Wednesday 26 October 2011

Kemenangan Memerlukan Persediaan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Bagaimana dengan perubahan anda dari sehari ke sehari? Adakah ia menunjukkan satu prestasi yang memberangsangkan atau sekadar begitu sahaja di tahap yang sama? Sama atau tidak pastikan ia menuju ke arah kebaikan untuk di dunia begitu juga akhirat.

Pernahkah terlintas di akal fikiran kita bahawa adakah kita sudah bersedia untuk kehidupan di sana dari segi amalan, taubat dan lain-lain sebagai bekalan untuk kita bawa sesudah mati.

Sebelum menjawab soalan itu, ayuh kita renungi bersama mengenai apa yang kita kerjakan dalam kehidupan seharian kita. Ke manakah masa yang kita gunakan itu dan adakah ia boleh membawa keuntungan kita apabila dibangkitkan kelak? 

Ingat saudara sekalian, masa itu emas kerana itu ia perlu dimanfaatkan dengan sebetul-betulnya.

Dari segi solat, adakah kita menjaga waktu solat lima waktu kita dengan baik setiap hari dengan solat pada awal waktu? Jika positif jawapannya, khusyukkah kita dalam bersolat atau sekadar melaksanakannya tanpa menginsafi diri?

Berapa kalikah kita melakukan solat secara berjemaah samada di surau atau masjid atau di tempat lain dalam seminggu? 

Dari segi amalan nawafil pula, adakah kita melengkapi kehidupan seharian kita dengan perbanyakkan membuat amalan sunat seperti zikir, istighfar, bersedekah atau kita asyik dengan rancangan yang tidak membawa sebarang faedah di televisyen, lalai dengan musik yang sering diperdendangkan di telinga? 

Dalam sehari, berapa helaian al-Quran yang kita telah baca? Berapa banyak isu keduniaan seperti cabang hiburan yang kita baca? Walhal al-Quran itu merupakan satu pertolongan yang amat jelas fungsinya kepada manusia dari dahulu sampai sekarang. Pelbagai perkara yang diajarkan di dalamnya. 

Jika tidak silap saya, ia akan menjadi pelindung untuk kita berteduh daripada panas sewaktu di padang Mahsyar kelak. Panas itu tidak dapat digambarkan. Tidak ada lagi payung, bangunan mahupun pokok-pokok untuk kita berteduh. Fikirkanlah.

Dalam aspek aurat, adakah kita telah menjalani kehidupan seharian dengan menutup aurat secara sempurna?  Bagaimana pula dengan mereka yang menjadi tanggungjawab kita seperti ibubapa, anak-anak dan rakan-rakan? 

Mata pula bagaimana? Pancaindera seperti itu digunakan ke arah kebaikan seperti melihat kebesaran-NYA atau ke arah kemungkaran dan maksiat semata-mata? Misalnya, adakah kita manfaatkannya untuk membaca al-Quran atau melihat perkara yang haram seperti tubuh badan yang lain di mana ia boleh merangsang nafsu syahwat kita? 

Percakapan kita bagaimana? Kita gunakan lidah dengan mengeluarkan kata-kata kesat, umpat-mengumpat, menyebarkan fitnah atau dengan mengingati Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w?

Apa kata kalian mengenai harta kita. Adakah ia diinfakkan ke jalan yang diredhai oleh-NYA seperti bersedekah, membantu yang susah atau kemurkaan-NYA seperti membeli rokok. Cuba untuk tinggalkan rokok kerana ia pasti akan merugikan kita bah di dunia malah di akhirat kelak. Disebut di dalam al-Quran:

"Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan,"  ( al-Baqarah:195 )

Belum masuk bab adab dengan orang tua, pergaulan antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram, konsep syukur seperti tidak membazirkan makanan dan eletrik secara berlebih-lebihan dan lain-lain.

Sedarlah wahai umat Nabi Muhammad s.a.w.

Banyak lagi perkara lain kehidupan seharian kita yang boleh kita renungkan bagi tujuan perbaiki minda dan jiwa serta rohani kita ke arah yang disukai oleh Allah.

