Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum.
Pernahkah anda terdengar atau terbaca mengenai khutbah terakhir Nabi Muhammad s.a.w?
Bagi yang pernah ucapkan Alhamdulillah. Sebaliknya, usah risau bagi yang masih belum tahu kerana ini mungkin peluang anda untuk mengetahui perkara sedemikian sejurus melalui pembacaan di bawah.
Khutbah Terakhir Nabi Muhammad s.a.w
Khutbah ini disampaikan pada 9 hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriyyah
di Lembah Uranah, Gunung Arafah.
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah yang suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun yang menyakiti kamu pula. Ingatlah sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan di atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sesekali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikannya pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah Mu kepada hamba-hambaMu."
Bagaimana? Jangan baca dengan tergesa-gesa akan tetapi fahamkan setiap apa yang diperkatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Okay?
Oleh itu, ingin saya menyampaikan serba-sedikit mengenai hadis-hadis Baginda s.aw. yang boleh diguna pakai dalam kehidupan seharian kita ini.
Selamat membaca dan selamat beramal. Assalamualaikum.
- Pembelajaran Itu Keperluan Bagi Manusia.
Daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Menuntut ilmu itu adalah wajib ke atas setiap Muslim." (Riwayat Ibnu Majah)
- Muslim Adalah Bersaudara.
Daripada Abdullah bin Umar r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Seseorang Muslim adalah bersaudara kepada seorang Muslim yang; ia tidak menzaliminya dan tidak menghinanya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Kerana Mulut Badan Binasa.
Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tidak masuk syurga orang yang menyebar fitnah." (Riwayat Muslim)
- Bersahabatlah Dengan Mereka Yang Baik.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat." (Riwayat al-Hakim)
- Berwudhuk Dan Bersiwak Sebelum Solat.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sekiranya aku tidak menyusahkan umatku, aku akan perintahkan umatku berwudhuk pada setiap kali bersolat dan bersiwak pada setiap kali berwudhuk." (Riwayat Ahmad)
- Jalan Yang Berlainan.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Selalu Beringat Tentang Nikmat.
Daripada Abdullah bin Abbas r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Dua nikmat yang ramai manusia terpedaya dengannya iaitu kesihatan dan kelapangan." (Riwayat al-Bukhari)
- Perlu Malu.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Malu adalah sebahagian daripada iman dan iman adalah di syurga." (Riwayat al-Tirmizi)
- Golongan Yang Dibenci.
Daripada Abdullah bin Umar r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tiga golongan yang tidak dipandang Allah pada hari kiamat; penderhaka ibu, penagih arak, dan orang yang suka menyebut pemberiannya." (Riwayat al-Hakim)
- Amalan Yang Kekal.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya." (Riwayat al-Tirmizi)
- Bakhil Itu Buruk.
Daripada Jabir r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Takutilah sifat bakhil dan haloba. Sesungguhnya ia memusnahkan golongan yang sebelum kamu. Ianya mendorong mereka menumpahkan darah dan menghalalkan perkara yang diharamkan." (Riwayat Muslim)
- Antara Rupa Paras Dan Hati.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu." (Riwayat Muslim)
- Jauhi Sifat Benci-Membenci.
Daripada Aisyah r.ha. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Insan yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang amat keras permusuhannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Muslim Dengan Muslim.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah diharamkan darahnya, hartanya dan kehormatannya." (Riwayat Muslim)
- Jangan Lekas Pergi Sesudah Bersolat. Berdoalah.
Daripada Muaz bin Jabal r.a. beliau berkata:
"Rasulullah mengambil tanganku pada suatu hari lalu berkata: 'Wahai Muaz! Demi Allah, sesungguhnya aku mengasihi engkau." Muaz berkata: 'Aku sanggup menebus diri engkau dengan ayah dan ibuku wahai Rasulullah dan demi Allah aku juga mengasihi engkau.' Maka Rasulullah berkata: 'Aku berwasiat kepada engkau janganlah kamu meninggalkan pada setiap selesai solat untuk mengatakan 'Ya Allah! Bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat dengan lebih baik kepada-Mu'" (Riwayat Abu Daud dan Al-Nasa'i)
- Biarpun Dengan Sepotong Ayat.
