Sunday, 26 May 2024

Pilihan.

Dengan nama Allah.

Kehidupan ini barang tentunya adalah berkisarkan pilihan; kelazimannya begitu sama ada di antara dua atau lebih.

Memilih untuk berkata baik atau diam;

Memilih untuk bersolat pada awal waktu atau sebaliknya;

Memilih untuk bersikap sombong atau merendah diri;


                                                                            gambar hiasan

Memilih untuk berjimat atau boros;

Memilih untuk terlalu bersungguh atau setakat yang memadai;

Memilih untuk hasad atau meraikan; 

Memilih untuk dipergunakan atau bermaruah; 

Memilih untuk mengasihi atau zalim; 

Memilih untuk menziarah atau berjauhan; dan

Memilih untuk mempedulikan atau membiarkan tanpa didendang.

Tuntasnya, kita sendiri yang mencorakkan perasaan dan fikiran kita pada setiap waktu.

Biarlah apa pun rintangan yang berlaku, sematilah pilihan yang akan memberi manfaat kepada diri sendiri selagi mana tidak bercanggah dengan tuntutan agama.

Tidak usah berlebihan memberi dan jangan pula lalai dalam menerima.

Mudahan kita memperoleh keberkatan hidup.


Monday, 18 March 2024

Dekad.

Assalamualaikum.

Lama benar tidak menulis.

Terlalu banyak perubahan dalam kehidupan peribadi juga sekeliling.

Ada teman yang sudah bernikah. Ada rakan yang sudah mempunyai cahaya mata.


                                                                 gambar hiasan

Ada saudara yang sudah meninggal dunia. Ada juga kenalan yang sudah mempunyai perniagaan sendiri.

Pastinya, keadaan dahulu dan kini tidak mungkin sama sungguhpun nyawa yang terkandung adalah tiada beza.

Begitulah kitaran kita sebagai manusia; masa sememangnya terlalu pantas bergerak sekira diteliti dengan baik - tidak pernah berhenti daripada bergerak.

Dalam konteks ini, amat rugi jika kita leka; lari daripada tugas, tinggalkan tanggungjawab, mengabaikan keluarga dan lain-lain.

Hakikatnya, itulah sebahagian besar daripada kita ketika masih hidup - alpa dalam menelusuri liku seharian.

Pesanan saya pada diri - usah lelah dalam melayari ruangan hidup, sebaliknya teruskan dengan sabar dan hikmah.

Mudah-mudahan kita semua dirahmati sepanjang berada di bulan madrasah ini, semoganya.

Selamat berpuasa!


Tuesday, 9 September 2014

Kembali.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Hurm, sudah lama tidak menulis - hampir setahun.

Banyak pengalaman dan pengajaran yang telah saya kecapi dalam tempoh setahun ini, terlalu banyak. Syukur.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk menulis dan berkongsi pengalaman.

gambar hiasan

Tujuan saya mengemaskini laman Ilusi pada kali ini adalah untuk memberitahu tentang perkembangan Rakan Ilusi.

Kini, ianya sudah mempunyai Instagram.

Saya kerap menulis di sana, jadi bagi sesiapa yang berkelapangan jemput untuk melawatinya.

Boleh dikatakan antara FacebookTwitter dan Tumblr, medium paling kerap diguna-pakai oleh saya adalah Instagram - mungkin kerana ianya mudah untuk saya guna, mungkin.

Semoga usaha kecil dalam perkongsian di laman-laman Ilusi dapat memberikan manfaat kepada masyarakat khasnya anak muda di luar.

Cukup setakat ini, inshaaAllah ada masa kita berjumpa kembali.

Mohon doakan kesejahteraan diri saya dan keluarga.

Salam selamat. Assalamualaikum.

Saturday, 11 January 2014

Hikmah.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Semoga para pembaca berada di dalam keadaan sihat-sejahtera. InshaaAllah.

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

di dalam kehidupan ini tentu ada masanya kita memperolehi apa yang kita hajatkan bukan? 

Dan ada masanya juga kita tidak memperolehi apa yang kita idamkan sebaliknya menerima suatu perkara yang dirasakan sebagai sesuatu hal yang malang menimpa diri.

Haiyo, emosi ketika ini seolah bermacam rasa; sedih, kecewa, hampa, marah dan ini semua mungkin menunjukkan tentang ke-tidak-puas-an diri terhadap sesuatu.