Ya! Kita perlu ubah haluan sekarang kerana kita tidak tahu bila malaikat maut akan datang menjemput kita. Boleh jadi semasa kita sedang leka berhibur, tidak menutup aurat, dan mungkin boleh jadi semasa masih tidak bersolat fardhu pada waktu itu. Nauzubillah. Semoga kita dimatikan di dalam keadaan yang paling baik (husnul khotimah-jika tidak salah saya di dalam bahasa Arabnya)

Saya ingin mengingatkan diri saya dan para pembaca Ilusi bahawa hidup ini boleh diibaratkan seperti pengembaraan yang mana kita akan menuju ke satu destinasi. Ada orang perjalanannya berliku, ada yang lurus dan ada yang menaiki dan menuruni bukit serta ada yang mungkin terjatuh ke dalam lubang gelap kerana leka berbual, atau berkhayal akan perkara keduniaan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukan Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu: yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)                                    
 (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang beriman." (as-Saff:10-13)

Persoalkan diri kita dahulu, adakah kita layak untuk mendapat kemenangan itu? Ambil peluang ini sebelum terlambat. Tepuk dada tanya selera.

Dunia sekadar persinggahan dan bukan pengakhiran bagi hidup ini. Masih ada kehidupan selepas ini yang mana kehidupan itu tidak boleh kita jangkakan akan nasib kita. Kunci kepada kita ialah hidup bersandarkan syariat Islam.

Syurga atau neraka yang diberi semuanya bergantung kepada usaha yang kita kerjakan pada hari ini. Baik amalan kita, insha-Allah baik juga hasilnya kelak. Begitu juga sebaliknya.

Allah bersama kita, yang penting kita perlu berusaha untuk mendekatkan diri kepada-NYA dengan melaksanakan suruhan dan larangan-NYA. Banyakkan berkebajikan dan berdoa supaya diberi petunjuk ke jalan yang benar.

Kita ini adalah umat akhir zaman, pada bila-bila masa kiamat akan berlaku. Pada masa itu taubat sudah tiada guna lagi. Kita manfaatkan masa yang ada sekarang dengan berubah ke arah kebaikan. Tinggalkan segala keburukan, sedikit-sedikit insha-Allah kita boleh berubah.

Bak kata orang putih "Victory loves preparation" jadi kita harus membuat persediaan yang kemas dan rapi untuk peroleh kemenangan yang besar kelak. Jangan berputus asa.

Secara keseluruhan, terlalu sedikit kita membuat persiapan untuk kemenangan di akhirat kelak dalam kehidupan seharian kita.

Saya harap apa yang ditulis ini dapat difahami oleh para pembaca. Jika terdapat kesalahan, saya harap kalian dapat perbetulkan saya. Saya ini tidaklah hebat mana pun ilmu agama tetapi ingin berkongsi mengenai ilmu yang ada.

Alhamdulillah, selesai.

Assalamualaikum dan selamat beramal.


gambar hiasan

Sunday 23 October 2011

Pancaindera Satu Nikmat - Lidah.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Bagaimana keadaan kalian pada hari ini? Saya berharap kalian semua berada di dalam keadaan sihat sejahtera. Insha-Allah. 

Terima kasih kerana masih sudi membaca penulisan saya pada kali ini. Saya harap kalian dapat membacanya dengan berazam supaya dapat berubah dan merubah yang lain ke arah kebaikan.

Sudah tentu anda tertanya. Mengapa lidah tidak hati? Mengapa lidah tidak mata? 

Baru-baru ini saya telah menonton satu rancangan keagamaan di televisyen yang tidak berbayar mengenai salah satu pancaindera manusia iaitu lidah. Sedikit sebanyak ia telah menyedarkan saya bahawa saya telah banyak menyalahgunakan nikmat tersebut yang dikurniakan oleh Allah. Oleh kerana demikian saya tertarik untuk berkongsi idea dan ilmu dengan para pembaca Ilusi.

Cuba kita ambil masa sebentar dalam 10saat untuk kita berfikir sejenak sudah berapa kali pada hari ini kita menggunakan lidah untuk ke arah kebaikan seperti memuji, bersyukur dan memohon ampun kepada Allah? Dan berapa kali bagi ke arah keburukan?

Jika berat ke arah kebaikan Alhamdulillah dan jika bukan sedemikan, kita perlu berubah saudara sekalian. Mengapa? Yang pasti kerana kita tidak tahu bila lagi kita akan dapat berbuat amal seperti berzikir, beristighfar dan membaca al-Quran.  Semoga kita semua dibukakan pintu hati untuk berbuat ke arah tersebut.

