Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum.
Ketika muazzin melaungkan azan Subuh, dimanakah agaknya kita?
Adakah kita masih menuruti hawa nafsu dengan memejamkan mata di atas tilam yang empuk?
Walhal Allah s.w.t telah menjanjikan ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang bersolat pada awal waktu apatah lagi bagi mereka yang berjemaah. Kebaikan solat Subuh secara berjemaah ibarat beribadat kepada-NYA sepanjang malam.
Alangkah ruginya bagi mereka yang tidak merebut peluang seperti ini.
Ketika Subuh beralih kepada Zohor pula bagaimana?
Adakah kita lebih mementingkan kelaparan kedahagaan dan rehat kita setelah penat bekerja bagi pekerja dan menela'ah ilmu pelajaran bagi pelajar?
Atau mungkin kita sedang perlihatkan tumpuan terhadap jawatan kita sehingga asyik dengan wang ringgit yang bakal diperolehi? Sebaliknya kita terlupa akan sebuah nilai ketaatan dalam melaksanakan perintah-NYA iaitu solat pada awal waktu.
Sejurus Zohor, Asar pula berganti tempat. Tanpa berfikir panjang, kita terus memilih untuk meluangkan masa bersama rakan sejawat mahupun rakan sekelas dimana-mana kedai kopi untuk bersembangkan hal keduniaan daripada mengutamakan solat.
Persoalkan diri sendiri, mana satu yang kita perlu utamakan? Mana satu yang boleh menguntungkan kita di akhirat kelak? Tepuk dada tanya iman. Amacam bro?
Matahari hilang buat seketika muncul pula bulan menggantikannya sementara Maghrib beralih daripada Asar. Sedang itu, kita leka dengan perubahan alam yang kita masih rasakan waktu Magrib itu lama lagi.
Anak gadis kita sibuk menonton cerita cinta di kaca televisyen, anak teruna kita pula masih leka memulas pendikit motor ke sana ke mari dengan bangganya. Mereka tidak sedar betapa ruginya mereka berlakon sedemikian.
Pada masa yang sama, bagi mereka yang beringat akan kematian akan mengambil kesempatan untuk menuju ke masjid. Ada yang berjalan, menunggang dan memandu. Bayangkan betapa indahnya perjalanan itu.
Di antara Maghrib dengan Isya', dikatakan oleh seorang penceramah agama yang pernah saya ikuti, ia merupakan waktu yang baik untuk kita melakukan pelbagai perkara sunat seperti berzikir, membaca al-Quran ataupun mendengar ceramah. Ia bersamaan dengan kita melakukan solat sunat sebanyak 80 rakaat (saya tidak pasti kerana sudah lama mendengar ceramah tersebut)
Tapi jika kita toleh ke pusat beli-belah ataupun warung-warung nasi lemak, sudah semestinya anak muda bersepah berkeliaran tanpa mengendahkan peluang tersebut.
Kini Isya' pula, ada di antara kita yang biarkan diri menjadi lesu, penat dan tidak bermaya untuk berdiri menunaikan hak Allah. Kita gadaikan tenaga kita yang sepatutnya kita boleh gunakan untuk solat secara khusyuk dengan menonton drama, juga melayari Internet hingga ke larut malam.
Ya, benar melewatkan solat Isya' dibolehkan tetapi kita perlu faham hal sebegitu laku di dalam hal seperti ceramah keagamaan ataupun lain-lain perkara yang sehaluan dengan amalan yang diajarkan oleh baginda Muhammad s.a.w.
Jika kita melewatkan untuk menonton bola sepak bagaimana pula? Adakah itu termasuk dalam hal keagamaan? Fikir-fikirkanlah.
Kesimpulannya, sampai bila kita akan melambatkan sujud kita pada yang Maha Esa sedangkan perkara sebegitu adalah satu kesalahan yang boleh memudaratkan ketika berada di alam kubur dan akhirat kelak.
Renungkan yang mana lebih baik bagi seseorang Muslim dalam mencari redha-NYA?
Dan ketahuilah, meninggalkan solat dengan sengaja merupakan satu dosa. Ingin dikongsi satu cerita di dalam Al-Quran mengenai penghuni neraka.
"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam neraka Saqar? Mereka menjawab, "Kerana kami tidak mengerjakan solat dan tidak beri makan kepada orang miskin" (Al- Muddathir: 42-44)
Ayuh berubah! Assalamualaikum.
gambar hiasan |
mungkin boleh banyakkan kongsi video .
ReplyDeleteterima kasih atas pendapat yang diberikan.
ReplyDelete