Justeru, adakalanya apabila memikirkan tentang kegagalan yang kita kecapi dan bukan kemenangan kita akan terus berasa jatuh seolah tiada kebaikan yang ada pada keburukan tersebut.

gambar hiasan

Ya. Tidak dinafikan, semua orang secara fitrahnya mahukan perkara baik-baik sahaja yang boleh dianggap sebagai sesuatu yang termasuk di dalam definisi kejayaan bagi dirinya.

Contoh mudah adalah mendapat kejayaan di dalam peperiksaan adalah cita-cita setiap orang saya kira.

Namun, gagal sekali tidak bererti kita gagal selamanya dan di dalam kegagalan itu tidak semestinya tiada kebaikan.

Perlu diingatkan, sebaik-baik perancang adalah Allah S.W.T. 

Tiada suatu perkara pun akan terjadi melainkan ianya diizinkan oleh Ar-Rahman. 

 "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu jadilah ia." (Al-Baqarah: 117)

Apa kata kalau kita jangan biasakan diri dengan terus cepat melatah, memaki dan seterusnya bersangka-buruk terhadap Allah apabila suatu musibah menimpa diri.

Sebaliknya, cubalah katakan sesuatu yang baik seperti istighfar atau jika tidak mampu hanya mendiamkan diri kerana ianya adalah lebih baik daripada berkata kesat lagi buruk. 


gambar hiasan


Siapa tahu, boleh jadi perkara yang buruk itu adalah kifarah kepada dosa kita. 

"Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri, ataupun lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa."- Hadis Riwayat Bukhari & Muslim

Dalam erti kata lainnya dalam sesuatu perkara yang terjadi itu sudah tentu terdapat hikmah di sebaliknya.

Mungkin kita nampak hikmah tersebut atau mungkin tidak nampak - ianya bergantung.

Apa itu hikmah?

Berdasarkan kamus dewan bahasa hikmah adalah merujuk kepada rahsia, kelebihan atau tujuan sebenar di sebalik sesuatu kejadian.

Oleh itu, dalam menerima suatu perkara yang tidak seiring dengan kemahuan hati, perlunya kita mengetahui bahawa terdapat suatu kelebihan di sebalik kekecewaan itu.

Tambahan pula, Allah juga ada berkata tentang hal hikmah iaitu:

"Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah:216)

Bercerita mengenai konsep hikmah maka teringat saya kepada satu Kisah Raja & Tukang Masak. 

Cerita ini sudah diketahui ramai pada amnya namun alhamdulillah, ianya telah diingatkan semula oleh Ustaz Ismail Kamus di dalam satu kuliahnya baru-baru ini.

Secara ringkasnya, Raja ini mahu ke dapur tetapi Tukang Masak melarangnya kerana Raja tidak pernah melakukan perbuatan sedemikian.

Namun apabila Raja terlalu berkeras lalu Tukang Masak membawanya ke ruang memasak. 

Dalam percubaan pertama memotong bawang, Raja secara tidak sengaja terpotong jarinya.

Kesannya, Raja memenjara Tukang Masak kerana hanya disebabkan kebenaran yang diberi oleh Tukang Masak untuk ke dapur Raja kehilangan jari.

Pada suatu petang, Raja terpaksa pergi ke hutan secara berseorangan untuk memburu - kebiasaannya ianya dilakukan bersama Tukang Masak.

Di sana Raja ditangkap oleh sekumpulan manusia yang memakan orang.

Menjadi kepercayaan mereka untuk memakan manusia yang sempurna tanpa sedikit cacat.

Selepas mengetahui Raja tidak mempunyai jari maka Raja dilepaskan.

Setibanya di istana, Raja berterima kasih kepada Tukang Masak kerana kalau bukan disebabkan dirinya dibenarkan untuk ke dapur tempoh hari sudah tentu Raja akan mati dimakan. 

Sebaliknya juga berlaku kepada Tukang Masak yang mengucapkan terima kasih kerana memenjarakannya. Tanpa penjara sudah tentu Tukang Masak adalah mangsa tersebut.

Hurm... Sudah menjadi macam pertandingan cerita sekolah rendah pula saya rasakan. (sengaja ingin timbulkan unsur humour ketika mata sedang mengantuk menulis - harap berjaya).

Baiklah, berbalik kepada kisah tadi bagaimana?

Saya yakin para pembaca dapat memahami apakah kelebihan di sebalik kekurangan apa yang berlaku di permulaan cerita.

