Thursday 15 November 2012

1434 Serta Sedikit Perkongsian Pengalaman.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Apa khabar semua?

Harap kalian semua berada dalam keadaan sihat-sejahtera. Saya sihat Alhamdulillah.

Sebelum ini, musim hujan yang berlaku bukan di Semanjung Malaysia?

Buat di Sabah dan Sarawak saya tidak pasti. Maafkan saya.

Namun begitu, tidak perlulah kita mengeluh atas apa sebab sekalipun kerana hujan itu rahmat sebenarnya.

Ya, mungkin ada orang mengeluh seperti "Kereta baru basuh tapi hujan." atau mungkin "Asyik hujan je bila nak kering baju".

Jika kita berada di dalam keadaan sebegitu, elok sekiranya kita beristighfar dan muhasabah diri semula - Siapa kita dalam menerima hujan dan siapa yang menurunkan hujan.

Tetapi kini, sudah mula masuk ke musim biasa - adakalanya panas adakalanya hujan.

Justeru, berhati-hatilah. Bahaya hujan panas ini - boleh beri demam panas.

Kali ini saya hendak menulis tentang Maal Hijrah dan sedikit pengalaman saya dalam beberapa minggu ini yang mungkin boleh dijadikan sebagai tauladan buat kita semua.

Selamat membaca. 

Oh ya, sebelum itu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon agar semua pembaca Rakan Ilusi berdoa tentang keselamatan orang Islam yang berada di seluruh dunia terutama sekali di Gaza.

Semalam saudara Islam kita telah diserang oleh Israel Zionis, ramai yang cedera. Sebarang kemaskini boleh rujuk Twitter - This Is Gaza

Mungkin selain berdoa kalian juga boleh mengambil bahagian dalam menjatuhkan Israel Zionis dengan memboikot barangan keluaran mereka seperti McDonald's, Nestle, L'oreal dan Coca-cola serta rokok mungkin. 

Ya, saya yakin mesti akan ada pembaca yang cakap "Nak boikot konon, habis orang Islam kerja kat sana camane?" 

Saya serahkan perkara sedemikian untuk kalian fikir-fikirkan.

Saya mohon maaf jika cadangan saya ini buruk bagi pandangan sesetengah pihak tetapi ini hanya cadangan - tiada paksaan dalam menerimanya.

Mungkin juga bagi sesetengah orang, cara memboikot ini adalah salah tetapi renungilah walaupun sedikit keuntungan yang diperoleh oleh Israel Zionis melalui produk-produk tersebut namun percayalah ia mungkin akan digunakan untuk membunuh saudara Islam kita di Gaza.


Cadangan link berkaitan isu boikot barangan produk Israel - senarai barangan produk Israel untuk diboikot dan kenapa perlunya boikot? (fatwa Al-Qaradawi)

gambar hiasan
1434 - Masa Itu Seolah-olah Berlari 

Alhamdulillah, hari semalam sudah masuk tahun baru bagi kalendar Islam yakni tahun Hijrah 1434.

Sekejap sahaja satu tahun bukan? Rasa seolah baru sahaja tetapi realitinya sudah lama.

Mungkin ada eloknya jika kita muhasabah buat seketika tentang apakah perkara yang telah kita laksanakan dalam tahun Hijrah 1433 - lebih banyak baik atau buruk?

Ambil masa sebentar. Dalam 2-3 minit.

Jika banyak buruk tetapi sedikit baik jangan berputus asa. 

Sebaliknya jadikanlah tahun yang baru ini sebagai satu peringkat untuk kita berubah - masuk ke alam yang baik dan tinggalkan alam buruk.

Ya, ramai orang malu untuk berubah. Saya pun tidak faham.

Mungkin hal ini adalah kerana sikap segelintir masyarakat kita yang terlalu suka memperkecilkan seseorang yang dahulunya jahil.

Namun begitu, ada juga ahli masyarakat yang sering memberikan dorongan dan sokongan moral dalam hal sebegini - ianya patut dicontohi oleh kita semua.

Sementara kita masih boleh hidup dalam keadaan aman dan sihat-sejahtera ini kita berubahlah.

Perbanyakkan melakukan amal-kebajikan dan amal-saleh. 

