Thursday, 15 March 2012

Bangkit Daripada Tidur. Jangan Hanya Bermimpi Dalam Dunia Sendiri.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Saya mulakan penulisan dengan bacaan Bismillah dan ucapan Assalamualaikum.

Sudah lama tidak menulis, saya rasa sedikit leka dengan dunia.

Astaghfirullah.

Benar sama sekali, bila kita mengajak orang lain ke arah kebaikan dan menegurnya daripada melakukan keburukan sememangnya dapat mengingatkan diri kita juga supaya menjadi Muslim yang sejati daripada segi luaran ataupun dalaman.

Semoga hati kita semua ditetapkan dalam keadaan yang diredhai oleh Allah S.W.T.

Ucaplah Alhamdulillah wahai saudaraku kerana kita masih lagi mempunyai peluang untuk melihat dan menikmati kurnian Allah pada hari ini dalam keadaan yang aman dan sihat.

Kita jangan lupa, dalam kita bergembira pulang ke kampung ada yang kesedihan kerana tidak dapat pulang berjumpa dengan ibu ayah disebabkan belajar jauh di luar negara.

Kita jangan lupa, dalam kita kekenyangan dapat makan makanan yang mewah ada yang masih kelaparan kerana masih tidak dapat makan pada hari ini walaupun sesuap nasi.

Kita jangan lupa, dalam kita asyik berhibur di negara kita yang aman ada yang sengsara di negara mereka yang berlaku banyak peperangan dan bencana alam.

Bukanlah tujuan saya menulis pada kali ini untuk sekadar berpesan agar kita semua tidak boleh lupa terhadap itu dan ini tetapi saya ingin mengajak para pembaca supaya keluar daripada zon selesa yang kebanyakkan daripada kita alami.

Beberapa minggu yang lepas, semasa saya menonton siaran berita jam lapan malam saya terfikir satu perkara yang boleh dikaitkan dengan masyarakat kita pada masa kini terutama sekali golongan remaja.

Berita tersebut melaporkan berita yang menunjukkan bahawa orang kita masih terperangkap dalam satu ruang selesa. 

Mereka tidak pernah merasakan takut untuk membuat kesalahan seperti rasuah, berzina di tapak perkuburan dan juga sindiket dadah.

Apa itu semua? Adakah itu menunjukkan satu kejayaan bagi orang Islam di negara kita?

Lemah adalah kritikan yang paling sesuai. Kita sangat lemah.

Inilah akibatnya apabila sikap 'Kau hidup kau, aku hidup aku.' dijadikan sebagai garis panduan hidup masyarakat kita.

Kita takut untuk menegur orang lain apabila mereka membuat kesalahan kerana risau kita menjaga tepi kain orang. 

Apa salahnya kita mengajak saudara kita ke masjid apabila tibanya waktu solat?

'Wei, masjid jom?' sebagai contoh.

Perlu diingatkan, berdakwah itu tanggungjawab bersama. Jangan sampai sudah terhantuk baru hendak tersedar.

Itu baru tiga masalah. Terdapat banyak lagi masalah yang sedang berlaku di luar sana.

Kancah pelacurannya.
Sindiket jual bayinya.
Culik, rogol, liwat, bakar budak kecilnya.
Rempitnya.
Khalwatnya.
Pelajar perempuan menendang perut cikgu yang mengandungnya. 

Pendek kata, masyarakat kita khususnya remaja terdapat seribu satu masalah yang mereka menganggap itu perkara normal.

Tidak percaya? Ayuh kaji beberapa hal tersebut.

Berapa ramai remaja kita yang pergi solat berjemaah di masjid terutama sekali pada waktu Subuh berbanding dengan remaja yang pergi ke kedai 'aney' di antara jam 12 malam sehingga 3 pagi?

Berapa ramai remaja kita yang menonton filem atau klip-klip lucah berbanding dengan remaja yang menonton siaran dokumentari mengenai sejarah Islam ataupun ceramah-ceramah Islam?

Berapa ramai daripada remaja perempuan kita yang berpakaian ketat berbanding dengan mereka yang menutup aurat dengan sempurna?

Berapa ramai daripada remaja kita banyak menghabiskan masa dan wang ringgit dengan motor untuk merempit ke sana ke mari berbanding dengan remaja yang membantu ibu ayah?

Berapa ramai daripada remaja kita yang hidupnya penuh dengan bahasa kasar dan carutan berbanding dengan remaja yang menasihati orang lain dalam mengerjakan kebaikan?

Saya yakin, jawapan untuk pertama lebih banyak jumlahnya daripada yang kedua.

Sementara itu, di negara-negara luar mereka terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dalam menjalani kehidupan seharian.

Ada negara yang menghadapi bencana banjir besar. 
Ada negara yang menghadapi ujian sejuk yang teramat sehingga mencecah suhu -35C.
Ada negara yang sentiasa berlaku peperangan, bom dan tembakan sana sini.

Cuba kita kaji negara kita dengan negara-negara di atas.

Bagaimana mereka ingin keluar rumah untuk bersilaturahim?

Bagaimana mereka ingin keluar rumah untuk bersolat jemaah di masjid?

Bagaimana mereka berpuasa?

Walhal di negara kita, 

Walaupun aman masih ada yang tidak keluar untuk solat jemaah di masjid. 

Walaupun punyai kesenangan masih ramai yang tidak mahu berpuasa sunat.
 
Saya sekadar ingin berkongsi pengalaman cerita yang diceritakan kepada saya oleh dua orang pelajar Malaysia yang menuntut pengajian di luar negara.

'Kat Moscow, orang Islam solat bawah tangga je. Tak ada surau pun.' kongsi saudara Umar.

'Kat Egypt, aku pernah tengok orang solat Jumaat kat atas tanah je.' kata saudara Izzad.

Bayangkan, betapa bezanya kita dengan negara lain. 

Ada banyak masjid tetapi semuanya terpulang kepada kita samada hendak melangkahkan kaki ke sana atau tidak. Hendak pahala atau tidak.

Carilah sesuatu untuk kita sedar apakah tujuan kita ini dihidupkan di atas muka bumi ini. 

Adakah untuk begitu sahaja? 

Dunia ini adalah sementara. Bukan yang kekal.

Dunia adalah tempat untuk kita mengumpul amal kebaikan supaya kita peroleh kemenangan di akhirat kelak.

Mungkin penulisan saya pada kali ini kurang menarik tetapi itu tidak penting kerana apa yang hendak saya sampaikan adalah berubahlah kita semua. 

Kembali ke jalan yang benar.

Bukalah al-Quran, fahamilah al-Quran.

Duduklah di majlis ilmu.

Bantulah orang miskin, jangan memandang rendah kepada mereka.

Berbuat baiklah kepada orang lain terutama ibu ayah.

Jauhi zina.

Solatlah secara berjemaah.

Mohonlah petunjuk dengan Allah dengan berdoa kepadanya. Sesungguhnya, Allah itu Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Jangan malu untuk bertaubat. Jangan malas untuk memohon keampunan Allah.

Saya akhiri penulisan pada kali ini dengan sebuah klip video yang boleh memberi kita kesedaran barangkali.

 

Selamat beramal. Assalamualaikum.
 
gambar hiasan.