Wednesday, 30 January 2013

Meskipun Penat & Sibuk Dengan Pekerjaan Keduniaan Namun Jangan Lupa Tentang Tujuan Utama Kita Dihidupkan. Bermuhasabahlah.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum w.b.t.

Apa khabar para pembaca Rakan Ilusi?

Saya harap kalian semua berada dalam keadaan sihat-sejahtera insha-Allah.

Bersua kembali kita pada bulan ini seperti biasa.

Terima kasih kerana masih sudi membaca penulisan saya yang banyak kelemahan ini.

Saya amat menghargai jasa kalian.

Pejam-celik pejam-celik kita sudah masuk tahun 2013, jika difikirkan tempoh umur kita daripada dilahirkan sehingga hari ini bukanlah terlalu lama.

Tidak begitu?

Hanya jarang-jarang kita punyai memori dan kenangan tertentu yang mungkin sukar untuk dilupakan samada manis ataupun pahit.

Contohnya;

-Dapat keputusan UPSR, PMR, SPM samada cemerlang ataupun sebaliknya.
-Berada dalam majlis perkahwinan, berkhatan dan sebagainya.
-Peroleh gaji yang pertama.
-Hari pertama bersekolah.

Hari-hari lain semuanya kita lalui seperti biasa yang mungkin kita pun tidak dapat mengingatinya dengan baik.

Ya! Tidak dinafikan mungkin ada yang tidak setuju dengan idea saya tetapi itulah....

Namun begitu, adakah kita sedar bahawa apakah tujuan sebenar kita dihidupkan di atas muka bumi ini?

Ayuh kita renung seketika ke luar jendela.

Sebagai contoh jika umur seseorang itu hanya 60 tahun, lantas berapa lama agaknya masa yang beliau gunakan untuk beribadat dan melakukan amal-kebajikan untuk Islam?

Tolak tidur, makan, minum, belajar memandu kereta, belajar ilmu untuk UPSR, PMR serta SPM, bercuti bersama keluarga, huha huha bersama rakan-rakan dan sebagainya?

Fikir-fikirkan.
“Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan” (Hadis Riwayat Bukhari)
Terus, walaupun ada yang sedar tentang kepentingan dan nikmat masa tersebut namun masih ada segelintir menggunakan masa yang lapang itu untuk melepak di Warung Nasi Lemak Panas Anita, bermain video game juga menonton pawagam atau movie.

Astaghfirullah. 

Sedih sebenarnya jika difikirkan.

Semoga kita semua ditetapkan hati di jalan yang benar iaitu jalan yang diredhai oleh Allah.

Insha-Allah.

Sebelum kita berganjak lagi, mari kita fahamkan dan hayati benar-benar dengan apakah yang dimaksudkan dengan ayat Al-Quran ini:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (Adz-Dzaariyaat 51:56)
Justeru, fikirkanlah.
"Tidak lain tidak bukan hidup ini hanyalah untuk mengejar kejayaan di Akhirat."  Eza Haliza
Jika hidup ini hanya semata untuk berhibur, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk menyertai rancangan realiti, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk memakai pakaian yang mahal, susahlah.
 
Jika hidup ini hanya semata untuk bergaul dengan mereka yang satu kepala dengan kita, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk menjadi hamba media eletronik, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk mencari kekasih, susahlah.

Jika hidup ini hanya semata untuk dengki-mendengki antara satu sama lain, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk gunakan duit untuk perkara buruk, hodoh serta maksiat, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk bergambar seksi dan mengghairahkan setiap masa, susahlah.

Jika hidup ini hanya semata untuk membuat ibu ayah berkecil hati, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk berbakti pada kenderaan bukan untuk agama Islam, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk memandang hina pada orang susah dan miskin, susahlah.

Jika hidup ini hanya semata untuk bersangka-buruk pada yang lain, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk meniru dalam peperiksaan, susahlah.
Jika hidup ini hanya semata untuk mengumpat dan asyik membicarakan tentang hal orang, susahlah.