Jangan malas. 
Jangan terlalu leka dengan dunia yang sementara ini. 
Jangan lupa akan mati. 
Jangan pernah lupa akan tujuan kita hidup ini - Syurga / Neraka semuanya bergantung dengan apa yang kita kerjakan pada hari ini.

Manakala, jika banyak baik tetapi sedikit baik jangan pula merasa puas.

Hal ini kerana sebagai manusia biasa yang punyai nafsu dan hidup dalam dunia serba-moden ini kemungkinan besar untuk kita melakukan kemungkaran itu agak tinggi saya katakan jika kita terleka dengan perkara keduniaan ini.

Sebagai contoh, di luar sana ada banyak perkara yang perlu kita jaga; pandangan, percakapan, pergaulan dan banyak lagi.

Mungkin adakalanya kita tersilap dan tersungkur. Siapa tahu bukan?

Justeru, jangan! Jangan pernah merasa puas dalam beramal.

Sentiasa perbaharui iman kita dengan syahadah.

Saudara, saudari sekalian, 

fikirlah renunglah serta perhatikanlah samada masa itu benar-benar emas ataupun hanya sekadar mainan yang tiada nilainya.

Jangan buang masa lagi, sebagai contoh:

1) Hanya menghabiskan separuh daripada hidup kita hanya dengan menonton movie atau cereka.
2) Banyak duduk melepak di warung Huha-huha bersama kawan-kawan.
3) Banyak membaca perkara yang tidak berfaedah daripada membaca tafsir Al-Quran.

Kalau boleh, pasanglah azam untuk tahun baru ini.

Biar kita ada sedikit azam tetapi yang penting ianya berterusan insha-Allah. 

Istiqomah dan ikhlas.

gambar hiasan 

Contohnya:

1) Sebelum ini kita hanya solat secara berjemaah tatkala menunaikan solat fardhu Jumaat. 

Jadi biar azam tahun baru ini adalah kita tunaikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah samada di rumah, musolla atau masjid. 

Namun sebaik-baiknya pergilah ke masjid untuk solat fardhu lima waktu. Hal ini berdasarkan satu hadis Nabi Muhammad s.a.w:
"Paling afdhol (utama) seorang solat di rumahnya kecuali yang fardhu (lima waktu)" - (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara sebab kita digalakkan solat sunat di rumah adalah untuk tidak menjadikan rumah kita seperti kubur.

2) Sebelum ini kita hanya menutup aurat tatkala hendak berjumpa dengan orang-orang tertentu ataupun hendak berjalan tetapi jika ada orang bukan muhrim masuk rumah kita atau mungkin tatkala hendak menyidai kain di luar rumah atau mungkin ketika hendak mengambil surat di hadapan rumah, kita tidak menutup aurat.

Hanya dengan satu alasan iaitu malas. Ingat, di Akhirat kelak alasan sebegitu amat tidak boleh diterima-pakai. Sesal di kemudian hari tiada guna bro!

Jadi, biar tahun baru ini kita sentiasa menjadi orang yang menutup aurat. Tidak kira samada kita bersendirian di dalam rumah ataupun ketika bergaul dengan masyarakat di luar rumah.

Amalkan Islam pada keseluruhan bukan hanya pada sesetengah perkara. Insha-Allah.

3) Bagi yang perempuan pula, jagalah perhiasan diri. Tutuplah aurat.

Jangan didedahkan dan dipertontonkan untuk semua orang. Tidak elok dan ia amat bercanggah dengan ajaran Islam. 
 
Memang, tidak dinafikan memang menjadi suatu yang ganjil untuk melihat seorang wanita berpakaian menutup aurat samada di kawasan bandar mahupun di luar bandar, di dalam dunia maya mahupun di alam realiti.

Sedih, ini amat menyedihkan!

Sana-sini ramainya anak gadis berpakaian ketat, singkat malah ada yang seperti bangga menayangkan badannya. Astaghfirullah.

Percayalah, sebenarnya mendedahkan aurat hanya akan mendatangkan kerugian pada diri kita. Seolah-olah nilai kita semakin hari semakin menurun. 

