Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum.
Ini merupakan penulisan saya yang pertama, jadi saya ingin memohon maaf sekiranya ia agak membosankan dan tidak menepati selera kalian untuk membacanya. Walau bagaimanapun, saya berharap penulisan ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.
Sedarkah kita bahawa setiap saat yang kita gunakan akan disoal ketika kita tidak lagi berada di atas bumi? Selama kita hidup di bumi Allah, adakah kita telah menggunakannya dengan perkara yang betul di sisi agama atau sebaliknya? Terlalu banyak persoalan yang boleh dibuat berpaksikan masa dan agama. Dalam erti kata yang lain, ramai dalam kalangan kita merupakan orang yang rugi melainkan orang-orang yang beriman.
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada di dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan mengerjakan kebajukan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran" ( Al-'Asr : 1-3 )
Jika kita renung seketika apa yang telah kita lakukan dari kebanyakkan masa kita. Dari pengalaman saya, ianya amat sedih kerana banyak dari emas itu telah saya laburkan ke arah kemungkaran. Dan Alhamdulillah hidup saya kini lebih baik dari yang sebelum. Ini mungkin berkat doa ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara dan rakan-rakan yang tidak pernah putus mendoakan saya.
Ramai daripada kalangan generasi Y marcapada ini yang leka dengan alat teknologi tinggi samada permainan video, rancangan televisyen yang tidak berfaedah, lagu-lagu yang bersikap keduniaan dan lain-lain. Sedar tidak sedar, majoriti daripada pelajar sekolah kebelakangan ini lebih arif pengetahuannya di dalam permainan video, dunia artis tempatan mahupun luar negara berbanding dengan ilmu agama. Tidak percaya? Cuba anda menyoal mengenai Linkin Park dan Salehuddin al-Ayubbi.
Perkara seperti ini tidak boleh kita salahkan mereka semata-mata kerana sebagai pelajar mereka masih mentah dan masih banyak yang perlu belajar. Akan tetapi itu bukan alasan yang kukuh, perlu diingatkan juga bahawa ramai daripada tokoh-tokoh Islam seperti Imam Shafi'e dan Imam Malik yang telah berhijrah dari satu tempat ke tempat yang lain untuk mencari ilmu. Imam Shafi'e yang asalnya dari Sham telah pergi ke negara lain seperti Mesir, Madinah bagi menuntut ilmu di bawah imam yang lain.
Lihat, semangat kental mereka yang tinggi telah memberi banyak faedah kepada generasi selepas mereka. Mereka telah menggunakan masa dengan melakukan perkara berfaedah. Hal seperti itu amatlah perlu kita contohi dalam menjadi Mukmin yang kaya dengan ilmu pengetahuan. Sedih apabila melihat sebahagian daripada pelajar sekolah kerap melakukan masalah displin seperti ponteng sekolah, bergaduh, bercouple dan sehingga ada diantara mereka yang sanggup membuang janin ke tempat yang kotor lagi busuk akibat perbuatan terlanjur mereka.
Astaghfirullah, kita sudah tersasar terlalu jauh saudara-saudaraku. Pelajar ini bukan sahaja membazirkan masa bahkan telah melakukan kemungkaran. Bagi golongan yang berkuasa seperti pengawas, mereka ini hanya sekadar memenuhi jawatan itu tetapi tidak melaksanakan tanggungjawab itu dengan sempurna. Cukup sekadar dengan jawapan " Ala, lepak ahh. tak payah la nerd sangat. " apabila diajukan soalan mengapa tidak mengambil tindakan terhadap pelajar yang melakukan masalah displin.
Bagi golongan remaja, mereka asyik sibuk dengan dunia hiburan mereka dalam kehidupan seharian mereka sehingga lupa dengan tanggungjawab mereka yang sebenarnya iaitu menjadi khalifah Allah di muka bumi ini. Musik yang melalaikan asyik didengarkan, rancangan yang mengghairahkan sering dijadikan sebagai hidangan untuk mereka. Golongan ini merasakan malu dan tersisih sekiranya mereka tidak tahu perkembangan cerita ataupun lagu hit walaupun pada dasarnya ianya hanya berbentuk keduniaan.
