Tuesday 23 October 2012

Genap Satu Tahun - Mari Berubah Dan Mengubah.

Dengan nama Allah yang Pemurah lagi Maha Penyayang.

Kaifa halukum ya akhi wa ukti? Bikhoir huh?

Alhamdulillah sekiranya semua dalam keadaan sihat-sejahtera dan bagi mereka yang kurang sihat janganlah tidak bermaya, sebaliknya bersyukurlah.

Mungkin dengan keadaan yang kurang baik dan sihat ini, akan memberikan saudara atau saudari kesenangan pada masa akan datang kelak. Insha-Allah.

Tambahan pula, bukankah konsep syukur itu amat dituntut dalam Islam?

"Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim: 7)

Dalam apa sekalipun; berpakaian, kenderaan, makanan, rumah, pekerjaan, tempat belajar termasuk juga semasa kita bernafas kerana setiap apa yang kita ada ini adalah datangnya daripada Allah S.W.T.



Ada ustaz dalam siaran Radio Pahang saya pernah dengar dia mengatakan, "Untuk bersabar itu senang, tetapi tidak untuk bersyukur."

Jika direnungkan kembali apa yang diperkatakan oleh beliau adalah benar.

Sebagai contoh, ambil sahaja aspek ketika menunggu makanan hendak sampai di restoran masakan panas. 

Ya, ramai orang sanggup menunggu makanan berapa lama pun tidak mengapa, ada yang mencecah satu jam jika di musim perayaan namun mereka tetap bersabar. Apabila sampai makanan tersebut, mereka hanya menjamah tetapi tidak makan seperti mana yang mereka inginkan. 

Hanya dibiarkan begitu sahaja. Sedih bukan? 

Cuba kalau rezeki itu diberi kepada orang miskin, fakir atau mungkin saudara Islam di Burma atau Somalia. Tentu mereka gembira. Inilah yang dimaksudkan dengan tidak bersyukur - ada makanan tetapi bazirkan.

Dalam erti kata lain, mereka memesan makanan yang banyak mengikut hawa nafsu bukan mengikut keperluan. Maksudnya di sini, mereka tidak bersyukur dengan makanan yang dianugerahkan kepada mereka. Tidak begitu?

Gambaran yang lain pula adalah aspek duit gaji.

Ramai orang boleh bersabar untuk menerima gaji pada setiap hujung bulan. Lantas apabila gaji sudah masuk ke dalam akaun, mulalah semua ingin dibelinya tidak kira kehendak atau keperluan, semua dia nak; baju baru, seluar baru etc.

Kalau baju dan seluar lama masih elok tetapi sudah mahu beli yang baru, persoalannya adakah baju yang lama itu selalu dipakainya dan ke manakah pergi baju yang lama itu sekiranya ia tidak lagi dipakai? 

Kadang-kadang saya tidak faham dengan mereka yang terlalu hendak mengikut gaya fesyen semasa.

Terlalu nak up-to-date pun tak boleh juga, boleh mendorong diri sendiri untuk lakukan pembaziran. Namun, lain orang lain pendapat.

Sekadar peringatan:

"Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Al-'Israa:27)

Membazir atau tidak, terpulang pada anda bagaimana anda taksir perkara sebegitu. Saya tinggalkan untuk anda renungkan.

Satu Tahun

Pada hujung bulan ini, Alhamdulillah telah satu tahun Rakan Ilusi telah berada di dunia maya. 

Semua ini bermula dengan penulisan mengenai kepentingan masa.

Sebenarnya saya bukanlah seorang yang minat untuk berkarya, dan bakat saya dalam mengarang juga tiada hebat mana pun tetapi apa yang membuatkan saya ingin menceburi bidang penulisan ini adalah selepas saya membaca dua penulisan; sebuah hasil saudara Pena Maya dan sebuah lagi hasil saudara Hilal Asyraf.

Maafkan saya, saya benar-benar terlupa akan tajuk melalui Pena Maya tetapi Hilal Asyraf saya membaca bukunya yang bertajuk 'Batu-Bata Kehidupan' terbitan Galeri Ilmu.

