Wednesday 8 February 2012

Ucaplah Alhamdulillah Bagi Mereka Yang Mempunyai Penglihatan. Manfaatkan Ia Untuk Melihat Kebesaran Allah Bukan Kemungkaran.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Apa yang membuatkan saya ingin menulis pada kali ini adalah disebabkan seorang Orang Kurang Upaya (OKU) yang saya telah berjumpa secara tidak langsung semalam.

Kejadian berlaku antara jam 1830-1905 di kawasan menunggu bas berhampiran pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur.

Saya sebenarnya keluar untuk mencari buku tetapi ia kehabisan dijual oleh pemborong. 

Sedikit pun tidak menjangka bahawa ada sesuatu yang boleh memberi penyedaran kepada saya dalam perjalanan pulang ketika itu.

Semasa saya mendekati pondok bas, saya melihat ada seorang pak cik tua bongkok with the blind man's stick sedang duduk.

"Pak cik ni sindiket ke betul-betul? Bukan boleh percaya orang zaman sekarang." bisik hati saya yang mudah terpedaya dengan hasutan syaitan sedangkan Islam tidak mengajar kita untuk bersangka buruk terhadap yang lain. Astaghfirullah.

Sementara duduk berdekatan dengannya saya cuma bercadang untuk memberikan sedikit sumbangan berbentuk wang ringgit tetapi ada sesuatu yang membuat saya berubah fikiran.

Saya teringat pesan saudara Cr. Hamid, "Kita sepatutnya bersyukur kerana telah diberikan peluang untuk membuat kebaikan. Ini satu bonus buat kita apabila berjumpa dengan orang yang memerlukan bantuan."

Tambahan pula, semasa saya memberi pak cik itu duit, dia bertanya, "Bas nak pergi Bangsar ke tu?". Seolah-olah memanggil saya untuk membantunya.

"Haah." jawab saya.

Lantas, saya terus menganggap ini sebagai satu peluang bagi saya untuk melakukan kebaikan bagi mendapatkan keredhaan Allah sebagaimana yang diperkatakan oleh Cr. di atas.

Saya pun memimpin pak cik tersebut ke arah bas yang berhenti tidak berapa jauh dari kami.

Semasa memimpinnya, dia seolah-olah bersungguh untuk mendapatkan bas dengan mempercepatkan langkah kakinya. "Mungkin dah lama kot dia tunggu bas ni. Macam tak sabar je nak balik." kata hati saya.

Sejurus kami tiba, bas yang dipandu oleh orang bukan Islam itu terus bergerak tanpa mempedulikan kami walaupun bas itu sudah pun dilambaikan oleh saya beberapa kali sebagai tanda isyarat untuk menaikinya.

"Bas tu tak berhenti la pak cik." pesan saya kepada pak cik tersebut.

"Oh. Takpelah. Bas nombor berapa eh tadi? Pak cik dah lama tak pergi sini." tanya pak cik.

"Saya pun tak perasan pak cik. Pak cik nama apa? Dah solat Asar?"

"Zaidi (jika tidak silap saya). Eh, bukan dah lama ke Asar. Nak masuk waktu Maghrib ni kan. Pak cik dah solat tadi."

Terhenti saya untuk bertanyakan lagi beberapa soalan. Saya berfikir sejenak, "Orang buta yang duduk kat tengah KL dekat dengan shopping mall ni pun sedar nak solat. Aku dulu sibuk dengan urusan dunia leka sampai tak solat pun."

Kemudian, mata saya memandang keadaan persekitaran. Majoriti orang yang ada di situ memandang pak cik itu sebagai sesuatu yang pelik. 

Persoalan saya, pelik ke orang buta yang sudah menjalankan kewajipan bersolat untuk menunggu bas berhampiran dengan pusat beli-belah? 

Jangan menganggap golongan seperti ini sebagai sesuatu yang pelik tetapi anggaplah orang yang tidak bersolat sebagai orang yang pelik.

Sebagai salah satu hadis Nabi Muhammad s.a.w,

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:  "Islam bermula dalam keadaan terasing. Ia akan kembali asing seperti permulaannya. Maka, berbahagialah untuk orang yang terasing." (Riwayat Muslim)


Tidak berapa lama kemudian, ada sebuah lagi bas yang berhenti di situ yang betul-betul di hadapan kami.

"Nak pergi mana dik?" tanya konduktor bas tersebut.

"Bangsar cik." jawab saya.

Pandangan konduktor yang berupa seperti Melayu-Islam tersebut terus berubah seolah melihat sesuatu yang amat hina apabila saya kembali memimpin pak cik buta itu untuk menaiki bas dan terus berkata, "Tunggu bas dekat bawah sana dik. Bas ni tak pergi sana." 

