Saturday 18 August 2012

Tiga Kisah Dalam Satu Episod: 1)Ramadhan Kali Ini Berlalu Dengan Cepat. 2)Hari Raya Aidil-Fitri Yang Perlu Disambut Dengan Gembira Bukannya Sedih. 3)Buku Percuma Yang Pertama.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum semua.

Kaifa halukum? Bikhoir huh?

Toyyib, 

Sebenarnya saya kekurangan idea untuk menulis pada kali ini, tetapi saya mahu juga menulis.

Mahu berkongsi pengalaman serta sedikit ilmu yang saya miliki dalam misi untuk memberi peringatan secara langsung mahupun tidak khususnya kepada diri saya sendiri dan juga para pembaca.

Hal ini kerana di dalam Al-Quran ada beberapa ayat yang menyuruh kita supaya sentiasa memberi nasihat dan peringatan kepada orang lain, antaranya:

"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman." (Adz-Dzaariyaat 51:55) 
"Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat." (Asy-Syu'araa' 26:214)

Jadi saya ingin memohon maaf sekiranya penulisan saya pada kali ini mungkin agak boring dan malap lagi tiada serinya.

Penulisan ini agak panjang berbanding dengan sebelum ini, jadi ambillah masa. Baca ikut tajuk merupakan antara cara untuk menghilangkan rasa penat dan bosan.

Sekadar berkongsi, saya menulis ini secara berperingkat - pertengahan Ramadhan sehingga malam Hari Raya.

Selamat membaca!

Ramadhan Kali Ini Berlalu Dengan Begitu Cepat. Istiqomahlah Dalam Beribadat.

My brothers and sisters,

Pernah tak kalian merasakan hidup ini sangat sekejap dan singkat? 

Setahun dirasakan seperti sepenggal.
Sepenggal dirasakan seperti sebulan.
Sebulan dirasakan seperti seminggu.
Seminggu dirasakan seperti sehari.
Sehari dirasakan seperti sejam.
Sejam dirasakan seperti daun yang dimakan oleh api dalam sesaat.

Bukanlah saya ingin mengkaji tentang jumlah orang yang merasakan sedemikian tetapi saya ingin mengetengahkan satu isu juga persoalan yang perlu kita semua fikirkan - 

Adakah selama ini kita telah dan sedang mengamalkan gaya kehidupan yang baik dan sihat - yang berasaskan syariat Islam yang boleh membawa kita ke syurga atau sebaliknya?
Kita ambil sahaja contoh Ramadhan pada kali ini, pejam-celik pejam-celik kita sudah pun hampir ke penghujung Ramadhan.

Begitu pantas saya rasakan.

Maka beruntunglah bagi orang-orang yang menggunakan ia dengan bijak dan baik.

Justeru, manfaatkanlah kehidupan kita dengan sebaik-baiknya - Laksanakan pelbagai amal-kebajikan dan cuba jauhi segala kemungkaran.

Yang belum menutup aurat dengan sempurna, tutuplah.
Yang solatnya tidak lengkap, lengkapkan dan gantilah dengan segera.
Yang memutuskan silaturahim sesama manusia, sambungkanlah. Jangan malu.
Yang banyak mengumpat, berhentilah. 
Yang selalu duduk lepak di warung, mulalah duduk di dalam majlis ilmu.
Yang tegar merokok, cari jalan untuk berhenti. Berdoalah pada Allah.
Yang banyak hidupnya bergelumang dengan maksiat, keluarlah. Berdampinglah dengan orang-orang yang baik akhlaknya.
Yang tabiatnya mendengar musik tidak kira keras atau lembut, mulalah jadikan zikir di bibir sebagai amalan yang baru.

Dan seribu satu macam lagi perkara yang boleh diketengahkan sebenarnya.


Pendek kata, berubahlah kita menuju ke arah kebaikan sementara masih ada waktu.
Dalam Al-Quran ada ayat yang membawa maksud:
“Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian - Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Al- ‘Asr 103:2-3)

Di sini ada satu hadis yang boleh dijadikan bahan muhasabah buat diri saya juga para pembaca -
Daripada Abdullah bin Abbas r.a., Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Dua nikmat yang ramai manusia terpedaya dengannya; sihat dan kelapangan.” (Riwayat Al-Bukhari)

Justeru, dalam episod kali ini saya berharap dan ingin menyeru semua umat Islam samada laki-laki mahupun perempuan supaya teruskanlah dalam melaksanakan amal-ibadat yang kita praktikkan semasa Ramadhan kali ini di bulan-bulan yang lain.

Bukankah sikap yang istiqomah itu sikap yang baik?


Amalan-amalan seperti sedekah, solat sunat, iktikaf di masjid, memberi makan kepada anak-anak yatim juga fakir miskin, solat fardhu secara berjemaah di masjid dan duduk di dalam majlis ilmu sebegini perlu diteruskan lebih-lebih lagi dalam hal solat secara berjemaah di masjid.

