Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah, semakin hari semakin ramai yang berkunjung ke laman Ilusi. Tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada yang berkenaan.
Sebarkan tentang laman Ilusi ini kepada yang lain samada melalui Facebook, Twitter, Blog atau mungkin anda boleh membuat iklan di salah satu ruang di majalah Solusi.
Bagaimana dengan sambutan Maal Hijrah baru-baru ini? Adakah ia seperti yang digambarkan oleh kebanyakan drama Melayu di kaca televisyen?
Ingin juga saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Maal Hijrah buat semua pembaca Ilusi samada yang mengenali diri saya mahupun tidak.
Bercerita mengenai Maal Hijrah, teringat saya akan teman saya yang pernah berbicara, "Tahun baru cerita baru." (Sekadar berkongsi)
Sejajar dengan kata-katanya, ayuh kita bersama mengorak langkah perubahan ke arah kebaikan.
Sahabat Ilusi,
Baru-baru ini, sewaktu menjalankan tugas di Darul Hadis saya terbaca mengenai teka-teki Imam al-Ghazali dengan muridnya. Ada lima soalan kesemuanya.
Soalan-soalan tersebut nampak ringkas tetapi ia mempunyai maksud yang cukup bermakna bagi kita untuk bermuhasabah diri.
Soalan yang pertama adalah, Apakah yang paling dekat dengan kita?
"Mungkin fikiran?" jawab seorang murid.
Jujur mengatakan saya bersangka jawapan bagi soalan itu merupakan ibu dan ayah.
Tidak sama sekali. Jawapan yang telah diberikan oleh Imam al-Ghazali adalah kematian.
Ya. Kematian yang paling dekat dengan setiap manusia.
Mengapa kematian bukan perkara lain? Mari kita kaji bersama tentang musabab yang diberikan.
Kematian boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu. Boleh jadi semasa seseorang itu sedang membonceng motosikal, membaca laman Ilusi bahkan boleh jadi sedang beribadah kepada Allah s.w.t.
Jika mati dalam keadaan yang elok tidak mengapa, tetapi yang menjadi persoalan adalah bagaimana sekiranya kita kematian menghampiri kita semasa kita leka dengan hal keduniaan seperti membaca majalah berunsurkan lucah ataupun sedang terhenjut-henjut di ruang konsert mega rock? Nauzubillah.
Semoga kita semua dimatikan dalam keadaan husnul khotimah.
Mati merupakan janji Allah S.W.T kepada setiap makhluk-NYA yang bernyawa termasuk kucing-kucing saya, pokok durian Pak Cik Zubir dan peniaga di sekitar Bandar Menjalara.
"Tiap-tiap yang bernyawa akan mati." (Al-Imran:185)
Sesungguhnya, Allah itu tidak pernah memungkiri janji.
Untuk itu, menjadi satu kemestian dan kewajiban untuk kita mengambil langkah tertentu bagi menghadapi kematian itu dengan mudah dan baik.
Kita perlu banyak melakukan solat-solat sunat, bersedekah, menuntut ilmu dan lain-lain di samping cuba untuk memperbaiki diri dalam melakukan ibadah wajib.
Kerapkanlah diri kita untuk menziarahi kubur keluarga, sanak-saudara, rakan-rakan serta jiran-jiran Islam yang lain bagi menambahkan lagi keimanan dan ketaqwaan kita terhadap Allah S.W.T.
Rasulullah s.a.w pernah mengatakan,
"Berziarahlah kamu ke kuburan, kerana berziarah itu mengingatkan kamu akan kematian." (Riwayat Muslim)
Seterusnya, Apakah yang paling jauh dengan seorang Muslim?
Majoriti daripada kita ada yang akan memberi jawapan planet-planet lain seperti Pluto dan Matahari.
Sebaliknya, jawapan yang tepat adalah masa lampau. Cuba fikir sejenak, masa lampau sangat jauh dengan kita kan?
Jika kita sudah melepasinya, mustahil untuk kita pergi semula kepadanya.
Sebagai contoh, semalam kita pergi menziarahi saudara kita yang berada hanya selang beberapa buah rumah dari rumah kita.
Ya. Memang benar, kita boleh berjumpa, bersembang dan bertepuk-tampar dengannya lagi tetapi tidak mungkin kita akan dapat suasana, cuaca, dan keadaan yang sama lagi apabila ke rumahnya pada hari ini.