Tuntasnya, berfikiran hikmah atau berfikiran positif ini sangat berguna kepada kita dalam tujuan untuk menjadi insan yang berhati senang dan tidak bersangka-buruk kepada tuhan.

Bak kata Ustaz Syarul Azman Shaharuddin:

 "Jiwa yang tenang akan sentiasa senang."

Semoga penulisan pada kali ini membawa manfaat kepada semua.

Kongsikan ia sekiranya kalian merasakan ianya perlu dibaca oleh orang lain.

Assalamualaikum.

Wednesday, 25 December 2013

Kisah Uwais Al-Qarni Yang Boleh Dijadikan Contoh Dalam Meniti Titian Kehidupan Ini.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikum.

Penulisan pada kali ini hanya sekadar perkongsian mengenai seorang pemuda yang hidup pada zaman selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. bernama Uwais Al-Qarni.

Begini, sebentar tadi saya ada membaca sebuah blog yang menceritakan tentang beliau yang mana pada hemat saya ianya perlu diceritakan semula di halaman Ilusi ini - moga bermanfaat.

Kisah ini terdapat beberapa mutiara yang boleh diambil oleh orang ramai khasnya buat anak muda marcapada ini.

Antaranya adalah;

- Allah sahaja adalah tempat untuk kita bergantung setelah mana diri menggembleng segala tenaga dalam melaksanakan suatu usaha.
- Hidup ini kita perlu meletakkan ibu ayah sebagai suatu keutamaan.

gambar hiasan

- Hidup yang sederhana seperti tiada gelaran, tiada pangkat dan tiada kekayaan juga boleh menjadi musabab bagi kita memperoleh kesenangan dan kebahagiaan.
- Sesuatu kejayaan tidak akan datang bergolek tetapi ianya hanya akan dicapai melalui usaha.
- Adakalanya orang yang merendah diri itu akan lebih dipandang mulia oleh manusia daripada mereka yang meninggi diri.

Mohon agar para pembaca benar-benar menjiwai dan mendalami penceritaan ini agar di akhirnya kalian akan medapat sesuatu yang dipanggil 'berlian' daripada kisah beliau.

Berikut merupakan teks tersebut. Selamat membaca!

Assalammualaikum wbt,
Tahukah kamu siapakah Uwais al-Qarni? Uwais al-Qarni merupakan pemuda yang disebut-sebut namanya oleh Rasullulah saw kepada para sahabat baginda. 


Rasullulah saw pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu (zaman selepas kewafatan Rasullulah saw). 



Tujuan Rasullulah saw menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar ra dan Saidina Ali - See more at: http://mselim3.blogspot.com/2013/08/uwais-al-qarni-terkenal-di-langit-tapi.html#sthash.JHGXge9s.dpuf

Assalammualaikum wbt, 
Tahukah kamu siapakah Uwais al-Qarni? Uwais al-Qarni merupakan pemuda yang disebut-sebut namanya oleh Rasullulah saw kepada para sahabat baginda. 


Rasullulah saw pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu (zaman selepas kewafatan Rasullulah saw). 



Tujuan Rasullulah saw menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar ra dan Saidina Ali - See more at: http://mselim3.blogspot.com/2013/08/uwais-al-qarni-terkenal-di-langit-tapi.html#sthash.JHGXge9s.dpuf
"Uwais al-Qarni merupakan seorang pemuda yang disebut-sebut namanya oleh Rasullulah s.a.w. kepada para sahabat Baginda s.a.w. 
Rasullulah s.a.w. pernah berpesan kepada Saidina Umar r.a dan Saidina Ali r.a bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu (zaman selepas kewafatan Rasullulah s.a.w). 
Tujuan Rasullulah s.a.w menyuruh Saidina Umar r.a dan Saidina Ali r.a mencari Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar r.a dan Saidina Ali r.a). 
Mari kita lihat apakah keistimewaan Uwais al-Qarni sehingga Rasullulah s.a.w. meminta sahabat mencari dan meminta doa darinya. 
Memang benarlah kata-kata Rasulullah s.a.w. Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar r.a dan Saidina Ali r.a. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar mereka, tidak mungkin dia adalah orang yang Rasulullah s.a.w. sebut-sebutkan ini kerana, Uwais al-Qarni dianggap sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk setempat. 
Uwais al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badannya, yakni sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai. Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa. 
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais al-Qarni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais Al-Qarni  tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan.  
Uwais tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk memiliki unta. 
         
