Wednesday 18 April 2012

Akhlak Membentuk Manusia. Perbaikilah Gaya Hidup Kita Dari Masa Ke Masa. Jangan Biarkan Diri Dibelenggu Dalam Arus Kehidupan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

SubhanAllah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Apa khabar sahabat pena Rakan Ilusi? Saya berharap kalian semua berada dalam keadaan sihat-sejahtera.

Oh ya, sebelum saya terlupa ingin saya perjelaskan dua perkara iaitu;

1) Penulisan saya pada kali ini mungkin tidak berapa panjang dan mungkin kurang banyak daripada segi pengisiannya.

Ini adalah kerana dalam tempoh sebulan dua ini saya mempunyai pelbagai tanggungjawab yang perlu diselesaikan.

Justeru, saya ingin memohon maaf sekiranya penulisan laman Ilusi pada kali mengecewakan para pembaca.

2) Sesiapa yang punyai kelapangan boleh melawat Twitter Rasmi Rakan Ilusi.

Tiada sebarang paksaan dikenakan kepada para pembaca.

Saya akan mengemaskininya setiap hari Insha-Allah.


Brothers and sisters,

Ucaplah Alhamdulillah kerana telah meningkat umur dari hari ke hari.

Jangan lupa untuk sedekahkan al-Fatihah kepada sanak-saudara, sahabat-handai dan semua umat Islam yang telah meninggal dunia setiap kali selepas bersolat.

Jika mempunyai masa lapang, hadiahkanlah surah Yasin kepada mereka.

Insha-Allah, semoga dengan usaha kita yang tidak seberapa ini dapat memberikan manfaat kepada mereka.

 Kita perlu sedar kenapa kita dihidupkan semula pada hari ini.

Tanya diri sendiri.

Ya. Bermuhasabah diri dalam erti kata lain.

Adakah aku hidup hari ini untuk menyambung tugas aku di pejabat atau menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah mahupun guru? Atau aku dihidupkan supaya dapat memperbetulkan ibadah dan melakukan banyak lagi amal-kebajikan?

Fikir. Jangan pernah berhenti berfikir.

Kerana orang yang malas berfikir akan hanya menurut nafsu syahwat dan pujukan iblis.

Jangan kita hanya hanyut dalam arus dunia.

Orang main Facebook kita pun main Facebook.
Orang nak beli Android kita pun nak ada Android.
Orang berkelakuan biadap dengan mak ayah kita pun tiru mereka yang tidak berakhlak.
Orang pakai pakaian ketat kita pun sama nak memperlihatkan tubuh badan kepada lain.
Orang berpusu beratur di laluan tiket pawagam untuk menonton filem baru kita pun terbabit sama.
Orang melalak di stadium bola kita pun nak menjerit sama.
Orang merokok kita pun nak berasap sekali.
Orang tidak baca al-Quran kita pun ikut cara mereka.
Orang main gitar masa azan Maghrib kita pun join.

Sudahnya siapa yang rugi? Ambil satu minit untuk renungkan jawapan tersebut. Tiada sebarang skema jawapan disediakan.

Sedar atau tidak, kita masih lagi terbelenggu di dalam satu dunia penjajahan secara tidak langsung. Jangan hanya merdeka dan bebas secara jasmani tetapi biarlah sejajar dengan rohani kita.

Beristighfarlah. Astaghfirullah.
Hidup ini tidak lama. Sekejap sahaja.
Jangan disebabkan satu langkah yang kurang bijak hanya berpaksikan hawa nafsu yang tidak pernah puas dengan keseronokan kita menyesal kelak.
Perbanyakkan melakukan kerja-kerja baik seperti menasihati kawan kita supaya jangan melakukan kemungkaran, berpuasa sunat, memberikan bantuan kepada orang yang mengalami kesusahan, membaca al-Quran serta terjemahannya, memberi salam kepada orang Islam lain ketika bertemu, membuang sampah yang berada di hadapan rumah kita di tempat sepatutnya dan seribu satu lagi kebaikan yang boleh dijadikan contoh.

Percayalah, kita tidak akan rugi.

Ini sesuai dengan firman Allah di dalam al-Quran:

"Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan" (al-Baqarah:148)

Saya tidak mahu panjang bercerita, cukup rasanya saya kongsikan sajak ini yang isinya saya ambil setelah membaca buku Pedoman Hidup Untuk Remaja Islam susunan Roslin Hj. Samsuri. 

Buku Pedoman Hidup Untuk Remaja Islam


Buku tersebut amat bagus untuk dijadikan sebagai bahan bacaan buat para remaja.
Bab-bab seperti akademik, kerjaya, akhlak, kesihatan, dunia remaja dan agama dibentangkan oleh penulis.

Perlu diingatkan, jangan hanya sekadar baca kosong tetapi ambillah 'mutiara' daripada isi sajak tersebut.

Selamat membaca. Assalamualaikum.

Jangan Pernah Lupa Pada Sejarah Islam Yang Agung

"Wahai Saudara-Saudariku! 
Jangan Tercari-Cari Identiti
Atau Buat Identiti Sendiri 
Tanpa Melihat Sejarah Yang Lalu
Salafus Soleh Umat Contoh
Buat Siapa Saja Yang Punya Cita-cita
Tidak Kira Doktor, Peguam, Pelajar Universiti, SuriRumah Mahupun Penjual Burger

Apakah Pengisian Hidup Mereka?
Solat dan Zikir Adalah Hiburan Mereka
Tolong-Menolong Tradisi Masyarakat
Masa Lapang Lawati Saudara Dan Sahabat 
Ukhwah Terjalin Umpama Batu-Bata
Tersusun Rapi Dengan Kebalnya
Para Pemerintah Payung Umatnya
Para Muslimah Malunya Ketara
Rumah Tempat Hiburan 
Bagai Panggung Wayang Di Zaman Durjana
Jihad Amalan Biasa Mereka - Jihad Melawan Hawa Nafsu, Jihad Di Jalan Allah etc
Mati Syahid Menjadi Cita-Cita Mereka
Berpindah-Randah Mengembangkan Islam Hobi Mereka 
Mengenang Dosa Jiwa Menderita
Mengalir Air Dari Mata 
Di Malam Hari Menjadi Rahib
Di Siang Hari Menjadi Singa
Nikmat Yang Datang Takut Menerima
Bimbang Kalau Disalah Guna
Di Samping Tersembam Muka Sujud Syukur
Kerana Malu Dengan Tuhannya
Pengorbanan Mereka Bagai Air Mengalir
Tidak Putus-Putusnya
Dunia Menjadi Tunggangan Mereka 
Mereka Pacu Menuju Matlamat
Pahala Dikejar Dosa Dijauhkan
Tidak Bukan Syurgalah Matlamat Mereka

Justeru Saudara, Identiti Kita 
Tidak Perlu Kita Cari Mana-Mana
Atau Reka Dengan Otak Kita
Sikap Salafus Soleh Contoh Kita Setiap Masa." 

gambar hiasan (Sumber:Tumblr Pena Maya)