahaja waktu kematian maka kita perlu tinggalkan Dunia ini - ianya tidak boleh dilewatkan dan dipercepatkan.

Semoga kita semua menjadi orang yang berjaya Dunia dan Akhirat.

Insha-Allah kita akan bertemu kembali untuk Rakan Ilusi edisi Julai.

Selamat beramal. Assalamualaikum.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Tahniah dan terima kasih kerana sudi mengambil bahagian dalam program ini. Insha-Allah buku akan diposkan dalam masa yang terdekat (minggu pertama bulan Julai).

    ReplyDelete