Lidah merupakan satu tanggungjawab yang berat untuk kita pikul kerana ia boleh mendatangkan keburukan kepada kita. Masih saya teringat pesan guru Bahasa Melayu kepada saya dan rakan-rakan sekelas yang lain sewaktu di tingkatan 5, "Jangan disebabkan mulut kamu badan binasa". Saya harap beliau berada di dalam keadaan sihat sejahtera.

Tidak percaya?

Cuba anda renungkan, senario yang telah berlaku selama ini banyak disebabkan oleh lidah yang tidak dapat dikawal oleh si empunya. Sebagai contoh di dalam pergaduhan, persengketaan, dan perselisihan. Di mana A akan menceritakan tentang keburukan B kepada C dan C kepada D dan terus-menerus sehingga Z. Ini bukan sahaja menjatuhkan maruah mangsa malah ia juga membuatkan orang tidak lagi berminat untuk bergaul dengannya. Jika ia betul tidak mengapa, bagaimana sekiranya cerita itu direka semata-mata?

Tahukah mereka Allah ada berfirman yang bermaksud bahawa sekiranya kamu membuka aib yang lain, maka Allah akan membuka  aib kamu di akhirat kelak.

Tidak perlu jauh, kita lihat saja dalam kehidupan seharian kita jika kita lihat fenomena umpat-mengumpat, fitnah-memfitnah sungguh dahsyat berlaku di dalam mayarakat sekeliling atau mungkin kita sendiri yang lakukan perkara sedemikan? Renungkanlah. 

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu menggungjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."     ( Al-Hujurat : 12 )

Isu utama yang perlu diketengahkan adalah adakah menjadi satu kemestian, kewajiban dan keperluan untuk kita mengambil tahu mengenai keburukan orang lain? Tidak sama sekali. Malahan, kadang-kadang kita mungkin akan terdorong untuk melakukan serupa seperti itu.

Secara amnya, kita sering melihat yang lain dan terus mengkritik mereka tanpa rasa bersalah pada diri sendiri samada bersendirian mahupun berkumpulan. Bukan begitu caranya. Kita seharusnya melihat dan terus mencerminkan dahulu diri sendiri bagi tujuan muhasabah diri. Bukankah muhasabah diri amat disyorkan dalam agama Allah? Kita fikir dan cuba ubah diri kita dan mengubah yang lain ke arah yang diredhai oleh-NYA.

Perlu diberi perhatian, setiap perkara yang terjadi ke atas kita ada baiknya. Mungkin itu peluang kita untuk berubah. Tidak ada yang tahu melainkan Al-Hakim. Jadi gunakan setiap peluang dengan baik. 

Kita tidak sedar mengapa adanya sampah-sarap setiap hari di merata tempat dan sering mencaci perbuatan orang yang membuang sampah. Akan tetapi, adakah itu satu peluang kita untuk berbuat kebaikan - membuang sampah tersebut di dalam tong sampah dan mendoakan agar pembuang sampah itu tadi diberi hidayah untuk membuat perkara yang betul disisi undang-undang? Mungkin, siapa tahu. 

Apakah maknanya jika kita menonton bola sehingga menyebabkan kita boleh hilang emosi sehingga mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh mendatangkan kesusahan kepada kita? Sekiranya perlawanan itu tidak menyebelahi pasukan yang kita sokong, tidak perlu sampai kita mencaci pemain tersebut. Itu salah. 

Yang sebenarnya permainan seperti bola sepak itu adalah untuk kita menghilangkan tensi dan merapatkan hubungan dengan Muslim yang lain bukan sehingga taksub dengan setiap perkembangan permainan tersebut. Saya ingin menasihatkan diri saya dan para pembaca supaya cuba kurangkan dan terus menjauhkan diri daripada rancangan yang pakaiannya tidak sempurna (tidak menutup aurat) kerana nampak simple akan tetapi kesannya?

Dari kita mengumpat yang lain, menceritakan keburukan yang lain dan berbual kosong yang tidak mendatangkan faedah lebih baik sekiranya kita berzikir, bertasbih, bertahmid, bertahlil, beristighfar atau membaca al-Quran. Hidup hanya sekali dan peluang hanya datang sekali. Orang Melayu cakap "Buah hanya bergolek sekali". 

Secara tuntasnya, kita perlu pelihara lidah kita dengan baik. Dengan lidah kita boleh menambah amalan baik kita dan dengan lidah juga kita boleh mengurangkan amalan baik kita. Gunakan lidah dengan perkara yang betul sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t. Nikmat ini sangat berharga dalam kehidupan seharian manusia. 

