Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum.
Bagaimana keadaan kalian pada hari ini? Saya berharap kalian semua berada di dalam keadaan sihat sejahtera. Insha-Allah.
Terima kasih kerana masih sudi membaca penulisan saya pada kali ini. Saya harap kalian dapat membacanya dengan berazam supaya dapat berubah dan merubah yang lain ke arah kebaikan.
Sudah tentu anda tertanya. Mengapa lidah tidak hati? Mengapa lidah tidak mata?
Baru-baru ini saya telah menonton satu rancangan keagamaan di televisyen yang tidak berbayar mengenai salah satu pancaindera manusia iaitu lidah. Sedikit sebanyak ia telah menyedarkan saya bahawa saya telah banyak menyalahgunakan nikmat tersebut yang dikurniakan oleh Allah. Oleh kerana demikian saya tertarik untuk berkongsi idea dan ilmu dengan para pembaca Ilusi.
Cuba kita ambil masa sebentar dalam 10saat untuk kita berfikir sejenak sudah berapa kali pada hari ini kita menggunakan lidah untuk ke arah kebaikan seperti memuji, bersyukur dan memohon ampun kepada Allah? Dan berapa kali bagi ke arah keburukan?
Jika berat ke arah kebaikan Alhamdulillah dan jika bukan sedemikan, kita perlu berubah saudara sekalian. Mengapa? Yang pasti kerana kita tidak tahu bila lagi kita akan dapat berbuat amal seperti berzikir, beristighfar dan membaca al-Quran. Semoga kita semua dibukakan pintu hati untuk berbuat ke arah tersebut.
Lidah merupakan satu tanggungjawab yang berat untuk kita pikul kerana ia boleh mendatangkan keburukan kepada kita. Masih saya teringat pesan guru Bahasa Melayu kepada saya dan rakan-rakan sekelas yang lain sewaktu di tingkatan 5, "Jangan disebabkan mulut kamu badan binasa". Saya harap beliau berada di dalam keadaan sihat sejahtera.
Tidak percaya?
Cuba anda renungkan, senario yang telah berlaku selama ini banyak disebabkan oleh lidah yang tidak dapat dikawal oleh si empunya. Sebagai contoh di dalam pergaduhan, persengketaan, dan perselisihan. Di mana A akan menceritakan tentang keburukan B kepada C dan C kepada D dan terus-menerus sehingga Z. Ini bukan sahaja menjatuhkan maruah mangsa malah ia juga membuatkan orang tidak lagi berminat untuk bergaul dengannya. Jika ia betul tidak mengapa, bagaimana sekiranya cerita itu direka semata-mata?
Tahukah mereka Allah ada berfirman yang bermaksud bahawa sekiranya kamu membuka aib yang lain, maka Allah akan membuka aib kamu di akhirat kelak.
Tidak perlu jauh, kita lihat saja dalam kehidupan seharian kita jika kita lihat fenomena umpat-mengumpat, fitnah-memfitnah sungguh dahsyat berlaku di dalam mayarakat sekeliling atau mungkin kita sendiri yang lakukan perkara sedemikan? Renungkanlah.
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada di antara kamu menggungjing sebahagian yang lain. Apakah ada di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." ( Al-Hujurat : 12 )
Isu utama yang perlu diketengahkan adalah adakah menjadi satu kemestian, kewajiban dan keperluan untuk kita mengambil tahu mengenai keburukan orang lain? Tidak sama sekali. Malahan, kadang-kadang kita mungkin akan terdorong untuk melakukan serupa seperti itu.
Secara amnya, kita sering melihat yang lain dan terus mengkritik mereka tanpa rasa bersalah pada diri sendiri samada bersendirian mahupun berkumpulan. Bukan begitu caranya. Kita seharusnya melihat dan terus mencerminkan dahulu diri sendiri bagi tujuan muhasabah diri. Bukankah muhasabah diri amat disyorkan dalam agama Allah? Kita fikir dan cuba ubah diri kita dan mengubah yang lain ke arah yang diredhai oleh-NYA.
Perlu diberi perhatian, setiap perkara yang terjadi ke atas kita ada baiknya. Mungkin itu peluang kita untuk berubah. Tidak ada yang tahu melainkan Al-Hakim. Jadi gunakan setiap peluang dengan baik.
Kita tidak sedar mengapa adanya sampah-sarap setiap hari di merata tempat dan sering mencaci perbuatan orang yang membuang sampah. Akan tetapi, adakah itu satu peluang kita untuk berbuat kebaikan - membuang sampah tersebut di dalam tong sampah dan mendoakan agar pembuang sampah itu tadi diberi hidayah untuk membuat perkara yang betul disisi undang-undang? Mungkin, siapa tahu.
Apakah maknanya jika kita menonton bola sehingga menyebabkan kita boleh hilang emosi sehingga mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh mendatangkan kesusahan kepada kita? Sekiranya perlawanan itu tidak menyebelahi pasukan yang kita sokong, tidak perlu sampai kita mencaci pemain tersebut. Itu salah.
Yang sebenarnya permainan seperti bola sepak itu adalah untuk kita menghilangkan tensi dan merapatkan hubungan dengan Muslim yang lain bukan sehingga taksub dengan setiap perkembangan permainan tersebut. Saya ingin menasihatkan diri saya dan para pembaca supaya cuba kurangkan dan terus menjauhkan diri daripada rancangan yang pakaiannya tidak sempurna (tidak menutup aurat) kerana nampak simple akan tetapi kesannya?
Dari kita mengumpat yang lain, menceritakan keburukan yang lain dan berbual kosong yang tidak mendatangkan faedah lebih baik sekiranya kita berzikir, bertasbih, bertahmid, bertahlil, beristighfar atau membaca al-Quran. Hidup hanya sekali dan peluang hanya datang sekali. Orang Melayu cakap "Buah hanya bergolek sekali".
Secara tuntasnya, kita perlu pelihara lidah kita dengan baik. Dengan lidah kita boleh menambah amalan baik kita dan dengan lidah juga kita boleh mengurangkan amalan baik kita. Gunakan lidah dengan perkara yang betul sebagai tanda syukur kepada Allah s.w.t. Nikmat ini sangat berharga dalam kehidupan seharian manusia.
Sekian untuk kali ini. Terima kasih kerana membaca.
Assalamualaikum.
gambar hiasan |
No comments:
Post a Comment