Mereka berdua banyak menceritakan pengalaman mereka yang boleh dijadikan sebagai pengajaran buat kita semua. Maklumlah, pengalaman orang yang belajar di luar negara ini kadangkala 'mahal'.

Ada masa mereka mengajak para pembaca mereka supaya membuat penulisan tentang pengalaman atau mungkin juga boleh berkongsi idea yang berasaskan kebaikan dan manfaat kepada orang lain seperti mana yang mereka telah bentangkan. 

Pesan saudara Pena Maya, yang penting ikhlas.

Selain itu, mereka juga berikan idea bahawa kalau mati akal sangat sudah cukup dengan menangkap gambar alam kemudian kaitkan dengan kebesaran Allah sebagai Pencipta alam ini. SubhanAllah.  

Sebagai contoh, tangkap gambar bulan atau matahari atau kalau susah, ambil sahaja gambar air lalu kaitkan, siapa yang mengawal pergerakan air di dunia ini? Allah S.W.T.

Lebih kurang begitulah. Saya harap kalian jelas. 

Sudah lama saya membaca penulisan mereka.  

Lalu saya berfikir betul juga apa yang diperkatakan oleh mereka.

Dengan perkara sebegini, kita akan dapat memperingati diri sendiri dan juga orang lain. Dalam erti kata lain, kita akan memberikan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai bahan muhasabah diri.

Contohnya, kita menasihati orang lain supaya bersolat secara berjemaah di masjid dan ia juga akan mengingatkan kita tentang apakah kelebihan solat secara berjemaah di masjid.

Lama-kelamaan kita akan berubah menjadi seorang yang lebih baik dari hari ke hari.

Mungkin kalian juga boleh membuat perkara yang sama seperti ini, tidak kira samada melalui Twiter, Tumblr, Facebook atau Blogspot. 

Yang penting isinya baik dan tidak bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah. Ikhlas adalah yang utama.

Mudah-mudahan apa yang kita tulis dan usahakan ini walaupun kecil sahaja tetapi boleh membantu kita di akhirat kelak. Insha-Allah, semoga amalan baik kita semua diterima oleh Allah S.W.T.

Nabi Muhammad s.a.w pernah berkata:

"Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Jadi, selamat hari ulang tahun yang pertama buat Rakan Ilusi.

gambar hiasan
Googlekan Rakan Ilusi (tiada paksaan) - 

https://twitter.com/rakanIlusi

Kerana Lidah Badan Binasa

Tentu pepatah Melayu sebegini pernah didengar oleh saudara-saudari sekalian saya percaya.

Ya! Memang betul, banyak daripada kita yang mulutnya, masha-Allah. Dahsyat!

Dia tidak malu untuk membuat kemungkaran dengan menggunakan lidah yang dikurniakan oleh Allah padanya.

Ada orang bukan gunakan lidah untuk memuji Allah, berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w ataupun berdakwah menasihati rakan-rakan yang lain, tetapi sibuk melakukan perkara yang ditegah oleh agama.

Ini termasuk mencarut, memaki-hamun, mengumpat mahupun membuka aib orang lain. Seolah-olah perkara sedemikian menjadi sebagai satu bahan mainan di mulutnya.

Walhal perbuatan seperti mengumpat amat-amat ditegah dalam Islam.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Al-Hujuraat 49:12)

Sedih bukan? Sepatutnya kita perlu banyak mengingati Allah dengan berzikir kepada-Nya. Ini tidak.

Rujuk tentang mengumpat satu dan tentang mengumpat dua jika ada masa lebih.

Namun, tidak mengapa. Saya percaya, benda-benda ini sebenarnya mudah untuk kita buang sebagai tabiat hidup.

Yang penting azam kita, yakni hendak jadi seorang Islam yang benar-benar mengikuti syariat agama dalam misi untuk mendapatkan keredhaan Allah. Ikhlas lagi sekali perlu ditekankan.

Apa kata kalau mulai saat ini, yang mana selalu mencarut cuba untuk banyakkan bersabar.

Jika menghadapi sesuatu masalah, gantikan carutan dengan istighfar - Astaghfirullah.