Jika kita perhatikan seminggu pertama pada Ramadhan sahaja masjid penuh tetapi masuk minggu seterusnya, banyak saf-saf yang kehilangan makmumnya. Sedih bukan?


Kita ini tidak bersungguh-sungguh dalam beribadat tetapi bila bab keduniaan kita sanggup tidak tidur malam. Astaghfirullah.

Kemudian, kita perlu tahu definisi wajib dan sunat.


Sebagai contoh, menjadi kebiasaan masyarakat kita melebihkan solat sunat Terawikh daripada solat-solat fardhu yang lain di bulan Ramadhan.

Bukan saya hendak katakan kita tidak perlu untuk laksanakan amalan sunat, tidak sama sekali! Itu bukan maksud saya.


Kita perlu laksanakan kerana ia akan menampung kekurangan dalam ibadat kita yang wajib.

Tetapi itulah, ayuh berbalik semula pada topik solat sebagai contoh - Berapa ramai yang melengahkan solat wajib tetapi bersegera dalam melaksanakan solat sunat? Berapa ramai pula yang meninggalkan solat fardu tetapi dia mendirikan solat sunat?

Renung-renungkan. Hal definisi sebegini perlu kita fikirkan.

Jangan kita beribadat dengan baik hanya di dalam bulan puasa. 

Jangan kita berakhlak mulia hanya di dalam bulan puasa.
Jangan kita menghormati orang tua hanya di dalam bulan puasa. 
Jangan kita bersedekah, berzikir dan pergi ke masjid hanya di dalam bulan puasa.

Perbetulkan kefahaman Islam kita.

Perlu kita tahu, hamba Ramadhan hanya patuh dan banyak beramal-saleh pada bulan Ramadhan manakala hamba Allah yang sebenarnya adalah seorang yang beramal-saleh secara istiqomah tanpa kira bulan atau siapa atau apa jua keadaan kerana dia ikhlas dalam mencari keredhaan Allah S.W.T.


Jadi sebagai penutup tajuk ini saya tinggalkan satu soalan untuk kita semua fikirkan - Adakah kita mahu menjadi hamba bulan Ramadhan ataupun hamba Allah?

Tepuk dada tanya iman.
Sumber Tumblr Rakan Ilusi
Hari Raya Aidil-Fitri Perlu Disambut Dengan Gembira Bukan Sedih

Hari Raya Aidil-Fitri yang dikenali juga sebagai Hari Raya Puasa, Hari Lebaran dan Hari Raya Fitrah ini merupakan hari yang diharamkan puasa dan ia akan disambut pada setiap 1 Syawal.

Tentu semua umat Islam gembira dan tidak sabar untuk meyambut dan meraikan Hari Raya pada tahun ini saya rasa.

Lihat sahaja suasana di pusat beli-belah, kawasan eskpo mahupun di tepi-tepi jalan yang penuh dengan peniaga-peniaga lemang. Sudah cukup menggambarkan betapa gembiranya orang ramai untuk menyambut Hari Raya.

Meskipun begitu, dalam keseronokan kita untuk menyambut Hari Lebaran, soal syariat Islam jangan dilupa.

Berniaga berniaga juga membeli membeli juga. Waktu solat dan aurat perlu dijaga.

Maklumlah, semua jenis orang ada keluar membeli-belah baik petani, pemandu bas, pegawai kerajaan, cikgu ataupun pemilik kedai buku. Antara mereka ini, ada yang baik ada yang kurang.

Jadi, berwaspada itu sangat penting.

Dan, perlu ingat juga supaya jangan membazir dan berlebih-lebihan dalam berbelanja atau menjamu selera ketika beraya di rumah sanak-saudara atau sahabat-handai kerana membazir itu amalan syaitan.

Tambahan pula, seolah-olah tidak bersyukur pun ada jika kita berkelakuan begitu.  

Yelah, orang di Somalia, Palestin dan Burma hendak makan pun susah kita pula boleh buang begitu sahaja. Sedih bukan? Saya mohon supaya kalian semua mendoakan kesejahteraan dan kesenangan saudara Islam kita di sana setiap kali selepas bersolat.

Jadilah orang yang bersyukur, janganlah jadi orang yang kufur.

Gambar hiasan
Apa yang penting adalah Hari Raya sebegini perlu disambut dengan gembira, bukan dengan tangisan dan kemurungan seperti yang banyak dipertontonkan di dalam drama dan diperdendangkan di corong radio.

Perlu faham, Hari Raya adalah hari kemenangan buat umat Islam kerana telah berpuasa sebulan di bulan Ramadhan. 

Ada masa, ziarahilah sanak-saudara dan sahabat-handai ketika raya ini. Rapatkan hubungan. Berukhwahlah sementara semua tengah bercuti.

Jangan hanya beraya di hadapan televisyen. Rugi!

Yang renggang, kita rapat-rapatkan.
Yang terputus, kita sambung-sambungkan.
Yang jauh, kita rapat-rapatkan.

Saya tidak mahu menulis panjang berkaitan Hari Raya kerana saya ingin berkongsi dua petikan hasil buah fikiran Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman dan Ustaz Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mengenai:


Selamat membaca!