Daripada Abdullah bin Amr r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat dan ceritakanlah mengenai Bani Israel. Tiada sebarang kesempitan dosa." (Riwayat al-Bukhari)
- Ketahui Apa Itu Kebaikan Dan Dosa.
Daripada al-Nawwas bin Sam'an r.a. beliau berkata:
"Aku bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w tentang kebaikan dan dosa, lalu baginda menjawab: 'Kebaikan adalah akhlak yang baik manakala dosa itu ialah apa yang berbolak-balik di dalam dada engkau dan engkau tidak gemar manusia mengetahuinya." (Riwayat Muslim)
- Mengingati Kematian.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Perbanyakkanlah mengingati pemusnah kelazatan (mati)" (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa'i)
- Ibu Segala Kejahatan.
Daripada Abdullah bin Abbas r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Hindarkanlah diri daripada arak, sesungguhnya ia adalah pembuka segala kejahatan." (Riwayat al-Hakim)
- Sikap Kasar Perlu Dijauhi.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Mencarut adalah sejenis sikap kasar. Manakala sikap kasar balasannya ialah neraka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Sabar Dalam Menghadapi Ujian.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang Allah kehendaki kepadanya kebaikan nescaya Allah mengujinya." (Riwayat al-Bukhari)
- Anjuran Supaya Banyak Bersedekah.
Daripada Abdullah bin al-Syikhir r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Wahai anak Adam! Adakah kamu memiliki daripada harta kamu melainkan apa yang engkau makan lalu engkau menghabiskannya, atau engkau memakainya lalu melusuhkannya, atau engkau bersedekah lalu engkau mengekalkannnya (pada hari pembalasan)." (Riwayat Muslim)
- Ciri-Ciri Orang Munafik.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tiga petanda orang munafik; apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkirinya, apabila diberi amanah dia mengkhianatinya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Ujian Kaum Lelaki.
Daripada Usamah bin Zaid r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Aku tidak meninggalkan selepasku satu ujian yang lebih dahsyat daripada terpedayanya kaum lelaki terhadap kaum wanita." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Merantau Itu Mematangkan Kita.
Daripada Ibn Umar r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalanan." (Riwayat al-Bukhari)
- Pabila Diri Dicurigai.
Daripada Aisyah r.ha. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya di sisi Allah ialah orang yang ditinggalkan oleh manusia kerana khuatir (risau dengan kejahatan dirinya)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Penghapus Dosa.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tidak menimpa seorang Mukmin suatu penyakit yang berpanjangan, kepayahan, sebarang jenis kesakitan, dan kesedihan malahan kedukacitaan melainkan dihapuskan sebahagian dosa-dosanya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Amalkan Perlakuan Yang Baik.
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Perbuatan-perbuatan yang baik melindungi serangan jahat." (Riwayat al-Tirmizi dan Ahmad)
- Al-Quran Perlu Kita Belajar Dan Mengajar.
Daripada Uthman bin Affan r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang yang terbaik daripada kalangan kamu ialah orang yang pelajari Al-Quran dan mengajarkannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Bersilaturahmi.
Daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkanlah hubungan silaturahim (dengan ihsan)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Latih Supaya Bersabar.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Bukanlah orang gagah itu orang yang kuat bertinju tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri daripada marah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Jauhi Sifat Tamak.
Daripada Mu'awiyah bin Abu Sufyan r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada ketamakan yang menjadi tabiat." ( Riwayat Ahmad dan al-Hakim)
- Tidak Menunjuk-Nunjuk.
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Bersedekah secara sembunyi memadam kemarahan tuhan." (Riwayat al-Tabrani)
- Mengingati Pesakit Dan Jenazah, Pertingkatkan Ibadah.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Ziarahlah pesakit dan iringilah jenazah, nescaya ia boleh mengingatkan kamu kepada akhirat." (Riwayat al-Haithami)
- Sabar Itu Satu Anugerah.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Seseorang itu tidak dikurniakan suatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada sabar." (Riwayat al-Bukhari)
- Padah Takabbur.
Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tidak masuk syurga orang yang terdapat di dalam hatinya walau sebesar zarah perasaan takabbur." (Riwayat Muslim)
- Mencintai Kemewahan Itu Satu Keburukan.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Binasalah hamba kepada dinar dan dirham dan hamba kepada kain tebal yang berbulu dan kain bercorak (ghairah dengan kemewahan dan kesenangan), sekiranya diberikan kepadanya ia meredhai sekiranya tidak ia tidak meredhai." (Riwayat al-Bukhari)
- Ikhtiarlah Untuk Berubat.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Allah tidak menurunkan suatu penyakit melainkan Allah menurunkan penyembuh untuknya." (Riwayat al-Bukhari)
- Kenapa Perlu Berterima Kasih?
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, ia tidak bersyukur kepada Allah." (Riwayat al-Tirmizi)
- Jangan Bermuka-Muka.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Kamu mendapati antara manusia yang terjahat adalah yang 'bermuka dua', ia mendatangi kelompok ini dengan satu wajah dan mendatangi kelompok yang lain dengan wajah yang lain." (Riwayat
- Berpada-Pada Dalam Bergembira.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu banyak tertawa kerana ia mematikan hati kamu." (Riwayat Ibn Majah)
- Tanpa Belas Kasihan.
Daripada Jarir bin Abdullah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang tidak mengasihani manusia, nescaya Allah Azzawajalla tidak mengasihaninya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Rezeki Yang Terhalang.
Daripada Thauban r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya seseorang insan terhalang daripada mendapat rezeki akibat dosa yang dilakukan." (Riwayat Ibn Majah)
- Apa Itu Sedekah?
Daripada Jarir bin Abdullah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Setiap kebaikan adalah sedekah." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Ilmu Dan Ibadat.
Daripada Sa'ad bin Abu Waqas r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Kelebihan ilmu lebih aku sukai daripada kelebihan ibadat. Kebaikan dalam agama kamu ialah warak." (Riwayat al-Hakim)
- Perhatikan Mata Kita.
Daripada Ibn Abbas r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Dua mata yang tidak disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga malam mengawal jalan Allah." (Riwayat al-Tirmizi)
- Fitnah Terhadap Umat.
Daripada Ka'ab bin Iyadh r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya bagi setiap umat terdapat 'fitnah' (kesesatan dan maksiat). Dan 'fitnah' terhadap umatku ialah pada harta." (Riwayat al-Tirmizi)
- Apabila Jamal Berkelakuan Seperti James.
Daripada Abdullah bin Umar r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang meniru suatu kaum yang lain maka dia adalah daripada kaum itu." (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)
- Tidak Perlu Menganiaya Sesama Makhluk.
Daripada Abdullah bin Abbas r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab di antaranya dengan Allah." (Riwayat al-Bukhari)
- Bersaudara Perkara Baik.
Daripada Jabair bin Mu'tim r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tidak masuk ke syurga pemutus silaturahim." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Persefahaman Dalam Pergaulan Adalah Sesuatu Yang Penting.
Daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Permudahkanlah, janganlah menyusahkan, tenangkanlah dan janganlah melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Usah Asyik Bergelak.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui nescaya kamu kurang ketawa dan banyak menangis." (Riwayat al-Bukhari)
- Memberi Ucapan Yang Baik Kepada Orang Mati.
Daripada Aisyah r.ha. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu mencela orang yang telah mati, sesungguhnya balasan amalan mereka telah disampaikan." (Riwayat al-Bukhari)
- Berjemaah Di Masjid Punyai Sinar Yang Mampu Memecah Ruang Kegelapan.
Daripada Buraidah bin al-Aslami r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Berilah khabar gembira kepada mereka yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
- Perbanyakkan Selawat.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang yang berselawat ke atasku sekali, Allah berselawat ke atasnya sepuluh kali." (Riwayat Muslim)
- Rebut Peluang Untuk Menuntut Ilmu.
Daripada Abu Darda' r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Nabi-nabi pula tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka mewariskan ilmu. Siapa yang mengambilnya ia telah mendapat bahagian yang banyak dan sempurna." (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majjah dan Ibn Hibban)
- Sembahyanglah Kamu Sebelum Kamu Disembahyangkan.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya amalan pertama seorang hamba yang dihisab pada hari kiamat adalah solatnya." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
- Berkebajikan Di Masjid.
Daripada Uthman bin Affan r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang mendirikan masjid kerana Allah, nescaya Allah binakan untuknya rumah di syurga." (Riwayat Muslim)
- Buang Sikap "Sahur Sebelum Tidur".