gambar hiasan
Namun atas permintaan ibunya yang sangat beliau kasihi, Uwais al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah di atas ‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit, apa yang beliau lakukan adalah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras. 
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. 
Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari. 
Selepas 8 bulan, apabila sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya selama ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah. 
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya: 
Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?” 
Uwais al-Qarni menjawab: 
Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”. 
Ibunya bertanya lagi: 
Bagaimana pula dengan dosa kamu?” 
Uwais al-Qarni menjawab: 
Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.” 
Ibunya berkata lagi: 
Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.” 
Uwais al-Qarni berkata: 
Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.” 
Ibunya menambah: 
Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.” 
 Akhirnya Uwais al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu.  
Allah S.W.T. lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais al-Qarni kerana permintaannya, kerana sopak ini adalah satu anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah saw kepada Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali r.a.: 
“Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.” 
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar r.a. dan Saidina Ali r.a. dapat berjumpa dengan Uwais al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w., mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah S.W.T. berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua. 
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata: 
“Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah s.a.w. kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.” 
Maka Uwais al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua. 
Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, saidina umar mahu membuat surat kepada Gabenor Kufah supaya melayan Uwais Al-Qarni dengan layanan yang istimewa. Namun begitu ditolak dengan baik oleh Uwais Al-Qarni.  
Lalu Uwais Al-Qarni menjawab dengan lembut: 
“Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.” 
Diriwayatkan semasa kematian beliau, terlalu ramai “orang” yang menyempurnakan jenazah beliau. Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak menghairankan kerana pada masa hidup beliau tiada orang yang memperdulikan beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila. Siapakah “orang-orang” tersebut. Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat. 
Demikianlah kisah Uwais al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam. "
Semoga kisah pemuda ini menjadi contoh tauladan kepada kita semua. InshaaAllah.

Assalamualaikum. Selamat beramal. 

Thursday, 31 October 2013

Kesedihan, Kemurungan & Kesengsaraan - Jangan Jadikan Sebagai Suatu Alasan Mengapa Kita Tidak Bahagia Seperti Yang Lain.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Apa khabar semua?

Harapnya kalian berada di dalam keadaan sihat-sejahtera. Insha-Allah.

Lama benar saya tidak menulis. Hampir tiga bulan lebih kurang.

Hal ini adalah disebabkan beberapa faktor luar daripada kawalan saya. Mohon maaf. 

Penulisan pada kali ini insha-Allah tidak terlalu panjang.

Begini, kira-kira dua bulan yang lepas saya ada membaca mengenai suatu artikel (tentang persoalan kesedihan dan bagaimana Al-Quran menjawabnya) dalam satu majalah Islamik yang mana saya merasakan seolah perlu saya kongsikan di sini - moga ianya bermanfaat untuk kita.

Namun begitu, persoalan pertama yang perlu kita tujukan kepada diri adalah berapa kali sudah kita benar-benar membaca dan memahami Al-Quran?

Jika terlalu sedikit maka eloklah untuk belajar memahami Al-Quran.

Jangan malas untuk membaca terjemahan dan tafsiran Al-Quran.

Hal ini adalah kerana, barangsiapa yang benar-benar memahami Al-Quran maka insha-Allah hidupnya akan tenang dan selamat. Tiada keraguan.

Bak kata para ustaz:

"Al-Quran bukan untuk perhiasan di atas almari! Ianya untuk dikaji dan difahami."

Ya, tidak dinafikan Dunia yang kita duduki sekarang ini sentiasa menyebabkan kita sentiasa sibuk dengan pelbagai urusan; pekerjaan, pembelajaran mahupun pengurusan hal rumah-tangga.

Akan tetapi, kadangkala diri terfikir seolah masih ada kekosongan di dalam jiwa yang perlu dipenuhi walhal pada mata kasarnya kita merasakan diri sendiri sudah terlalu sibuk dengan itu dan ini.

gambar hiasan

Ini bermaksud, hati kita mahu kembali kepada fitrah manusia yakni ketenangan.

Bagaimana caranya untuk memperolehi ketenangan? 

Mungkin dengan menonton cerita yang berunsurkan jenaka?
Mungkin dengan pergi bermain bowling atau pool?
Mungkin dengan menuruti kehendak nafsu; makan di tempat yang mewah serta mahal atau berkunjung ke pusat beli-belah?

