Wednesday 26 October 2011

Kemenangan Memerlukan Persediaan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Bagaimana dengan perubahan anda dari sehari ke sehari? Adakah ia menunjukkan satu prestasi yang memberangsangkan atau sekadar begitu sahaja di tahap yang sama? Sama atau tidak pastikan ia menuju ke arah kebaikan untuk di dunia begitu juga akhirat.

Pernahkah terlintas di akal fikiran kita bahawa adakah kita sudah bersedia untuk kehidupan di sana dari segi amalan, taubat dan lain-lain sebagai bekalan untuk kita bawa sesudah mati.

Sebelum menjawab soalan itu, ayuh kita renungi bersama mengenai apa yang kita kerjakan dalam kehidupan seharian kita. Ke manakah masa yang kita gunakan itu dan adakah ia boleh membawa keuntungan kita apabila dibangkitkan kelak? 

Ingat saudara sekalian, masa itu emas kerana itu ia perlu dimanfaatkan dengan sebetul-betulnya.

Dari segi solat, adakah kita menjaga waktu solat lima waktu kita dengan baik setiap hari dengan solat pada awal waktu? Jika positif jawapannya, khusyukkah kita dalam bersolat atau sekadar melaksanakannya tanpa menginsafi diri?

Berapa kalikah kita melakukan solat secara berjemaah samada di surau atau masjid atau di tempat lain dalam seminggu? 

Dari segi amalan nawafil pula, adakah kita melengkapi kehidupan seharian kita dengan perbanyakkan membuat amalan sunat seperti zikir, istighfar, bersedekah atau kita asyik dengan rancangan yang tidak membawa sebarang faedah di televisyen, lalai dengan musik yang sering diperdendangkan di telinga? 

Dalam sehari, berapa helaian al-Quran yang kita telah baca? Berapa banyak isu keduniaan seperti cabang hiburan yang kita baca? Walhal al-Quran itu merupakan satu pertolongan yang amat jelas fungsinya kepada manusia dari dahulu sampai sekarang. Pelbagai perkara yang diajarkan di dalamnya. 

Jika tidak silap saya, ia akan menjadi pelindung untuk kita berteduh daripada panas sewaktu di padang Mahsyar kelak. Panas itu tidak dapat digambarkan. Tidak ada lagi payung, bangunan mahupun pokok-pokok untuk kita berteduh. Fikirkanlah.

Dalam aspek aurat, adakah kita telah menjalani kehidupan seharian dengan menutup aurat secara sempurna?  Bagaimana pula dengan mereka yang menjadi tanggungjawab kita seperti ibubapa, anak-anak dan rakan-rakan? 

Mata pula bagaimana? Pancaindera seperti itu digunakan ke arah kebaikan seperti melihat kebesaran-NYA atau ke arah kemungkaran dan maksiat semata-mata? Misalnya, adakah kita manfaatkannya untuk membaca al-Quran atau melihat perkara yang haram seperti tubuh badan yang lain di mana ia boleh merangsang nafsu syahwat kita? 

Percakapan kita bagaimana? Kita gunakan lidah dengan mengeluarkan kata-kata kesat, umpat-mengumpat, menyebarkan fitnah atau dengan mengingati Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w?

Apa kata kalian mengenai harta kita. Adakah ia diinfakkan ke jalan yang diredhai oleh-NYA seperti bersedekah, membantu yang susah atau kemurkaan-NYA seperti membeli rokok. Cuba untuk tinggalkan rokok kerana ia pasti akan merugikan kita bah di dunia malah di akhirat kelak. Disebut di dalam al-Quran:

"Janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan,"  ( al-Baqarah:195 )

Belum masuk bab adab dengan orang tua, pergaulan antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahram, konsep syukur seperti tidak membazirkan makanan dan eletrik secara berlebih-lebihan dan lain-lain.

Sedarlah wahai umat Nabi Muhammad s.a.w.

Banyak lagi perkara lain kehidupan seharian kita yang boleh kita renungkan bagi tujuan perbaiki minda dan jiwa serta rohani kita ke arah yang disukai oleh Allah.

Ya! Kita perlu ubah haluan sekarang kerana kita tidak tahu bila malaikat maut akan datang menjemput kita. Boleh jadi semasa kita sedang leka berhibur, tidak menutup aurat, dan mungkin boleh jadi semasa masih tidak bersolat fardhu pada waktu itu. Nauzubillah. Semoga kita dimatikan di dalam keadaan yang paling baik (husnul khotimah-jika tidak salah saya di dalam bahasa Arabnya)

Saya ingin mengingatkan diri saya dan para pembaca Ilusi bahawa hidup ini boleh diibaratkan seperti pengembaraan yang mana kita akan menuju ke satu destinasi. Ada orang perjalanannya berliku, ada yang lurus dan ada yang menaiki dan menuruni bukit serta ada yang mungkin terjatuh ke dalam lubang gelap kerana leka berbual, atau berkhayal akan perkara keduniaan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mahukan Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu: yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)                                    
 (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga "Adn". Itulah kemenangan besar. Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang beriman." (as-Saff:10-13)

Persoalkan diri kita dahulu, adakah kita layak untuk mendapat kemenangan itu? Ambil peluang ini sebelum terlambat. Tepuk dada tanya selera.

Dunia sekadar persinggahan dan bukan pengakhiran bagi hidup ini. Masih ada kehidupan selepas ini yang mana kehidupan itu tidak boleh kita jangkakan akan nasib kita. Kunci kepada kita ialah hidup bersandarkan syariat Islam.

Syurga atau neraka yang diberi semuanya bergantung kepada usaha yang kita kerjakan pada hari ini. Baik amalan kita, insha-Allah baik juga hasilnya kelak. Begitu juga sebaliknya.

Allah bersama kita, yang penting kita perlu berusaha untuk mendekatkan diri kepada-NYA dengan melaksanakan suruhan dan larangan-NYA. Banyakkan berkebajikan dan berdoa supaya diberi petunjuk ke jalan yang benar.

Kita ini adalah umat akhir zaman, pada bila-bila masa kiamat akan berlaku. Pada masa itu taubat sudah tiada guna lagi. Kita manfaatkan masa yang ada sekarang dengan berubah ke arah kebaikan. Tinggalkan segala keburukan, sedikit-sedikit insha-Allah kita boleh berubah.

Bak kata orang putih "Victory loves preparation" jadi kita harus membuat persediaan yang kemas dan rapi untuk peroleh kemenangan yang besar kelak. Jangan berputus asa.

Secara keseluruhan, terlalu sedikit kita membuat persiapan untuk kemenangan di akhirat kelak dalam kehidupan seharian kita.

Saya harap apa yang ditulis ini dapat difahami oleh para pembaca. Jika terdapat kesalahan, saya harap kalian dapat perbetulkan saya. Saya ini tidaklah hebat mana pun ilmu agama tetapi ingin berkongsi mengenai ilmu yang ada.

Alhamdulillah, selesai.

Assalamualaikum dan selamat beramal.


gambar hiasan

No comments:

Post a Comment