Dalam hal keagamaan, seperti tidak menutup aurat ianya adalah normal pada mereka kerana apa? "Jiwa Muda bro!" Astaghfirullah. Jawapan yang mungkin dapat cukup-cukup makan di dalam ujian peperikasaan atau mungkin gagal terus diberi oleh penanda kertas tanpa belas kasihan. Tidak susah untuk menutup aurat. Tidak semestinya kita kena menutup aurat dengan pakaian yang mahal, branded, ataupun trendy. Bukankah hidup bersederhana itu amat digalakkan dalam Islam?
Apakah signifikasinya mereka menonton filem ataupun drama mahupun klip video lagu yang hampir keseluruhannya menggunakan wanita yang tidak menutup aurat sebagai daya tarikan penonton? Ya. Memang benar, ia nampak mudah dan orang Barat cakap "Take it easy man! It just a film" percayalah bahawa sedikit sebanyak perkara seperti ini akan mendatangkan kesusahan kepada diri kita kelak samada di dunia atau akhirat atau mungkin kedua-duanya sekali. Semoga kita dijauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang melalaikan.
Berapa ramai daripada anak muda yang berkeinginan untuk membantu mereka yang tua, susah dan tidak berkemampuan? Sangat sedikit bilangannya berbanding mereka yang sibuk mencari nama dalam kalangan masyarakat setempat. Kebanyakkan daripada mereka lebih gemar selesa sekiranya digelar sebagai abang besar atau gangster sesebuah kawasan daripada digelar sebagai budak masjid. Seolah-olah kehidupan samseng lebih tinggi darjatnya daripada kehidupan yang tenang dan majmuk di masjid.
Namun, pada hakikatnya mereka adalah sama disisi Allah sebagai hamba yang seharusnya melaksanakan perintah-NYA dan meninggalkan larangan-NYA. Keadaan ini pelik bukan dengan zaman kegemilangan Islam dimana pemudanya seperti Salahuddin al-Ayubbi dan Salman al-Farisi yang banyak menghabiskan masa dan waktunya untuk menegakkan Islam. Di sini terdapat klip yang mungkin dapat memberi kesedaran kita semua mengenai realiti orang Islam mutakhir ini.
Bagaimana dengan klip tersebut? Harap ia dapat membantu saudara sekalian.
Malu untuk saya melihat ramai daripada anak muda yang tidak mengambil apa-apa tindakan sejurus azan dilaungkan oleh Muazzin. Adakah mereka ini sengaja tidak mahu menyahut seruan "Marilah bersolat" atau mereka sekadar menganggap itu hanya kerja rutin bilal di masjid? Ada salah satu Hadith Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:
"Ketahuilah bahawa sekiranya ada diantara kamu yang mendengar azan dan tidak terus pergi bersolat maka tidak sah akan solatnya melainkan berada di dalam keuzuran."
Renungkan kata-kata Nabi Muhammad s.a.w itu dengan sebaik-baiknya.
Pada masa sihat inilah waktunya untuk kita kerap ke masjid untuk solat berjemaah. Sekiranya kita tunggu di waktu sakit maka mungkin itu susah sedikit untuk laksankannya.Selain itu, solat berjemaah amatlah digalakkan dalam Islam. Ganjarannya adalah 27 kali ganda lebih daripada melakukan solat secara bersendirian. Ingin saya menanya sedikit, kalau bukan kita yang ingin memakmurkan dan mengimarahkan rumah Allah siapa lagi? Sedih jika kita bandingkan keadaan di masjid khususnya pada waktu solat fardhu dengan keadaan di shopping complex pada hari ini.
Pendek kata, tidak akan rugi dan menyesal kita apabila melakukan banyak amal kebaikan seperti menolong yang susah, melemparkan senyuman serta menyertai solat secara berjemaah di masjid pada awal waktu ketika berada di dunia. Hal ini kerana dunia ini ibarat ladang kita untuk bercucuk tanam dan hasilnya kita dapat nikmati ketika di akhirat kelak. Cantik dan bersih ladangnya maka baiklah hasilnya.
Saya pasti semua umat Islam tidak kira doktor pakar, penjual burger mahupun pencuri kereta semuanya ingin ke syurga Allah. Oleh itu, saya ingin menasihati diri saya dan para pembaca agar dapat memanfaatkan masa yang ada dengan beramal saleh ketika masih diberi peluang hidup di dunia yang sementara ini. Tidak ada gunanya kita meraung dan bersedih ketika sudah mati kerana peluang hanya datang sekali.
Sekiranya terdapat sebarang kesilapan, pembetulan amat dialu-alukan daripada kalian.
Selamat beramal. Assalamualaikum.
gambar hiasan |
No comments:
Post a Comment