Saya tidak nafikan perkara-perkara tersebut dapat memberikan ketenangan kepada manusia namun hakikatnya tidak - hasil ketenangan tersebut hanya untuk jangka tempoh masa yang singkat. 

Fitrahnya, percayalah hanya dengan Al-Quran kehidupan seharian kita akan menjadi lebih teratur dan berhikmah.

Sesibuk mana pun, cubalah untuk membaca Al-Quran sekurang-kurangnya sepotong ayat dalam satu hari - nescaya ianya akan memberikan suatu perubahan.

Baiklah saya akan terus pergi kepada isi kandungan artikel tersebut:

1) Kita sering bertanya: Mengapa aku diuji?

    Al-Quran menjawab: "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta." (Al-'Ankabut 29:2-3)

2) Kita sering bertanya: Mengapa ujian seberat ini?

   Al-Quran menjawab: "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir." (Al-Baqarah 2:286) 

3) Kita sering bertanya: Mengapa aku tidak dapat apa yang diidamkan? 

    Al-Quran menjawab: "Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya." (Al-Baqarah 2:216)

4) Kita sering bertanya: Mengapa perlunya aku berasa kecewa?

gambar hiasan

    Al-Quran menjawab: "Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman." (Ali Imraan 3:139)

5) Kita sering bertanya: Bagaimana harus aku menghadapi semua ini?

    Al-Quran menjawab: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk." (Al-Baqarah 2:45)

6) Kita sering bertanya: Kepada siapa aku perlu berharap?

    Al-Quran menjawab: "Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar." (At-Taubah 9:129) 

Lihat, betapa indahnya Islam bukan? 

Setiap permasalahan yang berlaku pasti ada penyelesaiannya dan setiap persoalan yang terukir sudah tentu ada penerangannya.

Justeru, janganlah kita menjadi seorang insan yang pernah ada sangka-buruk terhadap Tuhan meskipun sedikit. 
"Antara perkara yang tidak patut dilakukan oleh seorang manusia adalah bersangka-buruk terhadap Allah." - Ustaz Aliza
Semoga diri penulis dan para pembaca berada dalam keadaan sihat-sejahtera dan dilindungi daripada penyakit hati seperti hasad, takabbur, riak dan suka mengumpat. Insha-Allah.

Oh ya, untuk bulan ini dan beberapa bulan yang akan datang, program edaran buku percuma akan ditangguhkan buat seketika atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Semoga apa yang dibincangkan sebentar tadi diredhai oleh Allah.

Assalamualaikum.

Tuesday, 23 July 2013

Hari baru. Bulan baru. Buku baru. Azam baru. Selamat Beramal Untuk Bulan Ramadhan Kali Ini - Jadikan Ianya Lebih Baik Daripada Yang Sebelum.

Assalamualaikum dan salam Ramadhan!

Bertemu lagi kita di ruang atau halaman utama Rakan Ilusi pada hari ini.

Alhamdulillah dan ribuan terima kasih bagi kalian yang masih sudi untuk menjenguk page Ilusi.

Insha-Allah penulisan saya untuk kali ini tidak terlalu panjang - ianya ringkas sahaja - saya cuba.

Ada masa lebih jemput baca penulisan tentang Ramadhan edisi 2012.

Ya akhi wa ukhti,

masuk hari ini sudah lebih sepuluh hari umat Islam di seluruh Dunia berpuasa - alhamdulillah syukur.

Namun begitu bagaimana rasanya - adakah Ramadhan pada tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun yang sebelumnya; solatnya, menjaga matanya, lisannya, menutup auratnya, sedekahnya dan lain-lain.

Soal diri kita.

Jika ianya terdapat perubahan ke arah kebaikan maka alhamdulillah boleh teruskan.

Jika ianya masih di tahap yang lama tidak mengapa kerana masih ada waktu lagi untuk berubah - insha-Allah ada lebih kurang lima belas hari lagi.

Dalam berpuasa sebenarnya kita (orang Islam) ada matlamat yakni untuk menjadi orang yang bertakwa sejurus melalui bulan Ramadhan ini di samping mendapatkan keredhaan Allah S.W.T.

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah 2:183)

Namun perlu diingatkan bahawa tidak semua orang yang berpuasa itu akan tergolong dalam golongan bertakwa kerana itu Allah menggunakan perkataan 'supaya', 'mudah-mudahan' atau 'moga-moga'.