Itu dalam hal sesama manusia. Bagaimana pula hal dengan Pencipta kita, Allah S.W.T?
Ambil kira dalam bab solat lima waktu. Bagaimana rasanya kita ingin kembali ke masa yang mana kita telah meninggalkan solat itu secara sengaja?
Dari segi pahalanya, nikmatnya, kebaikannya. Semua itu susah untuk kita tafsirkan jika kita bukan berada pada masa demikian.
Tuntasnya, kita harus menjaga dan memanfaatkan masa yang kita sedang berhadapan ini dengan perkara yang secorak dengan syariat agama seperti menutup aurat, dan berkata yang baik-baik sahaja.
Apakah benda yang paling besar dalam dunia ini merupakan soalan yang ketiga.
"Laut!" jawab salah seorang pelajar sekolah Sains Muadzam Shah yang membaca penulisan Ilusi kali ini.
"Bukan la. Benda yang paling besar mesti la hawa nafsu." jawab rakannya.
Nah, jawapan yang diberikan oleh rakan itu tadi menepati citarasa soalan ini.
Ya akhi wa ukhti,
Benda yang paling besar dalam kehidupan kita ini tidak syak lagi adalah hawa nafsu. Tidak percaya?
Mari kita ambil masa buat beberapa ketika. Cuba kita soalkan diri kita, dalam kehidupan seharian kita, yang mana kita lebih utamakan. Adakah hal kepentingan atau kehendak semata-mata?
Daripada celik mata sehingga pejam semula, banyak daripada aktiviti kita semuanya menurut kehendak nafsu semata-mata bukan?
Menonton televisyen berjam lamanya boleh tetapi tidak untuk beribadah kepada Allah S.W.T, berbelanja secara berlebihan dalam soal pemakanan dan pemakaian boleh tetapi tidak untuk membantu mereka yang papa serta berbagai lagi seribu satu kehendak hawa nafsu yang kita ikuti dalam setiap saat tanpa memikirkan hal-hal kepentingan yang sepatutnya kita utamakan dalam menjadi seorang hamba.
Hawa nafsu perlu kita yang mengawal bukan kita yang dikawal. Ingat tu.
Amanah, Bistari, Cekal, Dedikasi, Ehsan, Fitrah, Gigih serta Harmoni.
Kelapan nama-nama itu merupakan nama-nama kelas semasa saya berada di menengah rendah dan antara kesemuanya Apakah yang paling berat dalam kehidupan kita?
Tentu sekali amanah. Tidak semua makhluk boleh memikul amanah dengan baik dan sempurna.
Tidak hairanlah tumbuhan, gunung-ganang dan bumi tidak berani menyahutnya kecuali manusia.
Manusia merupakan makhluk yang sanggup memegang amanah untuk memakmurkan bumi ini.
Isu yang ingin diketengahkan oleh penulis adalah bagaimana kita boleh cakap kita memegang amanah dengan baik dalam beberapa hal sedangkan kita banyak 'mencuri'.
Usah terlalu memerah otak dengan perwakilan 'mencuri' itu, mungkin kita boleh lihat situasi dalam dunia para pelajar.
Bukankah para pelajar sepatutnya pergi ke sekolah ataupun ke universiti untuk menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh? Apakah soalan amanah itu terjawab sekiranya pelajar itu berlaku ponteng kelas atau meniru dalam peperiksaan?
Terpulang bagaimana anda ingin menjawab. Secara hakikatnya, pelajar tersebut telah pecah amanah. Pelajar itu tidak berlaku jujur pada dirinya sendiri, ibu bapa dan guru-guru.
Jadi, buat mereka yang masih menuntut ilmu tidak kira yang bersekolah di MRSM, SBP, Sekolah Teknik, USM, UIA, UKM, Mansoura University, Monash University, Moscow Aviation Institute bahkan di tabika kemas. Kamu semua perlu mendokong amanah ini dengan jujur dan ikhlas.
Insha-Allah, kemenangan akan bersama mereka saya doakan.
Kenapa pula meninggalkan solat merupakan jawapan kepada Apakah yang paling ringan di dalam dunia bukan benang ke, angin ke atau lalang?
Betul. Betul. Betul.
Ramai daripada orang Islam sekarang yang menganggap solat itu adalah ringan di sisi agama.
Sungguh bercanggah dengan apa yang diperkatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w di mana solat merupakan amalan yang paling penting dalam kehidupan seorang yang beragama Islam sebelum berbakti pada ibu bapa dan berjihad.