Sekian untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Assalamualaikum.

gambar hiasan






Saturday 22 October 2011

Masa Itu Emas.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Ini merupakan penulisan saya yang pertama, jadi saya ingin memohon maaf sekiranya ia agak membosankan dan tidak menepati selera kalian untuk membacanya. Walau bagaimanapun, saya berharap penulisan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Sedarkah kita bahawa setiap saat yang kita gunakan akan disoal ketika kita tidak lagi berada di atas bumi? Selama kita hidup di bumi Allah, adakah kita telah menggunakannya dengan perkara yang betul di sisi agama atau sebaliknya? Terlalu banyak persoalan yang boleh dibuat berpaksikan masa dan agama. Dalam erti kata yang lain, ramai dalam kalangan kita merupakan orang yang rugi melainkan orang-orang yang beriman.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan mengerjakan kebajukan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran" ( Al-'Asr : 1-3 )

Jika kita renung seketika apa yang telah kita lakukan dari kebanyakkan masa kita. Dari pengalaman saya, ianya amat sedih kerana banyak dari emas itu telah saya laburkan ke arah kemungkaran. Dan Alhamdulillah hidup saya kini lebih baik dari yang sebelum. Ini mungkin berkat doa ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara dan rakan-rakan yang tidak pernah putus mendoakan saya.

Ramai daripada kalangan generasi Y marcapada ini yang leka dengan alat teknologi tinggi samada permainan video, rancangan televisyen yang tidak berfaedah, lagu-lagu yang bersikap keduniaan dan lain-lain. Sedar tidak sedar, majoriti daripada pelajar sekolah kebelakangan ini lebih arif pengetahuannya di dalam permainan video, dunia artis tempatan mahupun luar negara berbanding dengan ilmu agama. Tidak percaya? Cuba anda menyoal mengenai Linkin Park dan Salehuddin al-Ayubbi.

Perkara seperti ini tidak boleh kita salahkan mereka semata-mata kerana sebagai pelajar mereka masih mentah dan  masih banyak yang perlu belajar. Akan tetapi itu bukan alasan yang kukuh, perlu diingatkan juga bahawa ramai daripada tokoh-tokoh Islam seperti Imam Shafi'e dan Imam Malik yang telah berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari ilmu. Imam Shafi'e yang asalnya dari Sham telah pergi ke negara lain seperti Mesir, Madinah bagi menuntut ilmu di bawah imam yang lain.

Lihat, semangat kental mereka yang tinggi telah memberi banyak faedah kepada generasi selepas mereka. Mereka telah menggunakan masa dengan melakukan perkara berfaedah. Hal seperti itu amatlah perlu kita contohi dalam menjadi Mukmin  yang kaya dengan ilmu pengetahuan. Sedih apabila melihat sebahagian daripada pelajar sekolah kerap melakukan masalah displin seperti ponteng sekolah, bergaduh, bercouple dan sehingga ada diantara mereka yang sanggup membuang janin ke tempat yang kotor lagi busuk akibat perbuatan terlanjur mereka. 

Astaghfirullah, kita sudah tersasar terlalu jauh saudara-saudaraku. Pelajar ini bukan sahaja membazirkan masa bahkan telah melakukan kemungkaran. Bagi golongan yang berkuasa seperti pengawas, mereka ini  hanya sekadar memenuhi jawatan itu tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab itu dengan sempurna. Cukup sekadar dengan jawapan " Ala, lepak ahh. tak payah la nerd sangat. " apabila diajukan soalan mengapa tidak mengambil tindakan terhadap pelajar yang melakukan masalah displin.

Bagi golongan remaja, mereka asyik sibuk dengan dunia hiburan mereka dalam kehidupan seharian mereka sehingga lupa dengan tanggungjawab mereka yang sebenarnya iaitu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Musik yang  melalaikan asyik didengarkan, rancangan yang mengghairahkan sering dijadikan sebagai hidangan untuk mereka. Golongan ini merasakan malu dan tersisih sekiranya mereka tidak tahu perkembangan cerita ataupun lagu hit walaupun pada dasarnya ianya hanya berbentuk keduniaan. 