   
                                                                Ustaz Nouman Ali Khan
  

Jadi check balik amalan kita di bulan Ramadhan ini - adakah amalan tersebut berpaksikan ketakwaan kepada Allah Azza wa Jalla atau sebaliknya?
 
"Antara ciri-ciri orang yang bertakwa adalah mereka yang menunaikan solat pada awal waktu, menginfakkan harta ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T dan bersabar dalam menjalani kehidupan seharian." - Ustaz Ramizol

Jangan kita faham bahawa berpuasa itu hanya bermaksud menahan diri daripada lapar dan dahaga sahaja.

Hal ini adalah kerana dalam Islam definisi berpuasa lebih luas daripada itu yakni menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Ada eloknya seandainya di bulan puasa ini perbanyakkan masa di rumah dan kurangkan masa di luar rumah seperti mengunjung ke tempat sia-sia.

Ianya walau bagaimanapun tidaklah menjadi suatu larangan untuk keluar daripada rumah dalam urusan ziarah-menziarahi, membeli barang runcit atau mungkin ke sekolah juga ke tempat kerja cuma terdapat beberapa hal yang perlu dijaga dan diperhatikan apabila berada di luar rumah seperti;

: Aurat :

Jangan memakai pakaian yang mencolok mata juga tidak menutup aurat seperti sendat dan singkat sehingga menyebabkan pahala orang lain yang sedang berpuasa berkurangan oleh kerana nafsu keinginan diri sendiri yang mahu dipandang seksi dan cantik oleh khalayak ramai.

gambar hiasan

Tambahan pula, adalah menjadi suatu kewajiban buat umat Islam untuk menutup aurat tidak kira waktu samada di bulan Ramadhan mahupun di bulan lain.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nuur 24:31)

"Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur)." (Al-A'raaf 7:26)

: Pandangan :

Apabila berada di luar rumah hendaklah kita menjaga mata untuk tidak melihat sebarang perkara yang diharamkan oleh Allah.

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nuur 24:30-31)

Di Malaysia secara umumnya adalah melihat aurat mereka yang bukan muhrim kita merupakan antara masalah terbesar masyarakat kita.

Justeru sebagai contoh, seandainya di Bazar Ramadhan apabila mengetahui tempat sebegitu kebiasaannya ada orang yang berpakaian tidak menepati syariat Islam maka hendaknya kita merendahkan pandangan dan berada tidak lama di kawasan tersebut - sesudah jumpa perkara yang mahu dibeli terus balik ke rumah dalam misi menjaga pandangan.

Tidak perlu untuk duduk bediri memerhatikan gelagat pengunjung.
 
gambar hiasan

Bukan apa, risau daripada gelagat kepada perkara lain seperti rupa paras, bentuk tubuh badan dan lain-lain.

Astaghfirullah. Perbanyakkan istighfar ketika berada di luar rumah - banyak dosa kita ini jika difikirkan.

Percayalah jika kita membiasakan diri untuk tidak memandang perkara-perkara yang haram nescaya hati akan merasai kemanisan dalam menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim, subhanAllah.

Jangan hanya kerana kedegilan mata habis binasa nasib badan di Akhirat - perlu faham.

Fikir-fikirkan.

Ada masa lebih jemput baca 'Perkara Bermanfaat Ketika Ramadhan' - semoga bermanfaat.

 
Harta Kita Yang Sebenar Adalah Perkara Apa Yang Sudah Dibelanjakan Ke Jalan Allah S.W.T

 
Pada amnya bersedekah atau menginfakkan harta ke jalan Allah adalah perkara yang amat baik di sisi agama Islam.

Islam sememangnya indah jika dilihat dengan mata berserta hati.

Lihat sahaja dalam hal ini (bersedekah) yang tiada perkelasan darjat antara manusia.

gambar hiasan

- Yang senang membantu yang susah.
- Yang kaya membantu yang miskin.

Namun begitu isunya adalah adakah kita benar-benar merasai dan melalui keindahan tersebut dan benarkah kita tergolong dalam golongan yang membantu tersebut?

Sesuatu yang perlu difikirkan.

Oleh itu, ingin saya kongsikan satu cerita tentang kegembiraan mereka yang bergelar anak yatim dan anak orang miskin apabila menerima bantuan daripada orang lain.