Oh ya, saya semalam telah menonton satu video mengenai seorang uncle yang bukan beragama Islam berumur sekitar 70-an tetapi masih tidak tahu apa itu Islam, apa itu Makkah dan kenapa wanita Islam perlu bertudung meskipun dia mempunyai ramai kawan yang beragama Islam di laman Twitter Pena Maya.

Video ini saya harap boleh dijadikan sebagai bahan muhasabah diri buat kita yang beragama Islam dalam usaha menyebarkan dakwah kepada orang bukan Islam.

Terangkan kepada mereka apa itu Islam. Jangan cemarkan nama Islam pada orang yang memang jahil mengenai Islam dengan bersikap perkauman, mengeluarkan kata kesat dan lain-lain.

Paling senang pada pendapat saya adalah, perlihatkan akhlak yang mulia. Insha-Allah, itu akan membantu orang bukan Islam memahami apa itu Islam. Selamat menonton!


 
  Muhasabah diri

Buku Percuma Yang Pertama Edaran Rakan Ilusi

Ya akhi wa ukhti,

Mulai bulan ini dan bulan-bulan seterusnya, insha-Allah saya akan mengedarkan beberapa buku percuma (bilangan tidak tetap) untuk sesiapa sahaja yang mahu.  

Di sini ada beberapa contoh soalan:

"Buku percuma? Macam mana nak dapatkan buku tu eh?" - Senang sahaja. Anda cuma perlu hantar sedikit maklumat ke rakanilusi@gmail.com atau di ruang comment di bawah pun boleh seperti:

- Nama penuh 
- Alamat
- Nombor talifon

"Eh, kenapa tiba-tiba dia nak bagi buku percuma ni. Siap mintak nombor talifon dengan alamat lagi. Jangan-jangan sindiket ni!"

Astaghfirullah. Janganlah bersangka-buruk wahai saudaraku.

Bukan begitu niat saya. Tidak sama sekali!

Tujuan utama program edaran buku percuma ini adalah untuk membantu golongan susah dan para pelajar dalam mencari ilmu dan menjadi seorang yang berperibadi mulia kerana ilmu itu sangat penting. 

Tanpa ilmu yang betul kita susah untuk berjaya samada di dunia ataupun akhirat.
Tanpa ilmu juga, masyarakat kita akan susah untuk maju dan berpotensi tinggi untuk hidup di dalam kemungkaran.

Namun begitu, tidaklah saya katakan orang lain tidak boleh mengambil bahagian dalam program sebegini. Anda juga sangat dialu-alukan.

Tanpa anda, siapalah saya. Tanpa anda, tiada berjayalah program saya. Tidak rasa?

"Macam mana nak tau ada buku percuma diedarkan ke tak?"  - Setiap bulan hanya ada satu post dan di situ saya akan jelaskan berapa buah buku dan buku apa yang akan diedarkan untuk bulan itu. Biasanya, post akan dikemaskini pada hujung bulan.

"Kalau dah habis baca buku percuma ni, boleh hadiahkan kat orang lain tak rasa-rasa?" - SubhanAllah, bagusnya kalau anda terfikir begitu. Bagilah, saya amat syorkan kerana biarkan ilmu itu berterusan didalami oleh ramai orang. Yang penting, ikhlas.

"Nak lebih daripada satu buku agak-agak dapat tak? Boleh kasi sahabat." - Saya minta maaf, tetapi saya hanya peruntukkan sebuah buku untuk seorang. Sebarang kesulitan amat dikesali.

Justeru, pada episod kali ini buku-buku yang akan diedarkan adalah:

Gambar hiasan
Dua buah (2) buku 'La Tahzan - Jangan Bersedih - Don't Be Sad' terbitan Al-Hidayah.

Gambar hiasan

Sebuah (1) buku 'Terjemahan Al-Quran Al-Karim' terbitan Al-Hidayah House Of Quran SDN BHD

Berminat? Jika ya boleh berikan nama penuh, alamat dan nombor talifon ke rakanilusi@gmail.com.

Insha-Allah, selepas Hari Raya saya akan poskan.

Nampaknya, setakat ini sahajalah penulisan saya pada kali ini. Terima kasih kerana membaca.

Akhir kata, Selamat Hari Raya Aidil-Fitri buat semua pembaca Rakan Ilusi.

Assalamualaikum.

4 comments:

  1. da ada brapa org confirm dpt?
    ~hamba Ilahi~

    ReplyDelete
  2. Insha-Allah Inspector Saahab. Saya berharap agar akhi Saahab dapat doakan saya agar tetap dalam usaha ini.

    Setakat ini baru seorang. Ada dua buah buku lagi kekosongan.

    ReplyDelete
  3. Alhamdulillah. Ketiga-tiga buku sudah ada penerima.

    Bagi sesiapa yang tidak berkesempatan saya mohon maaf. Insha-Allah bulan depan akan ada lagi buku percuma yang akan diedarkan.

    ReplyDelete