Wednesday 30 May 2012

Menyampaikan Kebenaran Itu Adalah Tanggungjawab Setiap Orang Islam. Manfaatkan Masa Yang Ada Dengan Perkara Baik-Baik Bukan Sia-Sia. Jangan Jadi Orang Menyesal Di Hari Kelak.


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum kepada sesiapa sahaja yang membaca ruang penulisan Rakan Ilusi ini.

Semoga kalian semua berada di dalam keadaan sihat-sejahtera. Insha-Allah.

Sudah lama saya tidak menulis, niat di hati ingin menulis tetapi apakan daya, kesibukan menghadapi peperiksaan dan membantu ibu ayah antara faktor-faktor yang tidak dapat saya menulis. 

Semoga saya peroleh keputusan cemerlang di dalam peperiksaan. Insha-Allah.

Meskipun begitu, bukanlah saya hendak riak hendak bercerita macam saya ni anak yang baik etc, jangan salah sangka kerana bersangka buruk itu merupakan sifat tercela.

Saya juga tidak menyalahkan ibu ayah kerana mereka saya tidak dapat menulis bahkan saya cukup bersyukur kerana pertama sekali, saya masih punyai ibu ayah. Saya dapat merasai apa itu kenikmatan bersama ibu ayah. Alhamdulillah.

Lagipun, bukankah berbakti pada kedua orang tua itu amat digalakkan di dalam agama Islam?


Justeru, saya ingin menyeru sahabat-handai pena Ilusi ni supaya janganlah abaikan ibu ayah anda. Bagi yang bekerja ataupun menuntut jauh dengan mereka, tolonglah talifon mereka sekurangnya seminggu tiga kali. 

Sekali anda talifon, mereka cukup gembira. Percayalah.

Baiklah, tujuan saya menulis pada kali ingin bukanlah ingin menceritakan pengalaman peribadi saya tetapi adalah untuk menyeru para pembaca supaya menyebarkan dakwah. 

"Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang Engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl:125)

Kita kena tahu definisi dakwah dahulu sebelum bertindak.


Dalam erti kata lain, ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ – mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada keburukan adalah maksud dakwah.

“Belum masanya lagi la aku nak berdakwah. Aku ni pun mana tinggi sangat ilmu agama. Nanti apa pula kata orang”

Begitulah biasanya alasan yang sering diberi oleh majority muda-mudi kita pada hari ni, bukan?

Tidak mengapa, saya juga pernah berfikiran sebegitu.

Ya. Memang, semua ada kekurangan tetapi tidak salah kalau kita ingin mengajak orang kepada kebaikan. 

Yang penting niat kita baik - Hendak menghidupkan sunnah Rasulullah s.a.w dalam mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Tidak perlu ambil berat dengan bisikan manusia.

Ustaz Akhil Hayy selalu berkata di akhir rancangan ‘Cubaan’ di Astro Oasis, “Jangan tunggu nak jadi ustad, yang penting bila hang pa nak start?”

Cuba kita renung apa yang ingin disampaikan oleh ustaz tersebut?

Pada sangkaan saya, kita tidak perlu tunggu hendak jadi ustad barulah hendak mengajak dan menasihati orang lain tetapi kita boleh mula dengan menasihati yang lain sejajar dengan ilmu yang kita ada.

Sebagai contoh, jika kita tidak punyai ilmu agama yang tinggi seperti ilmu Fiqh, ilmu Syari’ah atau ilmu Bahasa Arab itu bukan jadi penghalang.

Kita boleh belajar bukan? Bertanya kepada yang lebih mahir.

Malahan, kita boleh memberi nasihat kepada yang lain dalam hal-hal yang kita tahu dalam hal yang asas seperti memberitahu yang lain supaya;

jangan melengahkan solat, 
jangan mencuri, 
berbakti pada ibu ayah, 
baca dan fahami al-Quran, 
mematuhi undang-undang jalanraya, 
hormat pada orang tua, 
berzikir, 
beristighfar, 
jangan berpakaian ketat yang boleh menampakkan susuk tubuh badan, 
laksnakan pelbagai amalan nawafil – puasa sunat sebanyak tiga kali dalam sebulan, 
solat sunat Dhuha,
solat sunat Witir, 
jangan jadi hamba kepada musik sebaliknya jadilah hamba kepada Allah S.W.T.
menghargai orang lain dengan tidak mencaci serta mengherdik mereka.

Pendek kata, kita boleh nasihati yang lain mengerjakan dan meninggalkan sesuatu berpaksikan untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

Dalam Al-Quran ada ayat yang bermaksud:
"Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua (pada hari kiamat untuk menerima balasan). Sesungguhnya, Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah:148)
Jangan kita pernah putus asa dan bosan dalam membuat kebaikan.

Banyak caranya hendak membuat kebaikan - blogging, boleh letakkan gambar yang berbentuk keilmuan dan keagamaan yang menunjukkan kebesaran Allah di Facebook, Twitter, Tumblr, etc  sebagai contoh.

Bukannya mengupload gambar-gambar diri sendiri yang hanya boleh mendatangkan fitnah - berpakaian ketat menampakkan tubuh badan sehingga boleh menyebabkan orang lain berasa syahwat.

Tidaklah saya katakan satu kesalahan meletakkan gambar sendiri tetapi cuba fikir apa rasionalnya kalau gambar itu tidak bertudung, menunjuk tanda lucah dan sebagainya? Tiada bukan?

Tepuk dada tanya selera. Mahu pahala atau dosa?

Selain itu, kalian juga boleh buat blog yang berasaskan kebaikan tidak kira mengenai pengalaman, idea atau ilmu yang kita perolehi.

"Aku tak bolehla buat blog. Aku tak pandai mengarang."

Jangan beri alasan. Belum cuba belum tahu.

Kita boleh ceritakan apa sahaja, dan cuba untuk selitkan unsur-unsur Islam dalam penulisan kita.

Percayalah. Dengan mengingati dan menasihati yang lain supaya melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan, nescaya kita juga akan turut sama menasihati dan mengingati diri sendiri.

Sambil menasihati sambil bermuhasabah diri.

Kalau mati akal sangat tidak tahu hendak buat apa, kalian juga boleh menghadiahkan kepada kawan atau ahli keluarga hadiah seperti buku yang mengandungi ilmu agama dan nasihat yang berguna atau hendak lebih baik lagi boleh belikannya tafsir Al-Quran.

Jangan malu. 

Kadang-kadang kita ni malu nak buat baik tetapi kalau benda tidak baik seperti mengumpat hilang malu tersebut.

Nampaknya setakat ini sahaja yang mampu saya berkongsi setakat ini.

Maaf bagi sesiapa yang menunggu penulisan saya pada bulan ini.

Sekadar berkongsi, tanda seseorang itu mencintai dan mengasihi Rasulullah s.a.w adalah dia melakukan apa yang dilakukan Baginda s.a.w dan menyukai apa yang disukai Baginda s.a.w - Habib Ali Zainal Abidin Al Hamid

Selamat beramal. Assalamualaikum.


gambar hiasan