Begini, baru-baru ini saya telah berkunjung ke Rumah Kebajikan Ikhwan dalam menziarahi mereka yang susah memerlukan bantuan; anak yatim dan anak fakir miskin.

Beberapa hari selepas itu saya telah pergi bertemu dengan beberapa orang rakan sekolah dahulu yang mana salah seorangnya merupakan sahabat saya.

Saya terfikir untuk mengambil keputusan menceritakan sedikit-sebanyak pengalaman ketika berada di Rumah Ikhwan dan pada akhirnya saya bertanya kepada mereka kalau-kalau hendak menghulurkan bantuan saya boleh tolong sampaikan kerana saya memang ingin pergi lagi ke rumah tersebut dalam masa yang terdekat.

Alhamdulillah selepas waktu Asar semalam saya tiba ke rumah tersebut dengan membawa dua bungkusan pakaian dan beberapa packet makanan dan minuman hasil daripada pemberian rakan-rakan itu tadi - semoga para penderma dimurahkan rezeki dan perolehi ganjaran pahala.


gambar hiasan

Apa yang saya ingin ketengahkan adalah reaksi adik-adik tersebut ketika menerima barang-barang tersebut daripada saya sangat gembira dan sangat menghargai walhal apa yang dibawa oleh saya tidaklah terlalu banyak jika hendak dibandingkan dengan bilangan mereka.

Lantas apabila saya hendak pulang, masing-masing antara mereka berteriak "Terima kasih Abang!" pada saya.

Allahuakbar. Betapa kerdilnya saya terfikir diri ini yang jarang tahu untuk bersyukur dan menghargai sesuatu berbanding adik-adik kecil yang tidak lebih daripada dua belas tahun itu tadi.

Ya la, masakan tidak - manusia yang hidup tidak susah sering tahu mengulas itu dan ini;

pakaian besar,
makanan tak sedap,
cuaca tak menentu (panas dan hujan),
kereta kecik dan tak laju.

walhal ada yang lebih susah hidupnya daripada kita.

Semoga cerita adik-adik di Rumah Ikhwan ini menjadikan kita lebih bersyukur dan menghargai setiap perkara yang kita miliki saat ini.

Oh ya! Sementara saya teringat ada lebih kurang lima orang adik di rumah tersebut sedang menghadapi ujian percubaan UPSR pada minggu ini - doakan mereka.

gambar hiasan

Pesanan saya sekiranya kalian ada masa lebih pergilah ke mana-mana rumah kebajikan yang berhampiran untuk menziarahi mereka - kunjungan anda pasti akan membuatkan mereka tersenyum lantas tertawa.

Berkaitan dengan tajuk bersedekah insha-Allah bagi sesiapa yang ada duit lebih boleh menyalurkan sedikit sumbangan ke mana-mana jalan yang diredhai oleh Allah; orang susah dan tabung masjid.

Jangan lepaskan peluang untuk membuat kebajikan kerana hanya di Dunia sahaja waktu untuk kita mengumpul pahala kelak di Akhirat masa sudah tiada. 

"Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Al-Baqarah 2:148)

Tambahan pula kita sekarang berada di bulan Ramadhan iaitu bulan yang penuh barakah yang mana Allah akan melipat-kali-gandakan ganjaran daripada setiap amal perbuatan kita.

Ayuh rebut peluang dan tawaran ini!

Ada masa lebih jemput buka halaman kebajikan Rakan Ilusi untuk mendapatkan saluran-saluran yang lain (ada yang tidak sempat saya check kesahihan nombor akaun tersebut mohon maaf).


Belajarlah Untuk Tidak Mudah Berbicara / Mengumpat / Menghukum / Mencemuh Terhadap Perihal Orang Lain.



Lagi sekali ingin saya kongsikan satu kisah yang mana insha-Allah boleh dijadikan pengajaran dan tauladan buat kita semua.

Baru-baru ini ketika saya berada di Kelana Jaya atas urusan peribadi saya telah berbuka puasa secara ringan-ringan dahulu di Masjid Tabung Haji Kelana Jaya.

gambar hiasan

Hanya terdapat tiga orang sahaja di ruang solat lelaki sementara menunggu waktu Maghrib masuk; saya, bilal masjid serta seorang lelaki yang pada mulanya saya merasakan seorang yang bukan warganegara Malaysia (BWM) namun saya tidak mendekatinya pada awal waktu.

Apabila azan berkumandang kami bertiga terus berbuka puasa secara berasingan dan kemudiannya menunaikan solat fardhu Maghrib secara berjemaah.

Sesudah saya bersolat saya mendekati pemuda BWM lalu menanyakan sedikit soalan asas; nama, asal serta pekerjaan.

Nyata beliau adalah seorang BWM akan tetapi seorang warganegara Pakistan yang merupakan peniaga bacaan-bacaan zikir dari meja ke meja di kedai makan (maaf sekiranya ada yang tidak faham).

Selepas bersalaman dengan beliau saya pun pergi menuju ke kedai makan berhampiran untuk menikmati juadah dan sedikit terkejut kerana masih bertemu lagi dengan pemuda yang bernama Brother Anas itu tadi.

Ketika saya duduk menunggu order makanan, saya perhatikan Brother Anas yang berniaga dari meja ke meja dan apabila tiba di satu meja yang dipenuhi oleh beberapa pelanggan yang saya yakin beragama Islam yang ada tidak bertudung dan ada yang merokok (tidak silap saya), seorang daripadanya sejurus melihat Brother Anas menghampiri meja mereka terus membuat mimik muka yang garang dan cemuh sambil memberikan isyarat tangan yang menunjukkan rasa tidak setuju dan tidak mahu untuk mendengar tawaran daripada beliau.

Tidak lama kemudian, ada seorang peniaga CD cetak rompak mendekati meja mereka namun orang yang sama bukan sahaja membenarkan peniaga tersebut memberikan tawaran malah menyemak-nyemak ruangan CD yang diniagakan. 

Astaghfirullah, fitnah apakah ini?

Orang yang menjual perkara yang halal dihalaunya manakala orang yang menjual perkara yang haram dilayannya - kalau tidak mahu sekalipun janganlah mencemuh sebaliknya berikan satu senyuman dan tolak tawaran dengan baik - cerminkan nilai Islam dalam diri.

Apa yang saya dapat kaitkan di sini adalah jika diperhatikan daripada awal penceritaan, meskipun Brother Anas itu seorang yang hanya berniaga dari meja ke meja namun perlu diingatkan bahawa beliau adalah seorang yang menjaga solatnya - solat pada awal waktu secara berjemaah di masjid - mengikuti sunnah Nabi s.a.w.

gambar hiasan

Ada kemungkinan yang Brother Anas itu tadi lebih baik daripada mana-mana pelanggan di restoran tersebut yang masih lagi tidak menunaikan solat pada ketika itu.

Pengajarannya adalah jangan mudah untuk kita mencemuh dan mudah menghukum dengan memandang rendah kepada mana-mana orang yang berada di sekeliling kita hanya kerana penampilan fizikalnya semata.

Barangkali ada kemungkinannya dia lebih baik daripada kita;

- mungkin orang yang kerjanya hanya menyapu sampah lebih baik daripada kita kerana tahu dan faham kepentingan untuk menutup aurat,

- mungkin orang yang kerjanya hanya duduk di ruang kecil plaza tol lebih baik daripada kita kerana tahu untuk menjaga lisan daripada berkata yang sia-sia,

- mungkin orang yang kerjanya hanya memasak di dapur restoran lebih baik daripada kita kerana tergolong dalam golongan orang yang menjaga pandangan.

Mari berfikir.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim." (Al-Hujuraat 49:11)

Buku Percuma


Program edaran buku percuma masih lagi berjalan seperti biasa pada bulan ini - alhamdulillah.

Buku yang bakal diedarkan adalah buku 'Jangan Menghijab Diri Dengan Dosa' oleh Abu Tolhah Iqamuddin terbitan Mulia Terang Sdn. Bhd.


gambar hiasan

Bagi yang berminat, boleh hantarkan butir-butir peribadi seperti:
  1. Nama
  2. Alamat
  3. Nombor talifon
ke rakanilusi@gmail.com.

Saya mohon buat bakal penerima agar inbox saya jika buku sudah diterima juga tidak diterima bagi melancarkan program - kerjasama anda amat dihargai.

Nampak gayanya penulisan saya pada kali ini tidaklah seringkas mana seperti yang dijanjikan pada awal penulisan - maafkan saya - maklum sahaja sebulan sekali menulis.

Insha-Allah jumpa lagi pada bulan Syawal yang akan tiba.

Semoga kita semua tergolong dalam golongan bertakwa insha-Allah.

Jumpa lagi. Selamat beramal. Assalamualaikum!