Sebenarnya, menjadi asing di dalam perkara yang benar di sisi ajaran Islam adalah perkara yang tidak memalukan. Cuba lihat video ini:




Ada saya pernah terbaca di Twitter seseorang yang saya kenali yang lebih kurang begini katanya:
"Alhamdulillah. Sejak pakai tudung yang menutup dada ini, rasa selamat je bila berjalan di hadapan lelaki."
Gembira bukan apabila membaca Tweet sebegitu?

Berubahlah wahai para Muslimah sekalian sementara masih ada masa. 

Dalam Al-Quran ada ayat yang menyuruh para Muslimah menjaga perhiasan mereka dengan menutup aurat:
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nuur 24:31)
 4) Kemudian hal ibu bapa. 

Jika sebelum ini kita selalu berkasar dan tidak menghormati mereka dalam apa jua hal, maka eloklah sekiranya kita berubah.
"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Israa' 17:23-24)
Jika sebelum ini kita hanya berhubung dengan mereka apabila tiba Hari Raya, maka eloklah jika kita talifon mereka sekurang-kurangnya setiap minggu sekali dan lebih baik jika ada masa lapang baliklah kampung, lawat mereka. Itu lebih baik.

Percayalah, kedua orang tua kita bukan mahukan wang ringgit. Tidak sama sekali.
"Orang zaman moden ini lebih ambil berat dan sayang akan isteri dan anak-anak mereka daripada ibu ayah mereka sendiri." - Buku 'The Ideal Muslim' oleh Muhammad Ali Al-Hashimi.
5) Perbanyakkan menderma dan menginfakkan harta ke jalan yang diredhai oleh Allah.

Jangan terlalu kedekut dan malas untuk menderma. Wang ringgit dan harta kekayaan tidak boleh dibawa mati. Ingat itu.   

Nabi Muhammad s.a.w. pernah berkata:
"Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Oh ya, ada masa lebih boleh buka laman Islam ini. 


Jadi, sebagai penutup bicara saya berharap agar semua umat Islam tidak kira berada di mana dapat menggunakan tahun baru ini sebagai medium untuk kita semua berubah ke arah kebaikan. Insha-Allah.

Saya tinggalkan kalian dengan dua video ini yang berkaitan dengan Hijrah. Selamat menonton!





Ada Eloknya Kita Bersabar. Mungkin Ia Sebagai Salah Satu Cara Berdakwah.

Ya. Bersabar itu amat penting dalam kehidupan seorang Muslim.

Bahkan kita amat dituntut untuk belajar bersabar dalam apa jua masalah yang kita hadapi.
"Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan". (Hud 11:115)
"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah 2:153)
 “Bukan ukuran kekuatan seseorang itu dengan bergusti tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang mampu mengawal hawa nafsu ketika marah.” - (Riwayat Bukhari)
Sebenarnya, bersabar itu amat penting jika kita renungkan.

Tanpa sabar saya rasa kehidupan kita akan lebih kucar-kacir dan mungkin tiadanya harmoni yang akan wujud dalam masyarakat Melayu amnya.

Mungkin juga tanpa punyai sifat sabar juga, kita boleh memberikan impak yang buruk terhadap pandangan non-muslim kepada Islam itu sendiri.

Mengapa saya berkata sedemikian? Ceritanya begini.

Baru-baru ini ketika saya sedang berjalan kaki di sekitar Titiwangsa menuju ke Pekeliling, saya melihat sebuah kereta Merah lalu diikuti kereta Biru berhenti secara mengejut di hadapan saya.

Agak cemas sedikit, kerana pada mulanya saya ingatkan keduanya sindiket tetapi Alhamdulillah bukan rupanya.

Sebenarnya kereta Merah terlanggar sedikit bahagian belakang kereta Biru dan itulah punca utama kenapa mereka berhenti secara mengejut.

Pemandu Biru, seorang muda yang berwajah Melayu Islam yang memakai rantai seluar pendek dan berbaju hitam berjalan menuju ke pintu pemandu Merah, seorang tua yang bukan beragama Islam (bangsanya dirahsiakan).

Pada mulanya perbualan itu tidak menarik perhatian saya kerana pemandu Biru amat lembut tetapi tidak sampai tiga langkah saya ke hadapan tiba-tiba dia menjerit, "Kau tak nampak ke?! Kau turun la tengok!"

Banyak lagi sebenarnya, malahan dia ada menggunakan kata kesat sedikit dalam perbualannya.