Daripada Anas bin Malik r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Bersahurlah! Sesungguhnya terdapat padanya keberkatan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Islam Kembali Asing.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Islam bermula dalam keadaan terasing. Ia akan kembali asing seperti permulaannya. Maka, berbahagialah untuk orang yang terasing." (Riwayat Muslim)
- Kenapa Perlu Ke Masjid? Kenapa Bukan Pasar?
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Tempat yang paling disukai oleh Allah ialah masjid. Tempat yang paling dibenci oleh Allah ialah pasar." (Riwayat Muslim)
- Sebarkan Ilmu Yang Bermanfaat.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang ditanya tentang ilmu yang diketahui, kemudian dia menyembunyikannya, dia akan dikekang dengan kekangan daripada api neraka pada hari kiamat." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
- Galakan Untuk Mengingati Dan Memuji Allah.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Dua kalimah yang ringan dilisan tetapi berat di mizan yang disukai oleh Ar-Rahman; Maha Suci Allah dan segala puji-pujian untuk-Nya, Maha Suci Allah Yang Maha Agung - Subhanallahiwabihamdihi & Subhanallahiladzhim." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Wahai Para Pemimpin, Pimpinlah Kamu Dengan Amanah.
Daripada Thauban, khadam kepada Rasulullah s.a.w, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya perkara yang aku takuti ke atas umatku ialah para pemimpin yang sesat." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
- Ziarah Mereka Yang Sakit.
Daripada Thauban, khadam kepada Rasulullah s.a.w, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang yang menziarahi orang yang sakit sentiasa berpeluang memungut ganjaran dari syurga sehinggalah dia pulang." (Riwayat Muslim)
- Bersyukur Secara Muhasabah.
Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Lihatlah kepada orang yang lebih bawah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi daripada kamu; ianya lebih wajar, agar kamu tidak memperkecilkan nikmat Allah." (Riwayat Muslim)
- Ingatlah Lima Perkara.
Daripada Abdullah bin Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Rebutlah lima perkara sebelum lima perkara; muda sebelum engkau tua, sihat sebelum engaku sakit, kaya sebelum engkau miskin, lapang sebelum engkau sempit dan hidup sebelum engkau mati." (Riwayat al-Hakim)
- Kebersihan Satu Tuntutan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Allah itu cantik dan Allah itu sukakan kecantikan." (Riwayat al-Tirmizi dan Muslim)
- Berdoalah Kepada Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Keadaan paling dekat antara seorang hamba dengan Rabbnya adalah ketika ia sedang bersujud." (Riwayat Muslim)
- Mencari Harta Yang Halal Sahaja.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Orang yang paling menyesal pada hari kiamat ialah orang yang memperoleh harta daripada sumber yang tidak halal lalu menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka." (Riwayat Bukhari)
- Saling Menutup Aib.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa sahaja yang menyembunyikan (aib) seorang Muslim, maka Allah akan menyembunyikan (aibnya) di dunia dan di akhirat. Allah akan menolong seorang hamba yang gemar menolong saudaranya." (Riwayat Muslim)
- Bersegera Menunaikan Solat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Bumi (tanah) itu dijadikan untukmu sebagai tempat sujud (solat) dan sebagai alat bersuci. Maka, siapa pun dari kalangan umatku yang mendapati waktu solat, hendaklah ia mengerjakan solat." (Riwayat Bukhari)
- Tutuplah Auratmu Wahai Muslimah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Wahai Asma, apabila sudah mengalami tanda kedewasaan (haid), bahagian tubuhnya tidak boleh dilihat kecuali ini dan ini (muka dan tapak tangan)." (Riwayat Abu Daud)
- Para Muslimah, Kalian Tidak Perlu Memakai Wangian Yang Terlalu Kuat.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Wanita yang memakai haruman dan kemudian keluar rumah lalu melewati di hadapan muka orang ramai supaya mereka dapat menghidu baunya, maka dia penzina." (Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
- Dandanan Bagi Yang Bergelar Lelaki Dan Perempuan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Dandanan untuk lelaki adalah baunya dapat dihidu tetapi warnanya tersembunyi, sedangkan dandanan bagi wanita adalah yang warnanya nampak, namun baunya tersembunyi." (Riwayat al-Tirmizi)
- Berkumpul Kerana Perkara Kebaikan Itu Membawa Manfaat.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
"Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: Patutlah menerima kasih sayang-Ku bagi orang yang berkumpul kerana Aku." (Riwayat al-Tabrani)
- Bersedekah Kepada Diri Sendiri.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Jangan menggangu (menyakiti) orang lain itu juga merupakan sedekah kamu, kepada diri kamu sendiri." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Mengapa Perlu Bergesa?