Apakah persepsi anda apabila berada di tempat saya? Bas sudah terpampang untuk ke Bangsar tetapi apabila melihat orang buta ingin menaiki terus berkata sebaliknya. Adakah ini sikap masyarakat Islam pada zaman Rasulullah s.a.w? 

Betullah kata penulis Pena Maya, "Sikap sesetengah orang Melayu yang beragama Islam tidak benar-benar menggambarkan agama tersebut."

Kekecewaan jelas terpancar di raut wajah orang kurang upaya yang berumur lingkungan 50-60 tahun itu apabila masih tidak dapat menaiki bas.

"Pak cik dari bila tak nampak ni?" tanya saya.

"Daripada kecik lagi. Dik, sini ada masakan Melayu tak? Dah lama pak cik tak pergi sini." katanya.

"Sini tak ada cik. Kalau ada pun susah nak cari, banyak makanan cepat-siap je." jawab saya dengan hati yang sebak.

Akhirnya, saya terus memberi cadangan "Pak cik naik teksi la. Senang sikit. Bas macam susah je nak dapat." 

Tidak perlu untuk saya berfikir panjang sepertimana saya menjawab peperiksaan Additional Mathematics ketika SPM dahulu kerana dengan beg yang berat, saya rasa pak cik yang menetap di Rumah Orang Cacat Brickfields itu tentu mahu cepat sampai ke destinasi.

Selepas pak cik itu bersetuju, akhirnya ada abang teksi yang sudi menumpangkannya dengan harga yang berpatutan menuju ke Bangsar. Alhamdulillah.

"Jumpa lagi pak cik. Jaga diri. Assalamualaikum." kata-kata saya yang terakhir kepada pak cik tersebut.

Saya harap pak cik tersebut selamat sampai untuk bertemu dengan kawannya. Semoga Allah permudahkan urusan pak cik tersebut. Insha-Allah.

Banyak pengajaran yang boleh kita singkap daripada kisah pak cik buta itu tadi. Apa yang perlu kita buat adalah muhasabah diri.

Ya. Inilah masanya untuk berubah. Bukan besok ataupun nanti. 

Kita tidak tahu samada besok ataupun nanti itu ada lagi tak untuk kita.

Jangan kita hanya sekadar tahu untuk menggunakan mata bagi melihat perkara yang boleh mendatangkan keburukan kepada kita seperti melihat aurat bukan mahram.

Tidak dinafikan, ada sahaja budaya 'cuci mata' di kalangan orang kita apabila melihat aurat perempuan yang bukan mahram.

Budaya yang sesat ini bukan sahaja glamour di kalangan muda-mudi, malah ada di kalangan pak cik-pak cik. Astaghfirullah. Sudah jauh kita terpesong wahai saudara sekalian.

Isunya, apakah definisi mencuci sebenarnya? Adakah untuk membersihkan atau untuk mengotorkan? Fahamkan semula. Jangan mudah terikut dengan budaya negatif yang boleh menyesalkan kita di akhirat kelak.

Bagaimana hati kita hendak bersih dan lapang jika perkara melalaikan seperti rancangan musik dan klip-klip panas, lorong-lorong pelacuran yang sering kita santapkan untuk mata kita? 

Cuba kita soal diri kita sesekali, apa fungsi mata yang sebenarnya? Adakah untuk menuntut ilmu Matematik, Sains, ilmu kesihatan dan etc. semata-mata? Atau untuk melihat kebesaran Allah yang boleh meningkatkan lagi iman kita kepada-Nya?

Kenapa kita tidak gunakan mata kita untuk membaca al-Quran, pergi melancong ke tempat-tempat yang baik seperti negara Islam yang lain dan tempat peranginan yang boleh menyedarkan kita tentang kebesaran Allah S.W.T?

Mengembaralah kita jika punyai kelapangan harta dan masa.

Kelak kita akan sedar bahawa dunia ini luas dan manusia itu sangat kecil dan di situ kita boleh nampak betapa hebatnya Allah. Subhanallah. Allahuakbar.

Bersyukurlah dengan nikmat penglihatan yang dianugerahkan oleh Allah ini kepada kita.

Jangan banyak merungut itu ini. 

Bayangkan bagaimana hidup kita sekiranya nikmat sebegini ditarik oleh Allah. Banyak daripada kerja kita yang akan terganggu. 

Allah dah kurniakan dua biji mata yang cukup sempurna, gunakanlah untuk perkara kebaikan bukan kejahatan. 

Allah sudah banyak beri kita nikmat. Kenapa kita masih tidak bersyukur dengan banyak melakukan kemungkaran?

Perlu diingatkan, agama Islam itu tidak susah. Islam itu mudah. Hanya manusia yang merumitkan Islam.

Alhamdulillah, satu lagi penulisan selesai dikarang.

Semoga penulisan kali ini dapat memberikan manfaat kepada para pembaca. Insha-Allah.

Assalamualaikum dan selamat beramal.

gambar hiasan.