Astaghfirullah. Beristighfar saya melihat gelagat pemandu Biru. 

Isunya adalah - Perlukah pemandu Biru berkelakuan sedemikian kepada seorang bukan Islam sedangkan keretanya tidak punyai sebarang kemek atau calar?

Saya tertanya selepas melihat kejadian itu - Bagaimana orang bukan Islam hendak faham apa itu Islam jika orang Melayu Islam bertindak sedemikian jika menghadapi masalah lebih-lebih lagi masalah yang tidak terlalu besar?

Saya tidak tahu, tetapi saya rasa tentu pemandu Merah tidak akan dapat apakah itu Islam jika gelagat sebegitu yang dipamerkan oleh orang Islam itu sendiri.

Jujur saya katakan, saya malu melihat orang Islam berkelakuan sebegitu dalam menghadapi masalah dengan orang bukan Islam. 

Hal ini kerana, pemandu Merah langsung tidak meninggikan suaranya dalam kejadian tersebut.
Oleh yang demikian, ada eloknya kita bersabar jika menghadapi masalah lebih lagi jika ia melibatkan orang bukan Islam.

Ingat, orang bukan Islam akan menilai setiap daripada percakapan dan perbuatan kita.
 
Jika baik maka ia akan memberikan tanggapan yang baik bagi mereka untuk Islam, jika sebaliknya kalian fikirlah sendiri.

Sekali lagi - Mengapa saya berkata begitu? Jom lihat cerita seterusnya.

Ingin saya berkongsi, semasa dalam kuliah saya baru-baru ini, Dr. Tajul memberitahu bahawa ada orang yakni seorang Muallaf, A menceritakan kepadanya bahawa ibu beliau, B (masih belum memeluk Islam, semoga dia diberi hidayah oleh Allah) amat kagum dengan sifat orang Islam yang menghormati orang tua.

Seringkali B melihat anak A mencium tangan orang tua ketika hendak berpisah. B merasakan ini amat berbeza dengan agama yang sedang dianuti.

Jadi, adakah kalian nampak apa yang saya nampak?

B menilai perbuatan cucunya, dan melalui perkara hormat pada orang tua ini (walaupun kecil) boleh memberikan tanggapan yang baik kepada Islam daripada orang bukan Islam.

Maaf sekiranya penulisan saya sedikit tidak tersusun - kekurangan saya mungkin.

Pendek kata, sabar itu adalah sesuatu benda yang perlu kita amalkan pada setiap masa.

Sabar. Sabar. Sabar.

gambar hiasan



Husnuzon Da'iman - Sentiasalah Bersangka Baik

Orang yang rajin disangka menunjuk.
Orang yang tegas disangka marah.
Orang yang pakai baju baru disangka melawa.
Orang yang pakai baju buruk disangka hina atau zuhud.
Orang yang menawan disangka pakai susuk.
Orang yang bermuzakarah dan berbisik disangka mengumpat.
Orang yang tidak hadir disangka sombong.
Orang yang beli rumah disangka banyak duit.
Orang yang tidur awal disangka tidak remaja.
Orang yang menolong disangka mengampu.
Orang yang tidak tidak menolong disangka pemalas.
Orang yang baik niatnya disangka jahat.
Orang yang buruk niatnya disangka baik.
Orang yang senyum disangka mengejek.
Orang yang diam disangka menyendiri.
Orang yang masam disangka sombong.

Mana tahu yang diam itu kerana berzikir atau sedang bermuhasabah.
Mana tahu yang masam itu kerana mengenangkan dosa.
Mana tahu yang senyum itu kerana ikhlas.
Mana tahu yang tidak menolong itu kerana tidak larat.
Mana tahu yang beli rumah itu kerana ingin jadikan ia sebagai rumah kebajikan; rumah anak yatim.
Mana tahu yang tidak hadir itu kerana tidak sihat.
Mana tahu yang tidur awal itu kerana ingin bangun Subuh awal waktu.

Jauhilah daripada sikap suka bersangka buruk kepada orang lain kerana ia boleh memusnahkan ukhwah antara sesama orang Islam.

Sumber coretan di atas adalah daripada buku yang bertajuk "Apakah Amalan Bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup" oleh Hj Ahmad Haris Suhaimi (M.A Syariah, Mesir).

