Bertemu lagi kita di ruang atau halaman utama Rakan Ilusi pada hari ini.
Alhamdulillah dan ribuan terima kasih bagi kalian yang masih sudi untuk menjenguk page Ilusi.
Insha-Allah penulisan saya untuk kali ini tidak terlalu panjang - ianya ringkas sahaja - saya cuba.
Ada masa lebih jemput baca penulisan tentang Ramadhan edisi 2012.
Ya akhi wa ukhti,
masuk hari ini sudah lebih sepuluh hari umat Islam di seluruh Dunia berpuasa - alhamdulillah syukur.
Namun begitu bagaimana rasanya - adakah Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya; solatnya, menjaga matanya, lisannya, menutup auratnya, sedekahnya dan lain-lain.
Soal diri kita.
Jika ianya terdapat perubahan ke arah kebaikan maka alhamdulillah boleh teruskan.
Jika ianya masih di tahap yang lama tidak mengapa kerana masih ada waktu lagi untuk berubah - insha-Allah ada lebih kurang lima belas hari lagi.
Dalam berpuasa sebenarnya kita (orang Islam) ada matlamat yakni untuk menjadi orang yang bertakwa sejurus melalui bulan Ramadhan ini di samping mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah 2:183)
Namun perlu diingatkan bahawa tidak semua orang yang berpuasa itu akan tergolong dalam golongan bertakwa kerana itu Allah menggunakan perkataan 'supaya', 'mudah-mudahan' atau 'moga-moga'.
Jadi check balik amalan kita di bulan Ramadhan ini - adakah amalan tersebut berpaksikan ketakwaan kepada Allah Azza wa Jalla atau sebaliknya?
"Antara ciri-ciri orang yang bertakwa adalah mereka yang menunaikan solat pada awal waktu, menginfakkan harta ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T dan bersabar dalam menjalani kehidupan seharian." - Ustaz Ramizol
Jangan kita faham bahawa berpuasa itu hanya bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja.
Hal ini adalah kerana dalam Islam definisi berpuasa lebih luas daripada itu yakni menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.
Ada eloknya seandainya di bulan puasa ini perbanyakkan masa di rumah dan kurangkan masa di luar rumah seperti mengunjung ke tempat sia-sia.
Ianya walau bagaimanapun tidaklah menjadi suatu larangan untuk keluar daripada rumah dalam urusan ziarah-menziarahi, membeli barang runcit atau mungkin ke sekolah juga ke tempat kerja cuma terdapat beberapa hal yang perlu dijaga dan diperhatikan apabila berada di luar rumah seperti;
: Aurat :
Jangan memakai pakaian yang mencolok mata juga tidak menutup aurat seperti sendat dan singkat sehingga menyebabkan pahala orang lain yang sedang berpuasa berkurangan oleh kerana nafsu keinginan diri sendiri yang mahu dipandang seksi dan cantik oleh khalayak ramai.
gambar hiasan |
Tambahan pula, adalah menjadi suatu kewajiban buat umat Islam untuk menutup aurat tidak kira waktu samada di bulan Ramadhan mahupun di bulan lain.
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nuur 24:31)
"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)." (Al-A'raaf 7:26)
: Pandangan :
Apabila berada di luar rumah hendaklah kita menjaga mata untuk tidak melihat sebarang perkara yang diharamkan oleh Allah.
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nuur 24:30-31)
Di Malaysia secara umumnya adalah melihat aurat mereka yang bukan muhrim kita merupakan antara masalah terbesar masyarakat kita.
Justeru sebagai contoh, seandainya di Bazar Ramadhan apabila mengetahui tempat sebegitu kebiasaannya ada orang yang berpakaian tidak menepati syariat Islam maka hendaknya kita merendahkan pandangan dan berada tidak lama di kawasan tersebut - sesudah jumpa perkara yang mahu dibeli terus balik ke rumah dalam misi menjaga pandangan.
Tidak perlu untuk duduk bediri memerhatikan gelagat pengunjung.
gambar hiasan |
Bukan apa, risau daripada gelagat kepada perkara lain seperti rupa paras, bentuk tubuh badan dan lain-lain.
Astaghfirullah. Perbanyakkan istighfar ketika berada di luar rumah - banyak dosa kita ini jika difikirkan.
Percayalah jika kita membiasakan diri untuk tidak memandang perkara-perkara yang haram nescaya hati akan merasai kemanisan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim, subhanAllah.
Jangan hanya kerana kedegilan mata habis binasa nasib badan di Akhirat - perlu faham.
Fikir-fikirkan.
Ada masa lebih jemput baca 'Perkara Bermanfaat Ketika Ramadhan' - semoga bermanfaat.
Harta Kita Yang Sebenar Adalah Perkara Apa Yang Sudah Dibelanjakan Ke Jalan Allah S.W.T
Pada amnya bersedekah atau menginfakkan harta ke jalan Allah adalah perkara yang amat baik di sisi agama Islam.
Islam sememangnya indah jika dilihat dengan mata berserta hati.
