Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum.
Semoga para pembaca berada di dalam keadaan sihat-sejahtera. InshaaAllah.
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
di dalam kehidupan ini tentu ada masanya kita memperolehi apa yang kita hajatkan bukan?
Dan ada masanya juga kita tidak memperolehi apa yang kita idamkan sebaliknya menerima suatu perkara yang dirasakan sebagai sesuatu hal yang malang menimpa diri.
Haiyo, emosi ketika ini seolah bermacam rasa; sedih, kecewa, hampa, marah dan ini semua mungkin menunjukkan tentang ke-tidak-puas-an diri terhadap sesuatu.
Justeru, adakalanya apabila memikirkan tentang kegagalan yang kita kecapi dan bukan kemenangan kita akan terus berasa jatuh seolah tiada kebaikan yang ada pada keburukan tersebut.
gambar hiasan |
Ya. Tidak dinafikan, semua orang secara fitrahnya mahukan perkara baik-baik sahaja yang boleh dianggap sebagai sesuatu yang termasuk di dalam definisi kejayaan bagi dirinya.
Contoh mudah adalah mendapat kejayaan di dalam peperiksaan adalah cita-cita setiap orang saya kira.
Namun, gagal sekali tidak bererti kita gagal selamanya dan di dalam kegagalan itu tidak semestinya tiada kebaikan.
Perlu diingatkan, sebaik-baik perancang adalah Allah S.W.T.
"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu jadilah ia." (Al-Baqarah: 117)
Apa kata kalau kita jangan biasakan diri dengan terus cepat melatah, memaki dan seterusnya bersangka-buruk terhadap Allah apabila suatu musibah menimpa diri.
Sebaliknya, cubalah katakan sesuatu yang baik seperti istighfar atau jika tidak mampu hanya mendiamkan diri kerana ianya adalah lebih baik daripada berkata kesat lagi buruk.
gambar hiasan |
Siapa tahu, boleh jadi perkara yang buruk itu adalah kifarah kepada dosa kita.
"Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa."- Hadis Riwayat Bukhari & Muslim
Dalam erti kata lainnya dalam sesuatu perkara yang terjadi itu sudah tentu terdapat hikmah di sebaliknya.
Mungkin kita nampak hikmah tersebut atau mungkin tidak nampak - ianya bergantung.
Apa itu hikmah?
Berdasarkan kamus dewan bahasa hikmah adalah merujuk kepada rahsia, kelebihan atau tujuan sebenar di sebalik sesuatu kejadian.
Oleh itu, dalam menerima suatu perkara yang tidak seiring dengan kemahuan hati, perlunya kita mengetahui bahawa terdapat suatu kelebihan di sebalik kekecewaan itu.
Tambahan pula, Allah juga ada berkata tentang hal hikmah iaitu:
"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah:216)
Bercerita mengenai konsep hikmah maka teringat saya kepada satu Kisah Raja & Tukang Masak.
Cerita ini sudah diketahui ramai pada amnya namun alhamdulillah, ianya telah diingatkan semula oleh Ustaz Ismail Kamus di dalam satu kuliahnya baru-baru ini.
Secara ringkasnya, Raja ini mahu ke dapur tetapi Tukang Masak melarangnya kerana Raja tidak pernah melakukan perbuatan sedemikian.
Namun apabila Raja terlalu berkeras lalu Tukang Masak membawanya ke ruang memasak.
Dalam percubaan pertama memotong bawang, Raja secara tidak sengaja terpotong jarinya.
Kesannya, Raja memenjara Tukang Masak kerana hanya disebabkan kebenaran yang diberi oleh Tukang Masak untuk ke dapur Raja kehilangan jari.
Pada suatu petang, Raja terpaksa pergi ke hutan secara berseorangan untuk memburu - kebiasaannya ianya dilakukan bersama Tukang Masak.
Di sana Raja ditangkap oleh sekumpulan manusia yang memakan orang.
Menjadi kepercayaan mereka untuk memakan manusia yang sempurna tanpa sedikit cacat.
Selepas mengetahui Raja tidak mempunyai jari maka Raja dilepaskan.
Setibanya di istana, Raja berterima kasih kepada Tukang Masak kerana kalau bukan disebabkan dirinya dibenarkan untuk ke dapur tempoh hari sudah tentu Raja akan mati dimakan.
Sebaliknya juga berlaku kepada Tukang Masak yang mengucapkan terima kasih kerana memenjarakannya. Tanpa penjara sudah tentu Tukang Masak adalah mangsa tersebut.
Hurm... Sudah menjadi macam pertandingan cerita sekolah rendah pula saya rasakan. (sengaja ingin timbulkan unsur humour ketika mata sedang mengantuk menulis - harap berjaya).
Baiklah, berbalik kepada kisah tadi bagaimana?
Saya yakin para pembaca dapat memahami apakah kelebihan di sebalik kekurangan apa yang berlaku di permulaan cerita.
Tuntasnya, berfikiran hikmah atau berfikiran positif ini sangat berguna kepada kita dalam tujuan untuk menjadi insan yang berhati senang dan tidak bersangka-buruk kepada tuhan.
Bak kata Ustaz Syarul Azman Shaharuddin:
"Jiwa yang tenang akan sentiasa senang."
Semoga penulisan pada kali ini membawa manfaat kepada semua.
Kongsikan ia sekiranya kalian merasakan ianya perlu dibaca oleh orang lain.
Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment