Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Assalamualaikum.
Alhamdulillah masih diberi peluang untuk membaiki kesilapan yang telah dibuat dan melengkapkan lagi amal ibadat yang masih berkurangan.
Sudah lama saya meninggalkan laman Ilusi disebabkan perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan.
Saya berharap laman ini terus dijadikan bahan bacaan anda semua.
Di dalam hidup ini terlalu banyak nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada hamba-NYA termasuklah penglihatan, makanan, dan lain-lain. Akan tetapi ramai daripada kita yang sering terlupa akan nikmat-nikmat tersebut.
Perkara yang ingin diketengahkan pada hari ini adalah nikmat kesihatan dan kelapangan.
Pernah dikatakan oleh Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud,
"Ada dua nikmat yang sering dilupakan oleh manusia yakni nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan" - Riwayat Imam Bukhari
Cuba kita renung ke luar jendela buat seketika, berapa banyakkah nikmat yang disebut oleh Nabi Muhammad s.a.w yang sudah kita bazirkan. Ke mana ia sudah digunakan?
Adakah ke jalan maksiat ataupun ke jalan Allah? Lihat, dalam sehari ada 24 jam dan selama ini berapa lama kita menggunakan untuk melaksanakan perintah Allah dan melaksnakan sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Kita sanggup menonton televisyen - rancangan-rancangan yang tidak berfaedah sebaliknya rasa bosan atau tidak tertarik untuk melakukan aktiviti kebajikan seperti menziarahi rumah orang-orang tua, anak yatim dan orang kurang upaya. Sedih saya dengan kebiasaan manusia zaman ini.
Kita sanggup menghabiskan masa dengan bermain futsal selama berjam-jam lamanya hanya untuk meluangkan waktu bersama kawan-kawan berbanding dengan ibu, ayah, adik-beradik. Dipercayai mereka yang tidak gemar hang out bersama rakan sebaya ialah seorang kera sumbang yang tidak pandai bersosial dengan masyarakat.
Sungguh sempit pemikiran seperti ini, walhal yang patut dilebihkan ialah golongan seperti ibu bapa yang tidak terkira pengorbanan mereka kepada anak-anak. Dalam Islam berbakti kepada ibu bapa merupakan perkara kedua yang terpenting dalam kehidupan seorang Muslim.
Jika azan berkumandang, berapa kali kita terus bergegas ke masjid untuk berjemaah bersama yang lain? Sedangkan solat berjemaah itu amat digalakkan dalam Islam.
Jika ada duit lebih, berapa kali kita memberi sedikit daripadanya kepada yang lebih memerlukan? Sedangkan bersedekah itu satu tanda bersyukur.
Jika ada masa lebih, apa yang sering lakukan? Hanya terus membuang masa seperti terus melayari Facebook? Pada mulanya, hanya ingin melayarinya untuk seketika tetapi percaya atau tidak ia mengambil hampir satu jam paling minimum. Hal seperti ini sering berlaku kepada saya.
"Tak ada benda pun kat fb ni. Bazir duit, bazir masa je ada ahh. Kalau baca Quran ke baca buku agama ke dapat gak benefit". Perkataan yang sering bermain di bibir saya selepas leka dengan permainan Yahudi ini yang banyak memberi kesan buruk kepada orang Islam.
Percayalah, masa dan lapang itu amat penting bagi kita. Sebenarnya ia perlu digunakan ke arah kebaikan seperti berdakwah, menuntut ilmu dan lain-lain aktiviti bagi persediaan menuju ke alam seterusnya.
Dan berapa banyakkah kita gunakan nikmat-nikmat itu ke jalan yang disukai dan diredhai oleh-NYA?
Cuba kita soalkan diri kita, adakah kita sudah bersedia untuk berhadapan dengan Allah di akhirat kelak? Jawapan lebih kepada tidak merupakan jawapan majoriti daripada kita.
Lebih-lebih lagi dalam arus moden sekarang, sana-sini perkara tidak elok sering berputar di sekeliling kita. Contoh, di luar rumah pasti kita akan melihat anak gadis yang tidak menutup aurat.
Di supermarket pula musik sering dimainkan daripada ia dibuka sehingga ditutup. Tambahan pula, ketika azan berkumandang dari radio ramai daripada kita yang hanya menganggap ia sekadar musik juga mungkin. Hal ini kerana daripada majoriti yang hadir, hanya segelintir akan bergegas untuk ke surau bagi bersolat pada awal waktu.
Siaran televisyen pula, banyak keburukan daripada kebaikan yang dipertontonkan kepada penonton yang terdiri daripada golongan kanak-kanak sehinggalah ke orang tua.
Kesannya, generasi Y sering diperdedahkan dengan perkara yang boleh merangsang nafsu syahwat, perkara yang ganas seperti pergaduhan, dan perkara ghaib seperti jin dan syaitan yang membuatkan anak-anak kecil dan mungkin orang dewasa takut untuk bangun malam untuk bertahajjud.
Sementara di negara Islam lain yang tidak berada dalam keadaan tenteram, mereka inginkan nikmat sihat dan lapang ini untuk membuat amal kebajikan.
Jadi, janganlah kita tidak mengendahkan pesanan Nabi Muhammad s.a.w itu kerana apa yang telah diperkatakan oleh baginda adalah benar belaka.
Manfaatkan nikmat sihat dan lapang itu dengan sebaik-baiknya sebelum ia ditarik semula oleh Allah yang Maha Esa.
Sekian. Assalamualaikum.
gambar hiasan |