Lihat sahaja dalam hal ini (bersedekah) yang tiada perkelasan darjat antara manusia.
gambar hiasan |
- Yang senang membantu yang susah.
- Yang kaya membantu yang miskin.
Namun begitu isunya adalah adakah kita benar-benar merasai dan melalui keindahan tersebut dan benarkah kita tergolong dalam golongan yang membantu tersebut?
Sesuatu yang perlu difikirkan.
Oleh itu, ingin saya kongsikan satu cerita tentang kegembiraan mereka yang bergelar anak yatim dan anak orang miskin apabila menerima bantuan daripada orang lain.
Begini, baru-baru ini saya telah berkunjung ke Rumah Kebajikan Ikhwan dalam menziarahi mereka yang susah memerlukan bantuan; anak yatim dan anak fakir miskin.
Beberapa hari selepas itu saya telah pergi bertemu dengan beberapa orang rakan sekolah dahulu yang mana salah seorangnya merupakan sahabat saya.
Saya terfikir untuk mengambil keputusan menceritakan sedikit-sebanyak pengalaman ketika berada di Rumah Ikhwan dan pada akhirnya saya bertanya kepada mereka kalau-kalau hendak menghulurkan bantuan saya boleh tolong sampaikan kerana saya memang ingin pergi lagi ke rumah tersebut dalam masa yang terdekat.
Alhamdulillah selepas waktu Asar semalam saya tiba ke rumah tersebut dengan membawa dua bungkusan pakaian dan beberapa packet makanan dan minuman hasil daripada pemberian rakan-rakan itu tadi - semoga para penderma dimurahkan rezeki dan perolehi ganjaran pahala.
gambar hiasan |
Apa yang saya ingin ketengahkan adalah reaksi adik-adik tersebut ketika menerima barang-barang tersebut daripada saya sangat gembira dan sangat menghargai walhal apa yang dibawa oleh saya tidaklah terlalu banyak jika hendak dibandingkan dengan bilangan mereka.
Lantas apabila saya hendak pulang, masing-masing antara mereka berteriak "Terima kasih Abang!" pada saya.
Allahuakbar. Betapa kerdilnya saya terfikir diri ini yang jarang tahu untuk bersyukur dan menghargai sesuatu berbanding adik-adik kecil yang tidak lebih daripada dua belas tahun itu tadi.
Ya la, masakan tidak - manusia yang hidup tidak susah sering tahu mengulas itu dan ini;
pakaian besar,
makanan tak sedap,
cuaca tak menentu (panas dan hujan),
kereta kecik dan tak laju.
walhal ada yang lebih susah hidupnya daripada kita.
Semoga cerita adik-adik di Rumah Ikhwan ini menjadikan kita lebih bersyukur dan menghargai setiap perkara yang kita miliki saat ini.
Oh ya! Sementara saya teringat ada lebih kurang lima orang adik di rumah tersebut sedang menghadapi ujian percubaan UPSR pada minggu ini - doakan mereka.
gambar hiasan |
Pesanan saya sekiranya kalian ada masa lebih pergilah ke mana-mana rumah kebajikan yang berhampiran untuk menziarahi mereka - kunjungan anda pasti akan membuatkan mereka tersenyum lantas tertawa.
Berkaitan dengan tajuk bersedekah insha-Allah bagi sesiapa yang ada duit lebih boleh menyalurkan sedikit sumbangan ke mana-mana jalan yang diredhai oleh Allah; orang susah dan tabung masjid.
Jangan lepaskan peluang untuk membuat kebajikan kerana hanya di Dunia sahaja waktu untuk kita mengumpul pahala kelak di Akhirat masa sudah tiada.
"Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah 2:148)
Tambahan pula kita sekarang berada di bulan Ramadhan iaitu bulan yang penuh barakah yang mana Allah akan melipat-kali-gandakan ganjaran daripada setiap amal perbuatan kita.
Ayuh rebut peluang dan tawaran ini!
Ada masa lebih jemput buka halaman kebajikan Rakan Ilusi untuk mendapatkan saluran-saluran yang lain (ada yang tidak sempat saya check kesahihan nombor akaun tersebut mohon maaf).
Belajarlah Untuk Tidak Mudah Berbicara / Mengumpat / Menghukum / Mencemuh Terhadap Perihal Orang Lain.
Lagi sekali ingin saya kongsikan satu kisah yang mana insha-Allah boleh dijadikan pengajaran dan tauladan buat kita semua.
Baru-baru ini ketika saya berada di Kelana Jaya atas urusan peribadi saya telah berbuka puasa secara ringan-ringan dahulu di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya.
gambar hiasan |
Hanya terdapat tiga orang sahaja di ruang solat lelaki sementara menunggu waktu Maghrib masuk; saya, bilal masjid serta seorang lelaki yang pada mulanya saya merasakan seorang yang bukan warganegara Malaysia (BWM) namun saya tidak mendekatinya pada awal waktu.
Apabila azan berkumandang kami bertiga terus berbuka puasa secara berasingan dan kemudiannya menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah.
