Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum w.b.t.
Apa khabar? Saya doakan moga kalian berada di dalam keadaan sihat-sejahtera.
Syukur kepada Allah kerana saya masih lagi berpeluang untuk mencoret satu lagi coretan pada bulan ini. Alhamdulillah.
Semoga coretan pada kali ini dapat memberikan manfaat kepada semua orang khususnya anak muda Islam.
Alhamdulillah kerana kita masih lagi dihidupkan pada hari ini.
Perlu diingatkan, jangan pernah ada rasa bosan di dalam hati kita untuk mengucapkan syukur kepada Allah atas nikmat yang dikurnia-Nya kepada kita.
Baik, saya ingin bertanya; "Apakah agaknya tujuan kita ini masih lagi dihidupkan pada hari ini?"
Tidak lain tidak bukan hanyalah untuk beribadat kepada Allah S.W.T seperti yang diterangkan di dalam Al-Quran:
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu" (Adz-Dzaariyaat 51:56)
Pernah di dalam penulisan beberapa bulan sebelum ini saya telah pun membincangkan mengenai soalan sebegini namun saya rasa masih belum cukup.
Di sana sini saya melihat maksiat dan kemungkaran;
-pusat beli-belah
-kuliah pengajian
-taman permainan
-kawasan bersenam yang dilengkapi tasik sebagai hiasan
-pondok bas
-restoran atau warung
-alam maya seperti Facebook atau Twitter
-rancangan di kaca televisyen
Atau di mana sahaja. Boleh dikatakan banyak dari tempat saya pergi saya rasa tidak selesa.
Sangat-sangat tidak selesa lebih-lebih lagi ketika berteman dengan ibu ayah mahupun orang yang lebih tua daripada saya.
Pertama sekali, apakah yang dimaksudkan dengan maksiat dan kemungkaran itu?
Ia merujuk kepada sesuatu perkara yang dilarang oleh Allah kepada semua hamba-Nya, yakni manusia.
Berbalik kepada tajuk coretan laman Ilusi pada kali ini, memang.
Saya benar-benar bersetuju orang kita mudah berasa selesa dengan apa yang mereka miliki tanpa memikirkan mengenai orang yang jauh lebih susah daripada mereka.
Kenapa saya berpendapat begitu?
Cuba kalian renung di luar sana, luar jendela.
Apa yang sedang berlaku agaknya?
Mat Rempit sibuk membonceng motosikal mungkin?
Anak gadis sibuk menayangkan susuk tubuh badannnya ke sana ke mari semata ingin meniru lagak pemakaian artis pujaan mereka?
Bagaimana pula di lorong-lorong gelap?
Penagih dadah?
Pelacur-pelacur yang terdiri daripada kalangan orang Melayu Islam?
Astaghfirullah.
Kita hanya selesa dengan situasi sekeliling.
Sekadar berkongsi, saya cukup sedih melihat para gadis ke kelas dengan menutup aurat seperti bertudung dan memakai baju kurung.
Sungguh manis kelihatan tetapi alangkah sedihnya apabila mengetahui mereka ini di luar kelas berpakaian seperti tidak pernah belajar tentang apakah yang sepatutnya yang dipakai oleh seorang Muslimah yang sudah baligh dan apa hukumannya sekiranya tidak mengikutinya.
Ini semua tidak munasabah dan sangat mustahil bagi saya.
Tentu anda juga di pihak saya sejurus membaca sebab apa saya berikan pendapat sedemikian.
Cuba renung, logikkah sekiranya daripada Darjah Satu sehinggalah Tingkatan Lima dia dididik supaya bertudung dan menutup aurat ke sekolah dan akhirnya dia tidak?
Dan masuk akal atau tidak, sepanjang berada di satu peringkat ke satu peringkat itu mereka sebenarnya sudah punyai pengetahuan am tentang agama - soal aurat, pergaulan antara bukan muhrim, cara hormat orang tua, kepentingan bersolat dan adab ketika bermusafir, namun apa yang mereka tunjukkan seolah mereka tidak pernah berada di satu pun ketika pun.
Persoalan saya, adakah umat Islam marcapada kini hanya belajar untuk mendapatkan keputusan A+ di dalam peperiksaan semata?
Renung-renungkan.
Banyak sebenarnya ayat Al-Quran yang menyuruh supaya kaum wanita menjaga aurat dan perhiasan mereka, antaranya:
"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Al-Ahzaab 33:59)
"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nuur 24:31)
Ingatlah wahai Muslimah sekalian, biarlah hidup kita sederhana dengan harta kekayaan serta rupa-paras tetapi aurat kita terjaga.
Percayalah, ramai atau mungkin semua lelaki di luar sana menginginkan wanita yang solehah yang sentiasa menjaga perhiasan mereka lebih-lebih lagi ketika berada di dalam masyarakat untuk bergelar sebagai isteri mereka bukanlah rupa-paras semata.
Rupa dan harta bukan menjadi ukuran kerana itu semua adalah sementara.
Cukup-cukuplah mengupload gambar-gambar seperti seksi atau manja di Facebook, Twitter atau di mana sahaja.
Kerana bukan apa, buruk kesannya samada daripada segi dunia ataupun akhirat.