Saya yakin, masalah tersebut akan mudah untuk saudara atau saudari hadapi. Insha-Allah. 

Lagipun, ketenangan itu kan sesuatu yang sunyi dan tiada bunyi bising?

Oh ya, semalam ada ustaz (maaf saya dengar di pertengahan rancangan jadi tiada kesempatan mengetahui nama ustaz tersebut) di radio siaran IKIM FM berkata:

Apabila bangun pagi-pagi semua anggota badan akan berpesan kepada lidah sebenarnya dengan berkata "Wahai lidah, kau berkelakuan baiklah pada hari ini. Tolonglah. Jika baik kau pada hari ini, maka selamatlah kami pada hari ini."

Apa yang kalian nampak melalui cerita tersebut?

Saya nampak bahawa lidah ini lebih tajam daripada pedang yang digunakan dalam peperangan.

Pendek kata, berkata-katalah kita semua jika penting dan benar-benar perlu. Jika hanya bual kosong atau boleh mendorong kepada sesuatu kemungkaran, maka diamlah. Jangan tanggung risiko bro!

gambar hiasan

Kisah Adik Berbaju Belang Biru Putih

Ceritanya bermula selepas saya pulang dari masjid hendak menuju ke rumah, saya terlihat seorang budak kecil anggaran 11 tahun sedang melintas. 

Dia seolah-olah kerisauan dan sedang terkejar-kejar.

Lalu saya menyapanya bertanyakan ke mana hendak pergi dan sudahkah dia menunaikan solat fardhu Asar atau belum.

"Belum." jawabnya sambil menggeleng kepala. "Zohor tadi?" aju saya sekali lagi.

"Belum. Tak sempat, sebab sekolah tadi." jawabnya yang sedikit tidak selesa dengan soalan sebegitu.

Adakah begitu juga dengan solat-solat yang lain? Mungkin ya mungkin tidak.

"Isya' semalam tak solat, tapi solat Jumaat semalam solat la." tambah adik kecil tersebut.

Saya sedikit terkejut dengan jawapannya. Sedih dan kecewa pun ada.

Seolah-olah hanya solat Jumaat sahaja yang fardhu baginya. 

Ya, mungkin dia masih lagi kecil bagi sesetengah orang, akan tetapi jika dia dibiarkan tidakkah bahaya? Ia boleh mendorong dirinya untuk melakukan perbuatan kemungkaran seperti menipu, mencuri atau mungkin ponteng sekolah.

Hal ini kerana, solat itu dapat mencegah kemungkaran dan jika dia masih tidak menunaikan solat bagaimana kalian rasanya?

Saya doakan semoga adik berbaju biru belang putih biru itu akan mudah untuk melakukan amal-kebaikan khususnya melaksanakan solat fardhu. Insha-Allah.

Motifnya adalah, saya ingin mengajak semua para pembaca agar ambil berat khususnya bagi sesiapa yang punyai adik kecil dan juga saudara yang kecil. 

Didik mereka supaya tunaikan solat, jangan malas kerjakan solat. 

Masa kecil inilah senang kita hendak bentuk nanti sudah besar liat pula. Silap haribulan melawan pula.

Pepatah Melayu ada mengatakan, bukankah 'melentur buluh biarlah daripada rebungnya'? 

Saudara-saudari sekalian,

solat itu adalah tiang agama, dan perkara pertama yang akan dihisab. Ingat.

Ada tazkirah yang saya hadiri, ustaz itu berpesan "Di akhirat kelak kita akan dihisab. Baik solatnya maka baiklah perkara-perkara yang lain. Jika sebaliknya, maka buruklah."

Sementara ustaz Hafizi semasa saya bersekolah dahulu menasihati saya dan rakan-rakan yang lain ketika memberikan tazkirah, "Sejahat mana pun kamu, solat jangan ditinggalkan begitu sahaja dengan sengaja."

Lihatlah, solat itu amat penting. Jadi, saya ingin mengingatkan diri saya dan brothers and sisters supaya jangan mudah tinggalkannya dengan sengaja. 

Solatlah kita sebelum kita disolatkan.