Walau bagaimanapun, ia telah diubah suai sedikit oleh saya.

Tentang sangka buruk terhadap yang lain, muhasabah diri.

Akhir kata, husnuzon da'iman ya akhi wa ukhti.

Buku Percuma

Alhamdulillah pada bulan ini saya masih lagi berpeluang untuk mengedarkan sebuah lagi buku percuma.

Namun, hanya sebuah sahaja yang saya mampu edarkan pada bulan ini.

Jadi saya mohon maaf bagi yang tidak berkesempatan untuk memilikinya. 

Insha-Allah pada masa akan datang akan ada lagi buku percuma yang akan diedarkan. Mungkin sesiapa yang berminat boleh ambil bahagian ketika itu.

Bagi kali ini sesiapa yang berminat, boleh berikan: 

1) Nama
2) Alamat surat-menyurat
3) Nombor talifon

ke rakanilusi@gmail.com.

Satu-satunya buku yang bakal diedarkan ini adalah buku yang bertajuk "Apakah Amalan Bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup" oleh Hj Ahmad Haris Suhaimi (M.A Syariah, Mesir) 

Ia merupakan sebuah buku Motivasi Islam yang mengumpulkan panduan dan amalan bagi menjauhkan masalah yang berat dalam kehidupan serta membina kejayaan diri dan masyarakat Islam ke arah kecemerlangan. Panduan dan pandangannya ada mengambil kira pandangan pakar-pakar motivasi hari ini.

Pada saya ia adalah buku yang menarik dan mempunyai isi yang bagus. 

Namun begitu, ingin saya cadangkan supaya sesiapa sahaja yang bakal miliki buku ini agar selepas tamat membaca buku ini hadiahkanlah kepada orang lain. Sampaikan ilmu kepada orang lain pula.

Yang penting, ikhlas. 
gambar hiasan


Alhamdulillah. Syukur pada Allah kerana saya masih diberi peluang untuk menulis dan mengedarkan satu lagi buku percuma.

Nampaknya setakat itu sahaja penulisan saya pada kali ini.

Mohon maaf sekiranya terkasar bahasa. Sebarang cadangan dan pendapat amat dialukan.

Hari sudah lewat malam, jangan lupa sebelum tidur eloklah solat sunat Witir dahulu - hidupkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Jangan malas untuk berbuat amal-saleh tika masih lagi berpeluang ini.

Manfaatkan nikmat lapang dan sihat sebaiknya. 

Jangan lupa juga untuk doakan keselamatan saudara Islam kita di Gaza.  

Ada masa boleh buka Twitter Rasmi Rakan Ilusi

Tiada paksaan. Assalamualaikum.


 lagu hiasan

7 comments:

  1. Assalamualaikum (^_^) datang follow blog ni. Follower yang ke- 80 .

    Nanti jikalau ade kelapangan , awak tinggalkan jejak link blog awak di sini ya Exchange link

    nanti saya dapat Blogwalking awak selalu (^_^)

    Hope dapat jadi rakan yang sejati dalam blogger ni ya , kita gunakan peluang ini sebaiknya untuk mengeratkan lagi hubungan antara 2 blogger (^^_)
    Salam perkenalan ; ) sekali lagi dari Fariz Reza .

    From: Fariz Reza [Dot] Com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Terima kasih akhi. Insha-Allah.

      Delete
  2. Assalamualaikum.
    Alhamdulillah, post yang sangat daebak! Teruskan menulis ye :)

    Insy'Allah semoga Allah lindungi selalu :)

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam. Terima kasih Brother Fariz dan sister Wani. Insha-Allah. Salam perkenalan juga dari Rakan Ilusi.

    ReplyDelete
  4. sama2 kita mengubah diri ke arah kebaikan..i allah..

    ReplyDelete
  5. assalamu'alaikum. err.. sekadar cadangan. untuk golongan yang tidak berapa suka membaca seperti saya, penulisan anda amat panjang.. memang bermanfaat, tapi mungkin boleh potong kepada beberapa bahagian agar tidak mudah bosan..

    peace~

    ReplyDelete
  6. Terima kasih brother Ir Jinggo. Insha-Allah, saya akan perbaiki tentang gaya penulisan pada masa akan datang.

    ReplyDelete