Bermacam-macam siri dan ciri yang terlintas dalam fikiran saya sebenarnya tatkala menulis contoh-contoh tersebut.

Dalam erti kata lain, perkara-perkara itu sudah biasa mengelilingi hidup anak muda seperti saya.

Saya juga merasakan anak muda yang lain majoritinya mudah dalam mencari contoh perkara ini.

Sedih bukan?

Bukanlah ingin saya katakan bahawa saya terjebak di dalam kancah sebegitu dan bukan juga saya mahu katakan saya ini sempurna.

Akan tetapi mungkin kadang-kadang faktor melihat berlaku pada rakan-rakan, terbaca di dada akhbar atau mungkin juga saya sendiri mengalaminya yang menyebabkan saya terlintas perkara tersebut.

gambar hiasan
Oleh yang demikian, pentingnya untuk kita sentiasa bermuhasabah diri.

Sebenarnya terdapat berbagai cara untuk kita muhasabah diri.

Antaranya ialah;

1) Ambil masa dalam 5-10 minit sebelum tidur untuk fikirkan semula tentang apakah yang telah kita lakukan pada hari tersebut untuk kebaikan diri sendiri, keluarga, agama serta masyarakat lantas cuba berazam untuk jadikan hari esoknya lebih baik daripada hari tersebut kerana saya pernah mendengar ketika di sekolah dahulu tentang:
"Barangsiapa yang hari ini lebih baik dari semalam,
maka dia dari kalangan mereka yang beruntung.
Barangsiapa yang hari ini sama seperti semalam,
maka dia dari kalangan yang rugi.
Barangsiapa yang hari ini lebih teruk dari semalam,
maka dia di kalangan orang yang celaka."
2) Perbanyakkan dan sibukkan diri untuk duduk di dalam majlis ilmu.

Di sini, majlis ilmu merujuk kepada majlis yang berfaedah dan bermanfaat yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Perlu difahamkan mengikut kata ustaz yang telah memberikan tazkirah di masjid MTPDRM Muar Johor baru-baru ini bahawa tidak semestinya majlis ilmu itu hanya di masjid atau surau, malah ianya mungkin ada di YouTube atau laman-laman blog mahupun perbualan yang membincangkan tentang kekuasaan dan kebesaran Allah antara dua sahabat.

Di sini ada satu perkongsian video tentang tentang kelebihan menghadiri majlis ilmu, selamat menonton!

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

3) Lihatlah hidup mereka yang lebih susah daripada kita.

'Mereka' ini merujuk kepada orang yang hidupnya lebih susah daripada kita, tidak semestinya daripada aspek harta tetapi juga termasuk daripada segi kesihatan, kebahagiaan, kepandaian mahupun apa sahaja.
“Lihatlah kepada orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat orang yang berada di atasmu kerana yang demikian lebih patut supaya kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang diberikan kepadamu.” (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim & At-Tirmidzi)
Tentu kalian selalu mendengar akan satu ayat kebanyakkan orang yang berbunyi;
"Manusia mana yang sempurna"
Satu sahaja nasihat saya buat diri saya dan juga para pembaca, yakni perbanyakkan rasa syukur dengan apa yang ada.

Jangan hanya asyik mengkritik akan apa yang kita miliki.

Hargailah ia seperti mana kita hargai sesuatu yang kita sayangi.

Sebagai contoh kita ambil sahaja yang paling dekat dengan kita, iaitu kesihatan tubuh badan.

Cuba bayangkan jika kita tiada kaki, tiada tangan, tiada lidah, tiada telinga.

Bagaimana rasanya?

Allahuakbar! Allah itu Maha Besar Maha Bijaksana.

Allah sudah memberikan kita anugerah yang amat baik, terpulanglah pada kita untuk memanfaatkannya ke arah kemungkaran atau keredhaan-Nya.