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sifat cermat itu daripada Allah, sifat gopoh itu daripada syaitan." (Riwayat al-Tirmizi)
- Apakah maksud ghibah?
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Ghibah/mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu yang dibencinya." (Riwayat Muslim)
- Luasnya Makna Sedekah.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
" 'Setiap orang Islam itu bersedekah. Kemudian Baginda ditanya: 'Kalau tidak ada benda yang hendak disedekahkan?' Sabda Nabi Muhammad s.a.w: 'Kalau dia mahu bekerja, maka akan bermanfaat baginya dan dia boleh bersedekah.' Ditanya lagi: 'Bagaimana pula halnya apabila dia tidak sanggup?' Bersabda Nabi Muhammad s.a.w: 'Menyeru kepada perbuatan baik.' Ditanya lagi: 'Bagaimana kalau dia tidak dapat melakukannnya?' Bersabda Nabi Muhammad s.a.w: 'Menahan dirinya sendiri daripada perbuatan buruk, maka itu pun merupakan sedekah.' " (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa.
Diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a. katanya:
"Seseorang datang kepada Rasulullah s.a.w lalu dia bertanya: 'Kepada siapakah aku lebih berhak terhadap manusia untuk berbuat baik kepadanya?' Nabi s.a.w bersabda: 'Kepada ibumu.' Dia bertanya lagi; 'Kemudian kepada siapa?' Baginda s.a.w bersabda: 'Kepada ibumu.' Dia bertanya lagi: 'Kemudian kepada siapa?' Baginda s.a.w bersabda: 'Kepada ibumu.' Dia bertanya lagi: 'Kemudian kepada siapa?' Baginda s.a.w bersabda: 'Kepada bapamu.' (Riwayat Imam Muslim)
- Pesanan Buat Mereka Bergelar Jemaah Solat Jumaat.
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa yang mandi pada hari Jumaat seperti mandi Junub (mandi sunat Jumaat), kemudian pergi di waktu pagi ke tempat sembahyang Jumaat maka pahalanya seperti pahala berkorban seekor unta gemuk. Barangsiapa siapa pergi waktu kedua, pahalanya seperti pahala berkorban seekor lembu dan barangsiapa pergi waktu yang ketiga, maka pahalanya adalah seperti ia berkorban seekor kibas yang bertanduk. Manakala orang yang pergi waktu keempat, maka pahalanya adalah seperti ia berkorban seekor ayam dan mereka yang pergi pada waktu kelima, maka pahalanya seolah-olah berkorban sebutir telur. Apabila imam telah datang, maka hadirlah semua malaikat untuk mendengar." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Ayuh Berjihad.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Seorang pejuang adalah orang yang berjuang melawan hawa nafsunya dan orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang dibuang Allah." (Riwayat al-Baihaqi)
- Bila Dunia Hendak Ditinggalkan.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a. ia berkata:
"Aku telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 'Ajarkanlah orang yang hampir mati dalam kalangan kamu 'Lailahaillallah', maka ia masuk syurga.'" (Riwayat Abu Daud dan al-Hakim)
- Hadiah Kepada Orang Yang Telah Mati Daripada Orang Yang Masih Hidup.
Daripada Ma'qil bin Yasar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Bacakanlah atas orang mati kamu surah Yasin." (Riwayat Ahmad)
- Bantulah Saudara Islam Kita Yang Kesusahan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa menjamu orang mukmin dan membantu sesuatu keperluannya, maka Allah akan memberikan khidmat seseorang khadam kepadanya di syurga." (Riwayat Abu Ya'la)
- Lagi, Tuntutan Saling Bantu Mereka Yang Kesusahan.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Allah S.W.T sentiasa membantu hamba-Nya selagi hamba itu masih menolong saudaranya." (Riwayat al-Tabrani)
- Elaklah Untuk Berbohong.
Daripada Ibn Mas'ud r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Jagalah dirimu daripada sifat dusta, sebab dusta itu sama dengan kecurangan dan kedua-dua sifat ini akan dihumbankan ke dalam api neraka." (Riwayat Abu Daud)
- Pergaduhan Boleh Membawa Kepada Bunuh-Membunuh.
Daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Jika dua orang Muslim bertemu dengan pedang masing-masing, maka si pembunuh dan orang yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka." (Riwayat Ibn Majah)
- Buang Sikap Ego Dalam Perkelahian.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Janganlah kamu putus-memutuskan hubungan, belakang-membelakangi, benci-membenci, hasut-menghasut. Hendaklah kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara satu sama lain (yang Muslim) dan tidaklah halal bagi (setiap) Muslim mendiamkan saudaranya lebih daripada tiga hari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Rasuah Membawa Padah.
Daripada Aisyah r.ha. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Allah melaknat pemberi dan penerima rasuah dalam hukuman." (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
- Usah Kau Ratapi Pemergiannya.
Daripada Umar bin al-Khattab bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Mayat itu diseksa di dalam kuburnya kerana diratapi." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Bukan Masanya Untuk Bertangguh Lagi.
Daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Taubat hamba akan diterima selama belum dengkur kerongkongnya (yakni roh akan keluar dari tubuhnya)." (Riwayat al-Tirmizi)
- Jagalah Kedua Orang Tua Kita Walau Usia Mereka Telah Pun Lanjut.
Daripada Syaiban daripada Abu Awwanah daripada Sahal daripada ayahnya daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Hina,hina,hina" Rasulullah s.a.w ditanya: 'Siapakah dia wahai Rasulullah?' Baginda menjawab: 'Orang yang meninggalkan ibu bapanya sewaktu usia lanjut, samada salah satu atau kedua-duanya, dia tidak masuk syurga." (Riwayat Muslim)
- Melentur Buluh Biar Daripada Rebungnya.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Suruhlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang apabila mereka tiba umur tujuh tahun dan pukullah mereka apabila mereka berumur sepuluh tahun dan asingkan antara mereka daripada tempat tidur masing-masing." (Riwayat Abud Daud)
- Hak-Hak Muslim Dengan Muslim Yang Lain.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Hak seorang Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam perkara. Kalangan sahabat bertanya: 'Apakah dia wahai Rasulullah?' Baginda s.a.w menjawab: 'Jika bertemu dengannya, hendaklah kamu memberi salam. Jika dia mengundangmu, hendaklah kamu memenuhi undangannya. Jika dia meminta nasihat, hendaklah kamu menasihatinya. Jika dia bersin dan mengucapkan 'Alhamdulillah', hendaklah kamu mendoakannya. Jika dia sakit, hendaklah kamu menjenguknya. Dan jika dia mati, hendaklah kamu menghantar jenazahnya ke kubur." (Riwayat Muslim)
- Memberi Senyuman Tanda Bertegur-Sapa.
Daripada Jabir r.a. katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Siapa yang tidak mempunyai sifat ramah-tamah, bererti dia tidak mempunyai kebaikan." (Riwayat Muslim)
- Sunat Makan Sedikit Sebelum Bersolat Hari Raya Aidilfitri Manakala Untuk Hari Raya Aidiladha Sunat Makan Selepas Bersolat.
Daripada Anas r.a. berkata:
"Nabi s.a.w tidak berangkat (solat) pada Hari Raya Aidilfitri sebelum Baginda memakan buah kurma dan Baginda memakannya dengan buah yang ganjil." (Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)
- Bukan Sekadar Berilmu.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Manusia mendapat azab paling keras pada hari kiamat adalah orang alim yang tidak mendapat manfaat daripada ilmunya." (Riwayat al-Tabrani dan Baihaqi)
- Manfaatkan Masa Dengan Perkara Berfaedah.
Daripada Anas r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak penzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kaum lelaki sehingga seorang lelaki akan mengurus lima puluh orang perempuan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
- Rebut Peluang Untuk Mengajar Benda Yang Baik.
Daripada Abu Umamah al-Bahili r.a. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah, malaikat dan ahli (penduduk) langit dan Bumi; hinggakan semut di dalam lubang dan juga ikan paus (meliputi seluruh haiwan di darat dan di laut) mendoakan kebaikan ke atas orang yang mengajar perkara yang baik kepada manusia." (Riwayat al-Tirmizi)