Tuesday 24 July 2012

Jadikan Ramadhan Kali Ini Sebagai Satu Permulaan Untuk Berhijrah Ke Ruang Kebaikan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Sebelum memulakan penulisan pada kali ini, ingin saya mengucapkan 'Selamat Berpuasa' dan 'Selamat Menyambut Bulan Ramadhan' kepada semua pembaca Ilusi.

Bagaimana perjalanan puasa dan ibadah-ibadah lain sepanjang hari-hari berpuasa ini?

Alhamdulillah jika semuanya berjalan dengan baik. Jika tidak jangan kecewa, cuba lagi untuk perbaiki diri. Jangan putus asa.

Oh ya, saya hampir terlupa!

Begini, baru-baru ini (21hb Julai 2012) Alhamdulillah saya telah mendaftar Tumblr Rasmi Rakan Ilusi

Jadi, siapa ada masa lebih boleh meninjau Tumblr tersebut. Tiada paksaan.

Tujuan saya melebarkan lagi sayap laman Ilusi ini adalah untuk menarik minat orang ramai untuk membaca dan melihat perkara-perkara yang baik dimana ianya diselitkan unsur peringatan khususnya buat para remaja.

Bukanlah saya hendak mengatakan diri saya sempurna, tidak sama sekali.

Cuma saya ingin berkongsi ilmu yang sedikit saya ada dengan harapan agar dapat membawa perubahan yang baik kepada diri sendiri, para pembaca juga masyarakat samada yang beragama Islam mahupun tidak.

Yelah, ada orang tidak suka membaca penulisan yang panjang kerana suka yang ringkas.

Ada orang pula hanya suka melihat gambar.

Lantas saya menyediakan pelbagai medium untuk kita semua - Blog, Twitter juga Tumblr setakat ini.

Itu tidak menjadi masalah, asalkan minat untuk mencari sesuatu yang boleh dinamakan 'mutiara' ada di dalam jiwa kita. 

Selain itu, dengan mengemas-kini laman-laman Ilusi ia juga secara tidak langsung mengingatkan saya agar menjadi seorang yang sentiasa berkelakuan baik dan sentiasa menghindari perkara yang buruk.

Kalian juga boleh berbuat perkara yang sama, tidak begitu?

Nabi Muhammad s.a.w pun pernah berkata:

"Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Jadi, rebutlah peluang - Perbanyakkan sedekah juga banyakkan berkongsi ilmu.

Sementara masih bernyawa lagi inilah kita boleh beramal. 

Nanti bila sudah tidak lagi bernyawa maka kita tidak mampu lagi, walaupun hendak memberi sedekah berbentuk senyuman.

Maaf, sekiranya penulisan saya setakat ini tidak begitu jelas. Mungkin disebabkan mengantuk.

Baiklah, kita terus berganjak kepada tajuk penulisan pada kali ini yakni berkaitan dengan Ramadhan.


 
lagu hiasan.


Ya akhi wa ukti, 

Apakah yang dimaksudkan dengan Ramadhan sebenarnya?

Umumnya di bulan ini kita semua akan berpuasa di siang hari lebih kurang 13-14 jam lamanya.

Isu dan persoalan yang ingin saya ketengahkan adalah adakah kita benar-benar berpuasa mengikut ketetapan syariat Islam? 

Renung-renungkan.

Dalam Al-Quran ada ayat yang menyuruh agar umat Islam berpuasa yakni:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah:183)

Menurut Ustad Asri ketika memberi tazkirah ringkas di masjid berhampiran rumah saya bahawa orang yang berpuasa dengan benar-benar ikhlas dan mengharapkan redha Allah S.W.T dan ganjaran-Nya akan berubah menjadi orang yang bertaqwa. Insha-Allah.

Itulah yang kita mahukan. Bukannya sekadar mendapat lapar dan dahaga.

Mulut, mata dan telinga kena jaga. Pendek kata, semua benda kita kena jaga supaya ibadat puasa kita tidak terbatal.