Sesudah saya bersolat saya mendekati pemuda BWM lalu menanyakan sedikit soalan asas; nama, asal serta pekerjaan.
Nyata beliau adalah seorang BWM akan tetapi seorang warganegara Pakistan yang merupakan peniaga bacaan-bacaan zikir dari meja ke meja di kedai makan (maaf sekiranya ada yang tidak faham).
Selepas bersalaman dengan beliau saya pun pergi menuju ke kedai makan berhampiran untuk menikmati juadah dan sedikit terkejut kerana masih bertemu lagi dengan pemuda yang bernama Brother Anas itu tadi.
Ketika saya duduk menunggu order makanan, saya perhatikan Brother Anas yang berniaga dari meja ke meja dan apabila tiba di satu meja yang dipenuhi oleh beberapa pelanggan yang saya yakin beragama Islam yang ada tidak bertudung dan ada yang merokok (tidak silap saya), seorang daripadanya sejurus melihat Brother Anas menghampiri meja mereka terus membuat mimik muka yang garang dan cemuh sambil memberikan isyarat tangan yang menunjukkan rasa tidak setuju dan tidak mahu untuk mendengar tawaran daripada beliau.
Tidak lama kemudian, ada seorang peniaga CD cetak rompak mendekati meja mereka namun orang yang sama bukan sahaja membenarkan peniaga tersebut memberikan tawaran malah menyemak-nyemak ruangan CD yang diniagakan.
Astaghfirullah, fitnah apakah ini?
Orang yang menjual perkara yang halal dihalaunya manakala orang yang menjual perkara yang haram dilayannya - kalau tidak mahu sekalipun janganlah mencemuh sebaliknya berikan satu senyuman dan tolak tawaran dengan baik - cerminkan nilai Islam dalam diri.
Apa yang saya dapat kaitkan di sini adalah jika diperhatikan daripada awal penceritaan, meskipun Brother Anas itu seorang yang hanya berniaga dari meja ke meja namun perlu diingatkan bahawa beliau adalah seorang yang menjaga solatnya - solat pada awal waktu secara berjemaah di masjid - mengikuti sunnah Nabi s.a.w.
gambar hiasan |
Ada kemungkinan yang Brother Anas itu tadi lebih baik daripada mana-mana pelanggan di restoran tersebut yang masih lagi tidak menunaikan solat pada ketika itu.
Pengajarannya adalah jangan mudah untuk kita mencemuh dan mudah menghukum dengan memandang rendah kepada mana-mana orang yang berada di sekeliling kita hanya kerana penampilan fizikalnya semata.
Barangkali ada kemungkinannya dia lebih baik daripada kita;
- mungkin orang yang kerjanya hanya menyapu sampah lebih baik daripada kita kerana tahu dan faham kepentingan untuk menutup aurat,
- mungkin orang yang kerjanya hanya duduk di ruang kecil plaza tol lebih baik daripada kita kerana tahu untuk menjaga lisan daripada berkata yang sia-sia,
- mungkin orang yang kerjanya hanya memasak di dapur restoran lebih baik daripada kita kerana tergolong dalam golongan orang yang menjaga pandangan.
Mari berfikir.
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." (Al-Hujuraat 49:11)
Buku Percuma
Program edaran buku percuma masih lagi berjalan seperti biasa pada bulan ini - alhamdulillah.
Buku yang bakal diedarkan adalah buku 'Jangan Menghijab Diri Dengan Dosa' oleh Abu Tolhah Iqamuddin terbitan Mulia Terang Sdn. Bhd.
gambar hiasan |
Bagi yang berminat, boleh hantarkan butir-butir peribadi seperti:
- Nama
- Alamat
- Nombor talifon
ke rakanilusi@gmail.com.
Saya mohon buat bakal penerima agar inbox saya jika buku sudah diterima juga tidak diterima bagi melancarkan program - kerjasama anda amat dihargai.
Nampak gayanya penulisan saya pada kali ini tidaklah seringkas mana seperti yang dijanjikan pada awal penulisan - maafkan saya - maklum sahaja sebulan sekali menulis.
Insha-Allah jumpa lagi pada bulan Syawal yang akan tiba.
Semoga kita semua tergolong dalam golongan bertakwa insha-Allah.
Jumpa lagi. Selamat beramal. Assalamualaikum!
Assalamualaikum.
ReplyDeleteJika belum dimiliki, saya berhasrat utk menghadiahkan buku ini kepda seorang kawan saya yg kini bersendirian menghadapi alam baru - pekerjaan di rantau org.
Moga buku ini sedikit sebyk dpt membntu memberi pedoman hidup pada beliau. Maklumat yg dperlukan telah saya emel kepada emel rakan ilusi.
Terima kasih ;-)l
Waalaikumussalam. Ya belum lagi. Terima kasih kerana sudi mengambil bahagian dalam program edaran buku percuma pada kali ini. Insha-Allah buku akan diposkan dalam masa yang terdekat. Salam Ramadhan.
Delete