Dan yang paling ingin saya tekankan adalah didik dan ajaklah adik-adik kecil kita untuk menunaikan solat samada adik kandung atau tidak tetapi percayalah dia adalah saudara Islam kita.  

Kalau bukan kita yang hendak tegur, siapa lagi?

Generasi masa depan bergantung pada pemudanya. Baik pemudanya, baiklah generasi akan datang.

gambar hiasan
Percayalah Pada Allah, Sesungguhnya Allah Memang Wujud.

Baru-baru ini saya pergi berjumpa dengan seorang sahabat saya yang hendak pulang ke Mesir setelah hampir empat bulan bercuti di Malaysia.

Orang muda kata, pergi sembang-sembang sambil pekena cendol.

Jadi ketika kami hendak pergi ke Restoran Wahab Cendol, kami melintas sebuah masjid dan kebetulan azan Maghrib baru sahaja habis tatkala kami berada di hadapan masjid tersebut.

"Wei, kita solat dulu lah." ajak sahabat saya.

Saya pun bersetuju dan seperti orang lain juga, kami parking motosikal di kawasan tempat letak kenderaan. 

Ketika sedang menuju ke pintu masjid, saya terlihat seorang brother berbaju Melayu merah yang mungkin kurang sihat saya syak sedang berehat berhampiran dengan tempat letak kenderaan.

Saya terus sahaja tanpa menegur bro tersebut.

Hendak dijadikan cerita, selepas solat Maghrib saya terfikir di mana saya meletakkan kunci motosikal saya sebentar tadi. 

Kuat hati saya mengatakan bahawa kunci masih tersemat di motosikal saya.

Namun, saya terus berfikir seperti "Tak ada apa yang nak ditakutkan. Allah ada tolong jaga motor aku. Insha-Allah motor selamat."

Selepas siap, saya dan sahabat saya menuju ke motosikal lalu dijerit oleh brother tadi "Abang! Ni kunci motor abang ke?"

Saat itu saya hanya mampu tersenyum dan menganggukkan kepala.

"Alhamdulillah." ucap sahabat saya.

Saat itu saya benar-benar bersyukur pada Allah S.W.T kerana telah mempermudahkan urusan saya.

Juga, itu menjadikan saya lebih percaya bahawa Allah itu benar-benar bersama orang yang percaya pada Dia.

Saya sahaja mahu ceritakan pengalaman saya ini kepada para pembaca, mudah-mudahan cerita ini boleh dijadikan sebagai satu bahan muhasabah diri buat kita yang tidak selalu mengingati Allah. 

SubhanAllah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Ada masa jangan lupa berzikir pada Allah. Manfaatkan masa yang ada.

gambar hiasan
Buku Percuma

Alhamdulillah pada bulan ini saya berpeluang untuk mengedarkan sebuah lagi buku percuma.

Namun, hanya sebuah sahaja kerana semasa saya ingin membeli buku ini pada Sabtu yang lalu, hanya tinggal sebuah yang dijual. Yang lain sudah habis dijual.

Jadi saya mohon maaf bagi yang tidak berkesempatan. Insha-Allah pada masa akan datang akan ada lagi buku percuma yang akan diedarkan. Mungkin sesiapa yang berminat boleh ambil bahagian ketika itu.

Bagi kali ini sesiapa yang berminat, boleh berikan:

1) Nama
2) Alamat surat-menyurat
3) Nombor talifon

ke rakanilusi@gmail.com.

Buku tunggal yang bakal diedarkan ini adalah buku yang bertajuk "Allah is calling" - Himpunan kisah insan hebat dari Barat seperti Isa Carlos Alberto, Maryam Jameelah dan Dr Bilal Philips yang mendapat hidayah Allah dan menyebarkannya.

gambar hiasan
Alhamdulillah selesai entry pada bulan ini.

Terima kasih bagi yang sudi membaca. Sebarang teguran amat dihargai.

Saya tinggalkan kalian dengan satu video tentang Aidil-Adha yang bakal kita temui tidak lama lagi. Insha-Allah.

Selamat menonton dan selamat menyambut Hari Raya Aidil-Adha! Assalamualaikum.