Dalam hal keagamaan, seperti tidak menutup aurat ianya adalah normal pada mereka kerana apa? "Jiwa Muda bro!" Astaghfirullah. Jawapan yang mungkin dapat cukup-cukup makan di dalam ujian peperikasaan atau mungkin gagal terus diberi oleh penanda kertas tanpa belas kasihan. Tidak susah untuk menutup aurat. Tidak semestinya kita kena menutup aurat dengan pakaian yang mahal, branded, ataupun trendy. Bukankah hidup bersederhana itu amat digalakkan dalam Islam?

Apakah signifikasinya mereka menonton filem ataupun drama mahupun klip video lagu yang hampir keseluruhannya menggunakan wanita yang tidak menutup aurat sebagai daya tarikan penonton? Ya. Memang benar, ia nampak mudah dan orang Barat cakap "Take it easy man! It just a film" percayalah bahawa sedikit sebanyak perkara seperti ini akan mendatangkan kesusahan kepada diri kita kelak samada di dunia atau akhirat atau mungkin kedua-duanya sekali. Semoga kita dijauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan.

Berapa ramai daripada anak muda yang berkeinginan untuk membantu mereka yang tua, susah dan tidak berkemampuan? Sangat sedikit bilangannya berbanding mereka yang sibuk mencari nama dalam kalangan masyarakat setempat. Kebanyakkan daripada mereka lebih gemar selesa sekiranya digelar sebagai abang besar atau gangster sesebuah kawasan daripada digelar sebagai budak masjid. Seolah-olah kehidupan samseng lebih tinggi darjatnya daripada kehidupan yang tenang dan majmuk di masjid. 

Namun, pada hakikatnya mereka adalah sama disisi Allah sebagai hamba yang seharusnya melaksanakan perintah-NYA dan meninggalkan larangan-NYA. Keadaan ini pelik bukan dengan zaman kegemilangan Islam dimana pemudanya seperti Salahuddin al-Ayubbi dan Salman al-Farisi yang banyak menghabiskan masa dan waktunya untuk menegakkan Islam. Di sini terdapat klip yang mungkin dapat memberi kesedaran kita semua mengenai realiti orang Islam mutakhir ini.



Bagaimana dengan klip tersebut? Harap ia dapat membantu saudara sekalian.

Malu untuk saya melihat ramai daripada anak muda yang tidak mengambil apa-apa tindakan sejurus azan dilaungkan oleh Muazzin. Adakah mereka ini sengaja tidak mahu menyahut seruan "Marilah bersolat" atau mereka sekadar menganggap itu hanya kerja rutin bilal di masjid? Ada salah satu Hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

"Ketahuilah bahawa sekiranya ada diantara kamu yang mendengar azan dan tidak terus pergi bersolat maka tidak sah akan solatnya melainkan berada di dalam keuzuran."

Renungkan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w itu dengan sebaik-baiknya.

Pada masa sihat inilah waktunya untuk kita kerap ke masjid untuk solat berjemaah. Sekiranya kita tunggu di waktu sakit maka mungkin itu susah sedikit untuk laksankannya.Selain itu, solat berjemaah amatlah digalakkan dalam Islam. Ganjarannya adalah 27 kali ganda lebih daripada melakukan solat secara bersendirian. Ingin saya menanya sedikit, kalau bukan kita yang ingin memakmurkan dan mengimarahkan rumah Allah siapa lagi? Sedih jika kita bandingkan keadaan di masjid khususnya pada waktu solat fardhu dengan keadaan di shopping complex pada hari ini.

Pendek kata, tidak akan rugi dan menyesal kita apabila melakukan banyak amal kebaikan seperti menolong yang susah, melemparkan senyuman serta menyertai solat secara berjemaah di masjid pada awal waktu ketika berada di dunia. Hal ini kerana dunia ini ibarat ladang kita untuk bercucuk tanam dan hasilnya kita dapat nikmati ketika di akhirat kelak. Cantik dan bersih ladangnya maka baiklah hasilnya.

Saya pasti semua umat Islam tidak kira doktor pakar, penjual burger mahupun pencuri kereta semuanya ingin ke syurga Allah. Oleh itu, saya ingin menasihati diri saya dan para pembaca agar dapat memanfaatkan masa yang ada dengan beramal saleh ketika masih diberi peluang hidup di dunia yang sementara ini. Tidak ada gunanya kita meraung dan bersedih ketika sudah mati kerana peluang hanya datang sekali.

Sekiranya terdapat sebarang kesilapan, pembetulan amat dialu-alukan daripada kalian.

Selamat beramal. Assalamualaikum.


gambar hiasan