Renung-renungkan.

Mari berzikir sebentar; SubhnaAllah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

 Muhasabah Diri

Dalam Al-Quran ada ayat yang bermaksud:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: 'Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras'" (Ibrahim 14:7)

Insha-Allah.

Oh ya sebelum saya terlupa, ingin saya kongsikan satu perkongsian yang elok untuk dibaca.

Namun begitu tiada paksaan yang dikenakan.

Jika ada masa lapang baca, tiada masa lapang tidak mengapa.

Secara tuntasnya ingatlah, walau sesibuk mana sekalipun kita dengan urusan keduniaan, jangan kita lupa tentang kehidupan Akhirat kelak.

Semua orang tidak terlepas daripada kehidupan di sana.

Untuk mengecapi kejayaan di alam Akhirat kita perlu membuat persiapan, bagaimana caranya?

Kembalilah kepada ajaran Al-Quran dan Sunnah serta jauhilah segala larangannya.

Selamat beramal!
"Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" (Az-Zalzalah 99:6-8)
Buku Percuma

Alhamdulillah, syukur pada Allah yang Maha Pemurah.


Pada bulan ini, lagi sekali saya berpeluang untuk mengedarkan sebuah lagi buku percuma.

Tajuk buku yang bakal diedarkan pada bulan ini adalah buku 'Panduan Berakhlak Mulia - Peribadi Muslim' oleh Dr. Mahmood Zuhdi Hj. Abdul Majid. 
gambar hiasan
"Akhlak yang mulia ialah sifat yang bergandingan dengan sifat takwa, ataupun suatu sikap atau sifat yang dilahirkan rasa takwa dalam hati seseorang kepada Allah. Oleh sebab takwa itu suatu unsur asasi dalam mendapatkan keredhaan Allah, maka akhlak yang mulia juga merupakan syarat bagi seseorang itu mendapatkan keredhaan Allah Azza Wajalla." - Peribadi Muslim
Namun seperti biasa hanya sebuah sahaja edaran pada bulan ini.

Jadi saya mohon maaf bagi yang tidak berkesempatan untuk memilikinya. 
 
Insha-Allah pada masa akan datang akan ada lagi buku percuma yang akan diedarkan. 
Mungkin sesiapa yang berminat boleh ambil bahagian ketika itu.

Bagi yang berminat, boleh berikan: 
 
1) Nama
2) Alamat surat-menyurat
3) Nombor talifon

ke rakanilusi@gmail.com. 

Saya berminat untuk mengedarkan buku ini kerana bagi saya akhlak seseorang amat penting dalam hidup diri beliau.

Tidak kira samada beliau orang yang berpangkat, punyai harta yang banyak mahupun rupa yang menarik.

Akhlak membuatkan samada beliau disenangi atau sebaliknya oleh masyarakat yang didampinginya.

Tambahan pula, agama Islam sangat menitik-beratkan soal akhlak sebenarnya.

Ianya perkara yang subjektif.

Masih ramai lagi anak muda Melayu Islam secara amnya yang kurang sopan akhlaknya seperti suka bercakap kesat dan menggunakan nada yang tinggi ketika bercakap dengan mereka yang lebih tua.

Namun begitu, tidak mengapa.

Masih ada ruang dan peluang untuk berubah.

Berubahlah ayuh!

Tinggalkan kejahilan dan dekatilah kebaikan.

Nampaknya setakat itu sahaja penulisan saya pada kali ini.

Mohon maaf sekiranya ada terkasar bahasa dan membuat sesiapa tersinggung.

Moga-moga pertemuan kita pada kali ini diberkati oleh Allah S.W.T.

Mari kita akhiri pembacaan pada kali ini dengan bermunajat seketika. Insha-Allah.

Assalamualaikum. Jumpa lagi.

Zikir Munajat Keampunan

No comments:

Post a Comment