Justeru, manfaatkanlah bulan ini dengan melakukan banyak amal-ibadat di samping berdoa.

gambar hiasan
Berikut adalah contoh jadual harian (pagi ke malam) ketika berada di bulan ini dan kalau boleh terus praktikkan ke bulan-bulan lain:

Bangun awal sedikit untuk bersahur(1) supaya dapat mengerjakan solat sunat Tahajjud(2).

Jangan tak bersahur pula kerana bersahur membezakan puasa orang Islam dan bukan Islam.

Seingat saya ada tazkirah yang pernah saya dengar yang mengatakan bahawa keberkatan berpuasa ada di dalam bersahur. Tidak pasti. Mohon rujuk semula ya.

Sejurus bersahur jangan terus tidur tetapi hendaklah terus ke masjid atau surau untuk solat Subuh secara berjemaah(3).

Kalau rumah terlalu jauh hendaklah solat Subuh secara berjemaah bersama keluarga.
Jangan beri alasan. Solat Subuh secara berjemaah ibarat beribadat sepanjang malam.

Lebih elok jika laksanakan dahulu solat sunat sebelum solat Subuh(4) sebelum itu.

Selesai, tibanya masa untuk membaca Al-Quran(5).

Kemudian bebas - Ikutlah kalau sedang bekerja pergilah bekerja kalau belajar pergilah ke kelas dan begitulah keadaannya.

Cuma ada baiknya sekiranya tunaikan dahulu solat sunat Dhuha(6) sebelum keluar rumah untuk apa aktiviti sekalipun.

Pada ketika sebegini mungkin elok sekiranya kita penuhkan masa dengan membaca buku(7), membantu ibu ayah(8) - kemas rumah, memahami tafsir Al-Quran(9), bercucuk tanam(10) atau apa jua asalkan ianya berfaedah.

Tiba waktu tengahari sedikit mungkin kita boleh berehat sebentar atau dalam erti kata lain 'Qailulah'(11) yang bermaksud 'tidur sebentar'.

Harus diingatkan, tidur bukan seperti kita mahu tidur malam. Tidur ini hanya bertujuan merehatkan badan dan minda sahaja. Perlu faham.

Nanti susah kalau lama sangat tidur. Bimbang hidup tidak produktif dan solat Zohor pula entah ke mana.

Waktu Zohor berkumandang, gerakkan kaki ke masjid atau surau. Laksanakan solat Zohor secara berjemaah(12) selepas mengerjakan solat sunat Rawatib dua rakaat sebelum Zohor(13).

Waktu Asar berkumandang, gerakkan kaki ke masjid atau surau. Laksanakan solat Asar secara berjemaah(14) selepas mengerjakan solat sunat Rawatib dua rakaat sebelum Asar(15).

Yang penting solat fardhu hendaklah dilakukan secara berjemaah walaupun dua orang. Cuba!

Petang-petang begini bolehlah sekiranya kita hendak berukhwah(16) dengan sanak-saudara juga rakan-tauladan serta jiran-tetangga.

Ziarah mereka, dengan hati ikhlas(17). Ambil masa dalam 15-30 minit. Jangan terlalu lama risau menggangu jadual mereka.

Ada rezeki lebih, kita bawa sedikit buah tangan untuk mereka sebagai juadah berbuka puasa. Bukankah memberi makan orang yang lapar(18) itu satu perkara yang baik - lebih lagi di bulan Ramadhan?

Tetapi ingat, jika kita hendak mendapatkan buah tangan tersebut di bazaar Ramadhan mata kena jaga(19). Jangan dok menghela na.

Maklumlah, di sana pakaian muda-mudi baik wanita mahupun laki-laki dua-dua sama sahaja buat tidak senang kita rasa.

Jangan kita berpuasa tetapi akhirnya terbatal puasa kita hanya dengan melihat aurat bukan muhrim di bazaar. 

Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon supaya semua dapat menjaga adab berpakaian ketika berada di luar rumah samada di bazar, kedai runcit mahupun di hadapan rumah. Aurat tetap aurat.