Ada di antara kita yang berpuasa, mambayar zakat dan mengucapkan kalimah Syahadah.
Tidak cukup itu, dia juga turut bersedekah serta menghormati orang lain tetapi solatnya tidak dijaga dengan baik.
Sungguh sayang sekali atas apa yang berlaku, semoga golongan seperti ini akan diberi hidayah oleh Allah S.W.T untuk berubah ke arah kebaikan.
Gara-gara perkara keduniaan yang tidak berfaedah punah penjagaan solat kita.
Benar. Memang perkara lain seperti menuntut ilmu dan bekerja mencari nafkah untuk anak dan isteri yang tercinta itu satu ibadah tetapi adakah itu akan dianggap sebagai satu ibadah jika kita terus meninggalkan rukun Islam yang kedua itu tanpa belas kasihan?
Mengikut kata guru saya, Puan Radziah, semua benda yang berfaedah itu boleh dianggap sebagai satu ibadah jika kena caranya.
Contoh membaca buku, ia boleh jadi satu ibadah kerana ia pekerjaan yang menuntut ilmu.
Dengan ilmu kita boleh menjadi orang Islam yang berguna pada masyarakat dan boleh mengkaji alam dalam mengingati kebesaran yang Maha Esa. Betul tak?
Masalah sekarang, adakah ia menjadi satu ibadah sementara kita hanya terus membaca tanpa mengenal erti waktu solat? Sudah tentu tidak, kata Puan Radziah itu tadi.
Solat atau sembahyang adalah perkara asas dan paling penting dalam kehidupan kita kerana ia adalah tiang agama.
Rumah yang tiada tiang tidak akan dapat berdiri dengan kukuh.
Tidak percaya? Cubalah.
Kata Abdullah bin Mas'ud "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang amalan apa yang paling diredhai oleh Allah S.W.T dan Rasulullah s.a.w menjawab "Solat." kemudian ditanya lagi kepada Baginda s.a.w dua kali lalu Baginda s.a.w menjawab berbakti pada ibu bapa dan berjihad"
Soalan yang terakhir adalah Apakah yang paling tajam dalam dunia?
Secara logic akal tentulah benda seperti mata pisau ataupun mata pedang.
Mungkin lidi satay? Haha. Saya sekadar bergurau, maklumlah penulisan yang panjang ini ada masanya membuatkan kita jadi buntu buah fikiran.
Jawapannya adalah lidah. Hal ini adalah kerana hanya disebabkan sepotong lidah ia boleh mengguriskan hati ramai orang.
Dengan lidah orang boleh jadi suka dan tidak suka bergaul dengan kita.
Dengan lidah kita boleh memberi ilmu yang bermanfaat ataupun sebaliknya.
Dengan lidah kita boleh mendapat pujian ataupun memuji bahkan dipuji.
Saya tidak rasa boleh bercerita panjang mengenai senjata yang paling merbahaya ini kerana hari sudah jauh malam.
Badan sudah penat, mata ingin terlelap.
Mungkin anda boleh membaca mengenai ketajaman ini di lidah itu perlu digunakan untuk menyebut perkara yang baik bukannya keburukan.
Secara amnya, kita perlu membuat persediaan bagi menghadapi kematian yang boleh datang menjemput kita pada bila-bila masa.
Ingat, jangan sampai sudah tidak bernyawa baru hendak timbul perasaan kesal.
Manfaatkan masa dengan perkara-perkara berguna yang boleh bawa keuntungan kepada kita semasa di dunia dan akhirat.
Masa lampau itu tidak perlu dikenang, yang penting masa yang sedang dihadapi dan akan dihadapi.
Jagalah amanah yang diberi dengan sebaik-baiknya kerana ia merupakan salah satu perkara yang diamalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Jagalah solat kita pada setiap kali waktu bersolat. Tinggalkanlah sikap suka melambatkan solat kerana solat itu boleh mencegah kita daripada melakukan kemungkaran.
Berhati-hatilah dengan penggunaan lidah pada setiap masa.
Ingin saya mengulang sekali lagi, jangan biarkan diri kita dikawal hawa nafsu sebaliknya kita yang mengawalnya dengan penuh bijaksana.
Mohon maaf sekiranya tedapat kesilapan secara sengaja atau tidak sengaja.
Harap penulisan kali ini dapat difahami oleh para pambaca Ilusi.
Selamat beramal. Assalamualaikum.
gambar hiasan. |