Berapa banyak kes gambar perempuan yang diedit ke arah dunia porn? - aspek dunia
Berapa banyak pula dosa yang ditanggung sekiranya gambar itu dilihat oleh lelaki yang bukan muhrim yang mungkin dapat menaikkan syahwatnya? - aspek akhirat
Fikirlah. Tiada gunanya. Ini hal serious bukan main-main.
Saya bukan iri hati tetapi rasa kasihan dan simpati apabila kaum Muslimah dijadikan hanya seperti habis madu sepah dibuang.
Bagi laki-laki, kalian juga dinasihatkan agar menyelia dan memantau pergerakan keluarga dan kawan-kawan anda. Jangan hanya melihat tetapi cuba tegur dengan cara yang baik.
Ambil hati mereka sekiranya mereka berpakaian pakaian yang tidak sesuai dengan garis panduan ajaran Islam.
"Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk." (Al-Nahl 16:125)
Saya berharap agar penulisan ini dapat membantu buat para wanita dalam meningatkan mereka tentang aurat dan perhiasan mereka adalah sesuatu yang sangat istimewa. Tiada harga yang boleh dibandingkan.
Oleh itu jagalah, peliharalah dan caknalah akan ia.
Oh ya, saya hampir terlupa.
Alang-alang masih lagi menulis dan masih lagi segar diingatan saya ingin berkongsi satu cerita yang boleh dijadikan sebagai satu pedoman buat kita semua.
Tetapi saya ikhlas, bukan hendak riak. Semoga kita semua dilindungi oleh Allah daripada sifat riak dalam mengerjakan amal kebajikan.
Kisah Seorang Pak Cik Kampung Bukit Kelulut
Cereka ini bermula pada satu petang selepas saya beriadah semasa bercuti pada cuti semester yang lepas di mana sewaktu pulang saya terlihat seorang pak cik berjalan kaki di tepi jalan raya besar di tengah-tengah bandar lantas,
"Assalamualaikum pak cik. Nak pergi mana ni?"
"Wa'alaikumussalam. Balik rumah dekat Bukit Kelulut"
Kemudian saya teringat pesan seorang kakak agar berhati-hati ketika hendak membantu orang, kerana risau sindiket katanya.
Namun kerana kasihan melihat raut wajahnya yang terlalu penat dan bajunya yang seolah tidak bergosok membuatkan saya memberikan satu perlawaan,
"Naiklah pak cik. Saya pun memang nak lalu kawasan sana."
Dalam perjalanan pulang pak cik ini meminta supaya dia diberhentikan di sebuah kedai runcit bernama Lee Fong untuk membeli barang.
Setelah lebih kurang 10 minit menunggu dia kembali membawa ubat nyamuk lingkar cap gajah.
Terfikir saya, "Pak cik ni macam orang susah je."
Tidak beberapa lama kemudian saya sampai di rumahnya, sungguh saya terperanjat melihat keadaan rumahnya yang sangat kecil.
Besarnya boleh diibaratkan sebesar satu bilik darjah bagi sekolah rendah yang mempunyai sebuah bilik untuk anaknya. Tiada televisyen, tiada halaman hadapan, tiada air-conditioner dan jika tidak silap saya peti ais pun tiada.
Bayangkan. Betapa jauhnya senang kita berbanding pak cik itu. Kita jangan cakap tv apa semua itu, laptop pun kita ada tetapi masih ramai yang merungut dengan kesenangan yang kita ada.
Tidak mengapa, ayuh kita sambung semula.
Baru-baru ini ketika pulang pada hujung minggu ke rumah ibu ayah, Alhamdulillah saya mempunyai rezeki lebih sedikit dan saya pun terfikir mengenai pak cik tersebut.
Saya pun pergi ke supermarket bersama ibu dan kakak saya untuk membeli sedikit keperluan barang dapur rumahnya dan sedikit fast-food dua orang anaknya yang berumur 18 dan 16 tahun.
Alangkah terkejut dan terperanjatnya saya ketika saya memberi salam di muka pintu rumahnya, pak cik itu sedang terlunjur baring lumpuh akibat dilanggar oleh lori ketika berjalan kaki pulang ke rumah lebih kurang dua bulan yang lepas.
Semasa saya sampai, anak perempuannya dan lelakinya sedang tidur menemankan ayah mereka. Sayu saya pada ketika itu.
"Assalamualaikum. Adik, tidur ke? Maaf la abang mengganggu. Dah makan?"
"Wa'alaikumussalam. Tak pe. Belum makan lagi bang."
"Nah ni ada makanan sikit. Makan la."
Jelas terpancar sinar keriangan di wajah mereka apabila saya menghulurkan plastik makanan. Alhamdulillah dengan nikmat kegembiraan itu.
Sungguh saya sedih melihat mereka.
Anaknya yang sedang lapar tidak makan lagi masih berada di samping ayahnya walaupun ayahnya sudah lumpuh.
Semoga urusan pak cik dan anak-anaknya dipermudahkan oleh Allah S.W.T
Sekarang cuba kita muhasabah. Bandingkan kehidupan kita dengan pak cik tersebut.
Cintailah orang miskin. Jangan sombong dan kedekut.
Harta tidak kekal tetapi sedekah jariah akan kekal walaupun kita sudah tidak bernyawa kelak.
"Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)
Dan, hargailah ibu ayah anda sementara mereka masih ada.
Selamat hari ibu mama. Selamat hari bapa ayah.
Assalamualaikum.
gambar hiasan. |