Selain daripada bersedekah(20) di tabung masjid, kita juga mungkin boleh memberi sedikit sumbangan berbentuk wang atau makanan serta pakaian kepada fakir miskin.

Cari mereka. Jangan hanya berlegar di ruang kehidupan sendiri.

Antara orang yang mudah untuk berjaya ialah orang yang mencintai orang fakir miskin. Ingat.

Kalau tidak ada masa sekali pun busy sangat misalnya, masukkanlah sedikit atau sebanyak yang mungkin wang ke dalam tabung masjid atau surau.

Yang penting ikhlas. Tidak mahu riak-riak.

Jangan sayang duit(21) sebab duit tak boleh bawa mati.

Cuba fahamkan ayat ini:

"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya."(Al-Baqarah:261)

"Allahuakbar. Allahuakbar."

Tanda masuknya waktu Maghrib, dan itu maksudnya waktu untuk berbuka puasa. Keseronokan jelas terpancar di setiap wajah Muslimin dan Muslimat yang berpuasa.

Masa itu janganlah kita bersikap tamak(22) untuk menelan semua makanan yang ada pada satu masa. Tenang. Makanan tidak lari.

Makan perlahan-lahan(23) kerana sifat yang tergesa adalah antara sifat iblis.

Hendak lagi cantik perjalanan, makan sedikit - kurma atau apa-apa buah / makanan yang tidak dimasak dengan api hanya untuk membatalkan puasa kemudian solat Maghrib secara berjemaah(24) sebelum solat sunat selepas solat Maghrib(25).

Selesai, siap-siap untuk solat Isya' secara berjemaah(26) dan Tarawikh(27) di masjid atau surau.

Selepas siap solat Isya' secara berjemaah jangan pula lupa untuk solat sunat Rawatib dua rakaat selepas Isya'(28).

Bab Tarawikh kita jangan ikut orang daripada segi rakaatnya. Ikut keselesaan.

Yang penting 'istiqamah(29).

Oh ya, tentu kalian berkata 'Lapar la macam tu.'

Jangan risau. Kan ada masa selepas bersiap untuk ke masjid.

Ha, masa tu makan la. Selamat menikmati juadah berbuka puasa antum semua!

Selepas keadaan tenang, boleh bergerak ke masjid seeloknya berjalan kaki sekiranya rumah tidak jauh dari rumah.

Malam itu, di rumah terpulanglah hendak buat apa. Asalkan ia bermanfaat.

Sebelum tidur, pastikan kita menunaikan solat sunat Witir(30). Ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w seperti yang telah diberitahu di perenggan yang awal.

Sebelum tidur ada eloknya jika ambil wudhuk(31) dahulu dan bersugi(32) sebentar.

Tentu nyenyak dan selesa untuk tidur!

Sekadar berkongsi: Apakah Definisi Solat Sunat Witir? 
                             
Ia adalah solat terakhir yang perlu dilakukan oleh seseorang pada setiap hari. Jumlahnya ganjil sebab itulah ia dinamakan 'witir' (ganjil) Paling sedikit 1 rakaat , paling banyak 11 rakaat. Waktunya adalah selepas solat Isya' sehingga terbit fajar - Sumber


Demikian hanya cadangan. Tiada paksaan untuk kalian mahu ikut atau tidak.

Rumusannya, jadilah hamba yang sebenarnya kepada Allah bukan kepada Ramadhan.

Bukan apa, orang kita majoriti hanya berkelakuan baik ketika bulan puasa sahaja; masjid penuh, selalu bersedekah etc tetapi tibanya bulan lain hilang semua itu.

Jadikan Ramadhan ini sebagai satu permulaan untuk berubah ke arah kebaikan. Amacam?

Praktikkan apa yang kita amalkan ketika di bulan Ramadhan ini di bulan-bulan lain.

Kuatkan semangat dan latih diri supaya menjadi seorang Muslim yang kuat.

Sekiranya terdapat cacat-cela di dalam penulisan saya pada kali ini saya mohon maaf dan amat mengalukan pembetulan daripada kalian.

Selamat berpuasa dan selamat beramal.

Assalamualaikum.

gambar hiasan